Oktober 18, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at

Lawatan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Kenal Pasti Amalan Terbaik Pengurusan Jubah Konvokesyen UTM

JOHOR BAHRU, 6 Jun – Bahagian Pengurusan Akademik (AMD), Jabatan Pendaftar telah menerima kunjungan seramai 7 orang staf dari pelbagai unit yang diketuai oleh Ts. Mohd Farhairuddin Anuar, pegawai pendidikan dari Jabatan Rekabentuk & Komunikasi Visual, Politeknik Ibrahim Sultan (PIS).

Tujuan utama lawatan penanda aras ini adalah untuk melihat struktur organisasi majlis konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta mengenal pasti amalan terbaik pengurusan stor jubah bagi memperhalusi persediaan mereka sebelum majlis konvokesyen PIS ke-29 yang bakal berlangsung pada bulan Oktober tahun ini.

Ketibaan delegasi PIS disambut oleh Encik Mohd Sharimal Osman, Penolong Pendaftar Kanan Unit Senat dan Konvokesyen. Antara taklimat yang dikongsikan oleh beliau dalam pembentangan tersebut adalah ciri-ciri sulaman yang terdapat pada jubah konvokesyen yang digunakan oleh tetamu kenamaan (VIP) dan staf akademik semasa majlis konvokesyen berlangsung.

Sesi perbincangan dua hala ini berlangsung selama hampir dua jam diikuti dengan makan tengah hari sebelum delegasi PIS dibawa melawat stor jubah akademik dan VIP di Dewan Sultan Iskandar (DSI). Di sana mereka dapat melihat dengan lebih jelas jenis fabrik dan rona warna yang digunakan.

Menerusi lawatan penanda aras ini, pihak AMD UTM berharap agar perkongsian ilmu dan amalan terbaik organisasi dapat dimanfaatkan oleh pihak PIS selain mengeratkan hubungan serta menjalinkan kolaborasi berterusan antara Institusi Pengajian Tinggi Awam Malaysia dalam memberikan servis yang terbaik.

Explore More