November 22, 2024

Search
Close this search box.

Makmal hidup JPNJ-UTM lancar buku ‘Kembara Hutan Johor’

JOHOR BAHRU, 3 Julai – Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor telah melancarkan Buku Kembara Hutan Johor, sebuah buku infografik yang mengisahkan pengembaraan tiga orang remaja di hutan simpan sekitar negeri Johor. Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh Dato’ Haji Ashari Haji Kasnan iaitu Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) pada 2 Julai 2024 bersempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 & Apresiasi Pesara 2023/2024 yang berlangsung di Holiday Villa, Johor Bahru. Turut serta dalam majlis, Encik Mohd Rosli Othman, Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, JPN Johor dan Puan Ida Amirah Mahadi mewakili Pengetua Sekolah Menengah (SMK) Taman Kluang Barat, Kluang Johor.

Sesi bergambar Penulis Utama Buku Kembara Hutan Johor Dr. Norhidayah Md. Yunus bersama Dato’ Haji Ashari Haji Kasnan dan YBhg. Dato’ Haji Salim Aman.

Buku Kembara Hutan Johor adalah hasil cetusan idea YBhg. Dato’ Haji Salim Aman, Pengarah JPNJ, bersama ahli Makmal Hidup JPNJ-UTM dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU). Makmal Hidup JPNJ-UTM telah bekerjasama melalui Surat Kerjasama (Letter of Collaboration) pada 9 Mei 2023. Terdapat 4 Kluster di dalam Makmal Hidup JPNJ-UTM iaitu Kluster Sosial dan Tanggungjawab, Kluster Digitalisasi, Kluster Teknologi dan Aplikasi dan Kluster Biodiversiti. Buku Kembara Hutan Johor merupakan hasil yang dicapai melalui Kluster Sosial dan Tanggungjawab Makmal Hidup JPNJ-UTM bagi meningkatkan kesedaran alam sekitar kepada masyarakat. Beberapa individu yang telah memberi sumbangan yang besar dalam menghasilkan buku ini iaitu, Dr. Norhidayah Md.Yunus (Pensyarah Kanan, FABU) selaku penulis utama, Dr. Nurul Hawani Idris (Pensyarah Kanan, FABU) sebagai penulis bersama, Mohamed Rohaizad Mohamed Anuar (Pelajar Doktor Falsafah, FABU) yang merupakan editor utama dan Kamarul Azizi Kamarul Azhan selaku pelukis grafik.

Sesi bergambar ahli Makmal Hidup JPNJ-UTM dari FABU, JPN Johor, SMK Taman Kluang Barat bersama Dato’ Haji Ashari Haji Kasnan dan YBhg. Dato’ Haji Salim Aman.

Menurut Dato’ Haji Salim, buku ini diterbitkan dengan tujuan untuk menarik minat golongan remaja dalam meningkatkan kesedaran serta memupuk rasa cinta terhadap alam semula jadi, khususnya hutan simpan tropika di Johor.

“Buku ini mengisahkan pengembaraan tiga sahabat, Ali, Jarjit, dan Mei Mei yang menempuhi cabaran pendakian ke puncak Gunung Belumut. Banyak informasi dan pengajaran yang diselitkan sepanjang pengembaraan mereka, menjadikan buku ini satu bahan bacaan yang mendidik dan menghiburkan,” ujar beliau.

Sesi bergambar YBhg. Dato’ Haji Salim Aman, pensyarah-pensyarah dan pelajar FABU, JPN Johor, guru dan pelajar-pelajar SMK Taman Kluang Barat.

Pelancaran buku ini merupakan salah satu inisiatif JPNJ dalam mempromosikan kesedaran alam sekitar kepada masyarakat, khususnya generasi muda. Diharapkan, dengan adanya buku seperti ini, lebih ramai individu akan terdorong untuk menghargai dan melindungi khazanah alam semula jadi yang tidak ternilai harganya. Dengan pelancaran Buku Kembara Hutan Johor, diharapkan usaha ini akan membawa impak positif dalam pemeliharaan dan pemuliharaan hutan di negeri Johor.

Explore More