Disember 24, 2024

photo

Lawatan ke Kantor Konsul Kehormat Malaysia di Makassar: Memperkukuh hubungan dan jaringan antarabangsa di bawah inisiatif ROTMA’24

MAKASSAR, INDONESIA, 14 Mei Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan lawatan ke Konsul Kehormat Malaysia di Makassar, yang bertempat di Kantor Konsulat Kehormat Malaysia, Makassar, Sulawesi Selatan. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuhkan hubungan antara UTM dengan komuniti Malaysia di luar negara, terutamanya di Indonesia. Program ini adalah di bawah inisiatif UTM: Road to Makassar (ROTMA’24) yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Dr. Ismail (JKM KTDI) sesi 2023/2024.

Kedatangan rombongan UTM disambut mesra oleh Encik Ichlapio Fitrianto Rio, S.E., M.M., yang merupakan Penolong Konsul Malaysia di Makassar. Seterusnya, para peserta menunggu ketibaan Yang Mulia Tuan Dr. H. Bahar Ngitung, MBA, Konsul Kehormat Malaysia di Makassar, dengan penuh semangat.

IMG
Encik Ichlapio Fitrianto Rio menyambut mesra kedatangan pelajar UTM

Acara bermula dengan ucapan daripada ChM. Dr. Mohd Akmali Mokhter. Beliau menyampaikan rasa terima kasih dan penghargaan kepada Konsul Kehormat Malaysia di Makassar atas kesudian menerima lawatan tersebut. ChM. Dr. Mohd Akmali juga menekankan kepentingan hubungan erat antara pelajar dan komuniti Malaysia di luar negara untuk memperkukuhkan jaringan profesional dan peribadi.

IMG
Ucapan daripada ChM. Dr. Mohd Akmali Mokhter

Seterusnya, Yang Mulia Tuan Dr. H. Bahar Ngitung memberikan ucapan balas. Beliau menyambut baik lawatan ini dan menekankan pentingnya menyokong para pelajar Malaysia di Indonesia. Beliau juga mengharapkan agar lawatan ini dapat mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia, terutamanya dalam bidang pendidikan dan kebudayaan.

Screenshot
Ucapan daripada Yang Mulia Tuan Dr. H. Bahar Ngitung

Selepas sesi ucapan, satu sesi pemberian cenderamata diadakan. Cenderamata diserahkan kepada Yang Mulia Tuan Dr. H. Bahar Ngitung sebagai tanda terima kasih dan penghargaan atas kesudian beliau menerima lawatan tersebut. Pihak UTM turut menerima cenderamata daripada Yang Mulia Tuan Dr. H. Bahar Ngitung sebagai kenang-kenangan.

Screenshot
Sesi pemberian cenderamata

Para peserta kemudian dibawa ke ruang atas konsulat di mana mereka dijamu dengan pelbagai hidangan lazat, termasuk makanan tradisional Indonesia. Hidangan yang disajikan sangat lazat dan dapat menambah keceriaan suasana. Para pelajar juga terpegun melihat ruang konsul yang mewah dan elegan.

Screenshot
Jamuan makan tengahari

Sambil menikmati hidangan, para pelajar berpeluang berbual dan bertukar-tukar pengalaman dengan Tuan Konsul dan pegawai konsulat. Perbincangan tersebut memberikan mereka pandangan yang lebih mendalam tentang peranan konsulat dalam membantu rakyat Malaysia di luar negara serta pentingnya menjaga hubungan baik antara kedua-dua negara.

Screenshot
Sesi bertukar pengalaman

Acara diakhiri dengan sesi fotografi sebagai kenangan manis lawatan ini. Semua hadirin bergambar bersama Konsul Kehormat, sebelum rombongan UTM pulang dengan penuh kenangan indah.

 

Program ini sangat bermanfaat kerana ia memberikan peluang kepada para pelajar  UTM untuk memahami lebih lanjut tentang peranan konsulat Malaysia di luar negara. Ia juga mengeratkan hubungan antara pelajar dengan komuniti Malaysia di Makassar, serta memperkukuhkan semangat kebangsaan dan persaudaraan antara rakyat Malaysia di perantauan. Lawatan ini menunjukkan komitmen UTM dalam menyokong dan membina jaringan antarabangsa yang kukuh, selaras dengan visi universiti untuk menjadi institusi pendidikan bertaraf dunia.

Explore More