November 16, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at ()

ROTMA’24 kukuhkan jaringan kolaborasi antarabangsa antara UTM, UNISMUH, dan UNHAS

INDONESIA, 18 Mei – Di bawah inisiatif ROTMA’24, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Dr. Ismail (JKM KTDI) sesi 2023/2024 telah mengadakan lawatan ke Universitas Hasanuddin (UNHAS) dan Universitas Muhammadiyah (UNISMUH). Gabungan universiti ini bertujuan untuk memupuk kerjasama antarabangsa dan pertukaran budaya antara pelajar Malaysia dan Indonesia.

Program pertukaran pengetahuan bertajuk “Sustainable Approaches for a Better Environmentally Friendly Planet” telah disampaikan oleh ChM. Dr. Mohd Akmali Mokhter, (Pengetua KTDI) di UNISMUH. Objektif program ini adalah untuk mempromosikan persekitaran yang bersih di bumi, mendidik pelajar tentang kepentingan kerjasama dalam pemeliharaan alam sekitar dan membudayakan tabiat kebersihan dalam kehidupan harian. Selain itu, UNISMUH dan UNHAS juga telah membuat perkongsian mengenai SDGs dan etika, perspektif, pengalaman dan idea mereka.

Screenshot

Dalam program yang sama, UNHAS telah menjadi tuan rumah bagi acara “Layla Jawhara” iaitu acara budaya yang menampilkan pelbagai persembahan daripada kedua-dua universiti. Bersesuaian dengan maksud “Layla Jawhara” iaitu “malam yang penuh berlian”, acara yang dijalankan di dewan tari Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam UNHAS mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan sorakan meriah dari penonton. Antara persembahan yang disajikan ialah tarian tradisional Angngaru yang secara tradisional dipersembahkan untuk menghormati tetamu kehormat atau raja, tarian Zapin yang dipersembahkan oleh pasukan Kesuma Resak, pertunjukan fesyen yang memaparkan warna-warni kepelbagaian budaya Malaysia dan Indonesia serta pelbagai persembahan menarik yang lain. 

Screenshot

Di samping itu, delegasi JKM KTDI juga telah dibawa melawat di sekitar universiti untuk melihat sendiri suasana pembelajaran di bumi Indonesia.

Screenshot

Melalui inisiatif di UNHAS dan UNISMUH, jaringan kolaborasi antarabangsa antara Malaysia dan Indonesia dapat diperkukuh melalui pertukaran pengetahuan dan acara budaya yang meriah. Dengan penekanan kepada kelestarian alam sekitar, pendidikan berkualiti dan kepelbagaian budaya, pelajar dari kedua-dua negara dapat memahami serta menghargai satu sama lain, mencipta ikatan persahabatan dan merapatkan lagi hubungan antara universiti.

 

Disediakan oleh: Lailatul Husna Binti Mohd Zaki dan Nurul Fatihah Binti Marzuki

Explore More