November 25, 2024

Search
Close this search box.
PHOTO

UTM-UNPAD Postgraduate Joint Symposium

BANDUNG, INDONESIA, 15 Mei – Seramai 13 orang mahasiswa Sarjana (Sains) Perancangan Pelancongan dan 2 orang pelajar PhD (Perancangan Bandar dan Wilayah) dari Program Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyertai program Global Learning Expedition dan UTM-UNPAD Postraduate Joint Symposium di Universitas Padjadjaran (UNPAD), Bandung, Indonesia pada 7 – 12 Mei 2024.  Program ini turut disertai oleh dua orang pensyarah pengiring dari Program Perancangan Bandar dan Wilayah FABU, iaitu TPr Dr. Norhazliza Abd Halim dan Dr. Mohd Alif Mohd Puzi. Program lawatan ini juga disertai oleh Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Johor, Pn. Magdlane Tuborng Melai, dan Geoguide Johor, Mohd. Effendy bin Yusof.

Program lawatan telah dimulakan dengan UTM-UNPAD Postgraduate Joint Symposium, penganjuran bersama program pascasiswazah UTM dan UNPAD dengan tema Pelancongan Lestari di Geopark pada 8 Mei 2024 di UNPAD, Bandung, Indonesia. Simposium ini juga telah diadakan secara hibrid dengan penyertaan dari empat universiti iaitu UTM, UNPAD, University of Economics Ho Chi Minh City (UEH), Vietnam dan Naresuan University (NU), Thailand. Simposium ini membicarakan pembangunan pelancongan di kawasan Geopark bertemakan Pelancongan Lestari terutama dari perspektif Asia Tenggara.

Dr. Mohd Alif Mohd Puzi adalah speaker bagi sesi pertama bersama Prof. Dr. Ir. Mega F. Rosana dan Dr. Petchsri Nonsiri. Moderator bagi sesi pertama adalah Dr. Kasno Pamungkas. Dr. Mohd Alif Mohd Puzi telah berkongsi idea berkenaan pembangunan pelancongan berasaskan keusahawanan komuniti setempat. Manakala, TPr Dr. Norhazliza Abd Halim adalah moderator bagi sesi kedua dengan Dr. Ketwadee Budhabhumbi Tak, Dr. Nguyen Duch Tri dan Dr. Sujinda Chemsripong sebagai speaker. Sesi simposium ini juga melibatkan pembentangan dua pelajar Doktor Falsafah dari UTM iaitu Nur Amirah Syahirah binti Amin dan Raikalyisa binti Roslan dengan tajuk ‘How to Transmit Tourism Entrepreneurship?’, dan ‘Profit or Protection: Green Entrepreneurship Model’.

Amira as Presenter
Sesi pembentangan oleh Nur Amirah Syahirah pelajar Doktor Falsafah UTM bertajuk ‘How to Transmit Tourism Entrepreneurship?’

Simposium ini juga merupakan satu inisiatif untuk memberikan pendedahan kepada pelajar dalam mendalami ilmu pelancongan lestari di negara ASEAN dan menterjemahkan ilmu tersebut ke dalam perlaksanaan tugasan berkumpulan dalam kursus Studio I (MBEK1056) dan Studio II (MBEK1086).

Picture Session at UNPAD
Sesi gambar di Sekolah Pascasarjana Universitas Padjadjaran, Bandung, Indonesia

Program diteruskan dengan Global Learning Expedition (GLE) melalui expedisi ke Ciletuh-Palabuhanratu UNESCO Geopark yang melibatkan delegasi dari UTM dan UNPAD. Delegasi dari UNPAD terdiri daripada dua orang pensyarah iaitu Prof. Dr. Ir. Mega F. Rosana dan Dr. Kasno Pamungkas beserta dengan 10 pelajar dari program Sarjana Sains Pelancongan Lestari.

Session in Sinarresmi
Mendalami adat dan budaya di Kampung Adat Sinarresmi bersama Abah Asep, Ketua Adat Kampung Sinarresmi.

Ekspedisi ini merupakan lawatan akademik bagi projek kajian Geopelancongan Lestari antara Malaysia dan Indonesia. Peserta turut didedahkan dengan komuniti, landskap, dan tradisi budaya masyarakat di Ciletuh-Palabuhanratu Geopark (Desa Hanjeli, Desa Ciwaru, Desa Waluran, Kampung Cisolok dan Kampung Adat Sinarresmi). Kepelbagaian tempat yang berbeza ini mempunyai keunikan dan budaya yang tersendiri. Justeru, sepanjang ekspedisi, para peserta telah berpeluang meneroka budaya, sejarah dan nilai alam sekitar yang berkaitan dengan potensi Geopelancongan.

Picture Session at Geopark Information Centre
Lawatan ke Pusat Informasi Ciletuh-Palabuhanratu Geopark.
Session in Hanjeli
Penerangan mengenai kaedah menuai biji hanjeli daripada penduduk tempatan yang juga merupakan pemandu pelancong di Desa Wisata Hanjeli.

Selain pendedahan yang diberikan, pada masa yang sama para pelajar juga menjalankan aktiviti pengumpulan data yang melibatkan tinjauan, audit produk pelancongan serta temubual bersama pemain utama industri Geopelancongan di Ciletuh-Palabuhanratu Geopark, Indonesia. Data yang dikumpulkan akan dianalisis untuk mengkaji sinergi di antara aktiviti pelancongan dan pemeliharaan di kawasan geopark. Program simposium dan expedisi ke Ciletuh-Palabuhanratu UNESCO Geopark ini dapat meluaskan pemahaman mahasiswa tentang Pelancongan Lestari di Geopark dan memberi inspirasi kepada mereka untuk memberi kesan positif kepada komuniti dan perancangan pelancongan di Malaysia.

Explore More