November 22, 2024

Search
Close this search box.
n

RoboKar 2024, integrasi penyelidikan dan pendidikan mahasiswa tahun akhir Kejuruteraan Perisian

 JOHOR BAHRU, 25 Jun. – Mengikut peredaran transformasi digital yang semakin pantas, pelbagai usaha telah diambil oleh para ahli akademik untuk memastikan para mahasiswa khususnya di universiti mendapatkan kurikulum yang berkualiti. Mengintegrasikan pembelajaran berasaskan penyelidikan dan pembelajaran berasaskan pertandingan ke dalam pendidikan merupakan salah satu usaha yang dirangka oleh para pensyarah kursus SECJ4423 – Kejuruteraan Perisian Masa Nyata (RTSE) yang terdiri daripada Dr. Ts. Nor Azizah Sa’adon, Prof. Ts. Dr. Dayang Norhayati Abang Jawawi dan Dr. Muhammad Khatibsyarbini. Kursus RTSE merupakan kursus elektif tahun akhir Program Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (SECJH) di Fakulti Komputeran (FK), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). 

Bagi memastikan pelajar bergerak seiiring dengan kemajuan teknologi masa kini, para pensyarah RTSE mengambil inisiatif menganjurkan Pertandingan RoboKar 2024. Pertandingan ini bertujuan untuk menerapkan kemahiran penyelidikan sekaligus mengaplikasikan pengaturcaraan robot mudah-alih melalui pembelajaran berasaskan pertandingan sebagai salah satu penilaian kursus. Ianya juga menjadi salah satu platform khas bagi kursus RTSE sejak tahun lepas, dengan menyediakan cabaran permainan yang berbeza pada setiap tahun.

n
4 Kumpulan berentap secara serentak dalam setiap pusingan Pertandingan RoboKar 2024.

Pertandingan RoboKar 2024 melibatkan seramai 170 orang mahasiswa tahun 4 Program Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (SECJH) yang mendaftar kursus RTSE pada semester II 2023/2024. Sebanyak 5 kumpulan telah berjaya mencapai tempat 5 teratas, sementara satu kumpulan lagi memenangi anugerah khas. Hadiah-hadiah menarik termasuk hamper dan barangan khas cenderamata UTM yang disumbang oleh FK, UTM, telah disediakan bagi para pemenang. Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Perisian, Prof. Madya Dr. Radziah Mohamad. 

n
Kumpulan Juara bersama Prof. Madya Dr. Radziah Mohamad.

Salah satu elemen penting yang diterapkan melalui pertandingan ini, pembelajaran berasaskan penyelidikan semasa sesi makmal dan latihan sebagai persediaan pertandingan yang akan dijalankan. Robot mudah-alih yang digunakan dikenali sebagai RoboKar, telah dibangunkan oleh penyelidik UTM sendiri. Inisiatif ini juga sejajar dengan revolusi industri yang ke-4 (4IR) dalam mencapai pembangunan teknologi masa kini. 

n
Mentor membantu menetapkan jarak penderia RoboKar di atas litar.

Pembantu penyelidik dan beberapa pelajar pascasiswazah menjadi mentor semasa sesi makmal dan latihan dijalankan. Mahasiswa RTSE dikehendaki melaksanakan pelbagai aktiviti mengikut fasa termasuklah membangunkan perisian RoboKar, menganalisis keperluan perisian dari aspek masa nyata bagi RoboKar, serta menyediakan laporan akhir berdasarkan format bab dalam buku untuk membincangkan dapatan analisis tugasan mereka. 

Elemen ini dapat membantu mahasiswa memahami konsep pembelajaran secara teori dengan lebih mendalam dan dapat mengaplikasikan hasil pembelajaran secara langsung melalui pertandingan yang dianjurkan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran teknikal mahasiwa malah dapat memupuk kemahiran merekan dalam pembangunan perisian terbenam masa nyata.

Explore More