KEDAH, 12 Mei – UTM Techmission@Pulau Songsong, Kedah 2024 yang berlangsung pada 9 hingga 12 Mei 2024 yang disertai oleh 51 orang peserta ini telah mencapai objektifnya dengan cemerlang. Program ini dirancang untuk memberikan pendedahan yang baik kepada warga yang terlibat mengenai sosiobudaya dan ekonomi komuniti setempat supaya usaha ‘bebas jurang’ antara warga UA/IPT dan komuniti setempat dapat direalisasikan. Di samping itu, dapat mempromosikan serta menaikkan imej dan nama UTM. Program ini telah dirasmikan oleh Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh, Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur). Program anjuran Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Siswa Jaya ini telah mendapat kerjasama yang baik daripada Majlis Daerah Yan, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Yan, RELA Daerah Yan, Persatuan Rekreasi Luar Daerah Yan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan MJIIT.
Program UTM Techmission@Pulau Songsong ini dijalankan bagi menyalurkan bantuan teknikal berasaskan teknologi kepada komuniti setempat daerah Yan khususnya di Pulau Songsong. Dengan wujudnya kerjasama antara agensi kerajaan dan bukan kerajaan, program ini telah berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti seperti pemasangan solar sebagai tenaga yang boleh diperbaharui oleh MJIIT serta pelepasan tukun tiruan oleh JTNCPI bagi menjaga ekosistem akuatik daripada di ancam kepupusan selaras dengan inisiatif Sustainable Development Goals iaitu SDG 7: Affordable and Clean Energy dan SDG 14: Life Below Water. Selain itu, program ini bukan sahaja berfokuskan di Pulau Songsong tetapi juga sekitar daerah Yan iaitu di Hutan Lipur Titi Hayun di mana peserta dan penduduk setempat bekerjasama membersihkan kawasan Tangga Kenari serta melaksanakan Knowledge Transfer Program (KTP) berkaitan pembuatan tukun tiruan yang dikendalikan oleh staf teknikal daripada JTNCPI.
Hasil yang telah dicapai setelah tamat program ini ialah:
- Memasang sebanyak sembilan (9) solar bagi kemudahan komuniti iaitu tujuh (7) di Pulau Songsong dan dua (2) di Tangga Kenari
- Melepaskan tiga belas (13) tukun tiruan bagi pembiakan ikan dan tiga (3) tukun tiruan bagi Knowledge Transfer Program (KTP)
- Mengecat Tangga Kenari iaitu laluan pendakian ke Gunung Jerai yang terletak di kawasan Hutan Lipur Titi Hayun
- Mencapai sasaran bagi Sustainable Development Goals iaitu SDG 7: Affordable and Clean Energy dan SDG 14: Life Below Water
Sehubungan itu, inisiatif dan komitmen yang disepakati antara pihak UTM bersama dengan agensi Kerajaan serta komuniti di daerah Yan melalui program ini diharapkan dapat berkekalan dan memberikan manfaat yang berpanjangan kepada komuniti setempat.