November 22, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at

Pementoran kepimpinan langkah mapan bangunkan bakat berwibawa

JOHOR BAHRU, 1 Julai – Strategi universiti dalam mewujudkan kolam bakat kepimpinan universiti yang dinamik dan berdaya saing antaranya adalah melalui pelaksanaan pementoran kepimpinan. Oleh itu, Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan (CTLD) menyahut strategi pembangunan kepimpinan dengan menganjurkan ceramah Mentoring Leaders for Organizational Success pada 30 Jun 2024.

Seramai 40 orang peserta dari kalangan Pentadbir Akademik dan pegawai Pengurusan dan Profesional Gred 52 dan ke atas telah menghadiri program ini. Program yang merupakan ‘kick off’ kepada aktiviti pementoran kepimpinan 2024 telah menjemput YBhg. Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) bagi berkongsi pengalaman beliau dalam pementoran kepimpinan.

YBhg. Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai bin Kassim berkongsi pengalaman kepimpinan
YBhg. Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim berkongsi pengalaman kepimpinan

Pengalaman Prof. Emeritus Datuk yang pernah menjawat pelbagai jawatan pentadbir di peringkat fakulti sehinggalah ke jawatan tertinggi yang pernah disandang di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) dan yang terakhir sebagai Naib Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) sangat berharga untuk dikongsi kepada para peserta program. Budaya pementoran dalam sesebuah Pusat Tanggungjawab (PTJ) amat penting dalam memastikan staf dapat membina jaringan kerja, menguasai kemahiran kerja dan interpersonal serta membina keyakinan diri dalam kapasiti kepimpinan. Program pementoran kepimpinan perlu diterapkan dari awal kerjaya seseorang staf bagi memastikan universiti dapat mengenalpasti bakat-bakat yang bersesuaian dalam pelan penggantian untuk mengisi jawatan-jawatan pentadbiran bagi membangunkan daya kepimpinan mereka.

Selain itu, hubungan pementoran boleh berlaku dalam situasi formal dan bukan formal. Walau bagaimanapun senario pementoran kepimpinan sering kali berlaku dalam situasi bukan formal apabila seseorang ‘mentee’ berminat dengan gaya dan karisma kepimpinan yang dirujuk sebagai ‘mentor’. Bagi membina kesinambungan dalam memacu perancangan strategik universiti, aktiviti pementoran penting dilaksanakan sebagai strategi jangka panjang untuk melahirkan ramai bakat yang berpotensi di masa hadapan.

Antara peserta yang hadir dalam kalangan pentadbir akademik dan PPP Gred 52 & 54
Antara peserta yang hadir dalam kalangan pentadbir akademik dan PPP Gred 52 & 54

Selain itu, Prof. Emeritus Datuk turut berkongsi pengalaman beberapa syarikat besar yang menerapkan kepentingan pementoran kepimpinan dalam program pembangunan kepimpinan yang ditawarkan contohnya Petronas dan GE (General Electric). Kemahiran dalam aktiviti pementoran penting dalam memastikan proses pementoran antara mentor dan mentee berjalan dengan baik seperti kemahiran mendengar, membina kepercayaan, dapat menetapkan sasaran kerjaya serta saling memberi galakan dan inspirasi.

Perkongsian pengalaman mentor dalam berhadapan dan menangani sesuatu isu dengan baik boleh dijadikan panduan kepada mentee untuk menyampaikan perkhidmatan dengan lebih yakin dan berstrategi. Sebagai permulaan menggerakkan program pementoran kepimpinan UTM ini, pihak CTLD akan melaksanakan program kursus pementoran secara tersusun melalui modul yang telah dibangunkan.  Semoga dengan inisiatif pementoran kepimpinan yang digerakkan oleh CTLD atas sokongan pengurusan tertinggi Universiti ini akan dapat melahirkan bakat-bakat pemimpin UTM yang tangkas, dinamik dan berdaya saing untuk menerajui perubahan dalam sektor pengajian tinggi yang semakin mencabar pada masa yang akan datang.

Explore More