JOHOR BAHRU, 26 Mei – Kelab Gerakan Pengguna Siswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan majlis penutup bagi merayakan dan menandakan berakhirnya Program Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2024 yang telah berlangsung pada 24 hingga 25 Mei. Majlis ini dihadiri oleh peserta, penganjur, penaja dan pihak berkepentingan yang berkumpul untuk merenung pencapaian dan hasil sepanjang karnival berjalan. Majlis ini bertujuan sebagai detik perpaduan dan penghargaan, menekankan kepentingan pendidikan dan pemerkasaan pengguna dalam mewujudkan masyarakat yang lebih bermaklumat dan bertanggungjawab.
Majlis dimulakan dengan pendaftaran peserta pada jam 11.30 pagi diikuti dengan ketibaan Pengarah KPDN Johor iaitu Puan Lilis Saslinda Pornomo yang disambut dengan penuh hormat oleh pihak penganjur. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Bangsa Johor dan lagu Negaraku diikuti dengan bacaan doa.
Majlis Perasmian Penutup Karnival Generasi Pengguna Pintar (KGPP) 2024 bermula pada jam 12.30 tengah hari yang dimulakan dengan penyampaian ucapan aluan oleh Cik Izzah Shahrul selaku pengarah Karnival Generasi Pengguna Pintar 2024 yang diikuti dengan ucapan perasmian oleh Puan Lilis Saslinda, Pengarah KPDN Johor. Hasil usaha dan kerjasama krew KGPP 2024, gimik perasmian KGPP 2024 dapat dipersembahkan dengan baik dan lancar. Majlis diteruskan dengan tayangan montaj KGPP 2024 dan perkenalan logo baru Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM.
Pengisian program diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang yang menyertai program – program yang dilaksanakan sepanjang karnival KGPP 2024 seperti “Cabaran Bakul Pengguna”. “Consumer Dash” dan “Pertandingan Pidato Kepenggunan IPT 2024” yang disampaikan oleh Puan Lilis Saslinda dan diiringi oleh Cik Nurul Izzah. Majlis diteruskan dengan persembahan khas daripada Muhammad Ieman Aqasha Mohd Zaidi selaku Johan Pertandingan Pidato Kepenggunaan IPT 2024.
Program ini juga mendapat penajaan dari pihak Aeon yang telah bermurah hati menaja hadiah cabutan bertuah berupa produk peralatan rumah seperti Air Fryer, dan pemanas air.
Pengisian aktiviti berakhir dengan sesi bergambar bersama tetamu kehormat, ahli jawatankuasa pelaksana serta peserta yang hadir dari pelbagai negeri. Rata-rata peserta melahirkan rasa keterujaan mereka kerana dapat bersama-sama menjayakan Karnival Generasi Pengguna Pintar 2024 ini dan penganjuran KGPP 2024 dilihat berjaya memenuhi objektif utama program dalam usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat terutamanya mahasiswa dan mahasiswi mengenai hak dan tanggungjawab sebagai seorang pengguna bijak.
Usaha-usaha yang dirancang oleh jawatankuasa pelaksana KGPP 2024 diharapkan mampu mengilhamkan individu dan kumpulan untuk mengambil tindakan konkrit dalam memahami isu-isu penting berkaitan dengan penggunaan secara bijak dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk teknologi, sumber daya alam dan kewangan. Warga Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan jawatankuasa pelaksana KGPP 2024 atas kecemerlangan dan kejayaan melaksanakan program. Coming together is a beginning. Keeping together is progress. Working together is a success.