September 28, 2024

Search
Close this search box.

Majlis Pelancaran Program “Leaving No One Behind” Imunisasi HPV Peringkat Negeri Johor

Johor Bahru, 20 Jun – Pro-Canselor UTM, Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor berkenan berangkat mencemar duli ke Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM Johor Bahru bagi menyempurnakan pelancaran program “Leaving No One Behind” Imunisasi HPV di peringkat Negeri Johor hari ini.

Majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran imunisasi HPV dalam kalangan golongan remaja, pelajar, dan staf di Universiti Awam bagi mendapatkan saringan dan vaksin HPV untuk mencegah kanser serviks.

Menurut Pengarah Urusan NCSM, Prof. Madya Dr. Murallitharan Munisamy dalam ucapannya berkata, “Kanser serviks merupakan kanser ketiga paling kerap menyerang wanita di Malaysia dengan kira-kira 40 peratus kes didiagnosis lewat iaitu pada peringkat 3 dan 4. Kadar kemandirian 5 tahun mereka pula adalah serendah 23 hingga 32 peratus.”

“Leaving No One Behind” merupakan inisiatif NCSM untuk memvaksin wanita dan remaja perempuan dengan vaksin HPV secara meluas di seluruh Malaysia. Program ini telah berjaya menjangkau pelbagai kawasan, termasuk kawasan pedalaman di seluruh negara,” tambah beliau.

YAM Che’ Puan Mahkota turut berkenan melawat ruang suntikan percuma HPV yang melibatkan pelajar UTM dan sukarelawan NCSM serta diberikan penerangan mengenai aktiviti-aktiviti saringan kesihatan yang diberikan secara percuma kepada warga UTM dan komuniti setempat.

Turut hadir, Pendaftar UTM, YBrs. Puan Nor Azizah Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, YBrs. Encik Hishamuddin Abd. Rahim, Ketua Pustakawan UTM, YBrs. Puan Nor Asikin Mohamad, dan Timbalan Pengarah Urusan NCSM, YBrs. Dr. Vicky Subramaniam.

 

Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor menyempurnakan sesi Pelancaran Program “Leaving No One Behind” Imunisasi HPV  Peringkat Negeri Johor

 

YAM Che’ Puan Mahkota melawat ruang suntikan percuma imunisasi HPV melibatkan pelajar UTM dan sukarelawan NCSM

 

Pelajar UTM yang hadir mengiringi keberangkatan balik YAM Che’ Puan Mahkota

 

 

Explore More