Kuala Lumpur, 21 Mei – Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Seksyen OSHE UTM Kuala Lumpur telah melaksanakan satu inisiatif penting yang bertujuan untuk memperkukuh aspek keselamatan dan kesihatan di sekolah-sekolah. Inisiatif ini, yang berteraskan pencapaian Keutamaan Strategik UTM OSHMP 2021-2025 iaitu menjalankan Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) dalam aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP). Inisiatif ini juga bertujuan untuk menyokong Pertumbuhan Ekonomi yang Inklusif dan Mampan, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke 8.
Inisiatif ini telah dapat dipenuhi melalui penganjuran Program Memartabatkan Sekolah Orang Asli Melalui OSH Di Sekolah, Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Perpustakaan Fun Learning Toy Library (FLTL) yang dijalankan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lemoi, Cameron Highlands bersama Pejabat Kampus Lestari UTM (UTM CS) Kuala Lumpur, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur, Seksyen Keselamatan dan Kolej Siswa Jaya (KSJ) UTM Kuala Lumpur. Program ini telah dihadiri oleh Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh, Pro-Naib Canselor dan Pengerusi Jawatankuasa KKP (Kampus UTM Kuala Lumpur); Tuan Ahmad Saidin Mohamad, Guru Besar SK Lemoi; Ts. Syahrul Hafidz Suid, Ketua Penyelesaian Teknologi Theta Edge Berhad; Puan Nik Masriza Zakaria, Timbalan Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur; Prof. Madya Ts. Dr. Sa’ardin Abdul Aziz, Timbalan Pengarah Seksyen OSHE UTM Kuala Lumpur; Dr. Mohamed Azlan Suhot, Pengetua KSJ UTM Kuala Lumpur; Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip, Timbalan Pengarah UTM CS Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh En. Muhamadiah Iskandar Mohamed, Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.
Dalam ucapan perasmian, En. Muhamadiah Iskandar merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada UTM dan THETA Edge Berhad atas kesudian menjalankan program khidmat masyarakat di Pos Lemoi amnya dan SK Lemoi khususnya. Turut berucap, Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh yang menyatakan inisiatif ini merupakan satu langkah penting dalam usaha untuk memberikan pendidikan yang inklusif dan berkualiti kepada anak-anak Orang Asli di kawasan pedalaman.
Program OSH di Sekolah bertujuan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan mereka yang bekerja; melindungi pelajar daripada risiko kepada keselamatan dan kesihatan yang berkaitan dengan aktiviti orang di tempat kerja; dan mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat melibatkan pejabat, makmal, kantin, tandas, asrama, padang dan sebagainya. Melalui program ini juga OSHE UTM berharap dapat mengesyorkan kepada pihak pentadbir sekolah bahawa pengurusan KKP yang baik adalah penyelesaian kepada semua masalah berkaitan keselamatan dalam persekitaran mereka. Dengan cara ini, mereka akan lebih sedar tentang potensi bahaya keselamatan dan kesihatan serta lebih berkemampuan untuk menanganinya. Ini boleh dilakukan melalui pendidikan dan kesedaran OSH yang merupakan komitmen teras OSHE UTM. Dengan kesedaran keselamatan dan kesihatan yang lebih tinggi di sekolah, kemalangan yang tidak perlu dapat dielakkan dan ibu bapa akan terjamin keselamatan anak-anak mereka.
Antara objektif perlaksanaan Program OSH di Sekolah adalah sebagai salah satu medium perkongsian ilmu kepada warga sekolah orang asli, komuniti orang asli dan industri berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Memberikan kesedaran dan pendedahan kepada warga sekolah orang asli, komuniti orang asli tentang kepentingan amalan budaya kerja yang selamat dan sihat serta pelaksanaan kawalan risiko secara praktikal. Meningkatkan kefahaman warga sekolah tentang panduan keselamatan kebakaran yang dibuat melalui simulasi insiden kebakaran dan aktiviti berkaitan kawalan hazard (bahaya).
Mewujudkan sinergi antara Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UTM Kuala Lumpur dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan sebagai program USR UTM dengan menjemput komuniti daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta khususnya dalam aspek KKP. Program ini merangkumi beberapa komponen utama yang dirancang dengan teliti untuk memberikan impak yang signifikan antaranya adalah simulasi kawalan dan pencegahan kebakaran dan serta pameran mengenai peralatan keselamatan dan kesihatan. Dalam latihan simulasi kebakaran, guru dan pelajar sekolah didedahkan kepada pengunaan alat pemadam api dan asas pertolongan cemas manakala melalui pameran tersebut OSHE UTM dapat memberi peluang kepada pelajar dan guru untuk bertanya dan belajar mengenai pelbagai aspek keselamatan dan kesihatan.
Program Memartabatkan Sekolah Orang Asli Melalui OSH Di Sekolah, Pendidikan STEM dan Perpustakaan FLTL ini telah disertai oleh 22 orang staf UTM Kuala Lumpur sebagai urusetia program, 18 orang pelajar UTM Kuala Lumpur, 6 orang rakan industri dari Theta Edge Berhad, 140 orang dari SK Lemoi termasuk guru dan pelajar sekolah.
Cikgu Hanisah Mat Hussin, seorang guru di SK Lemoi, menyambut baik inisiatif ini dengan mengatakan, “Program ini amat bermanfaat dan memberi pendedahan yang diperlukan untuk memastikan persekitaran sekolah yang lebih selamat. Ia juga membantu kami bersedia untuk menghadapi sebarang situasi kecemasan.”
Dengan pelaksanaan program ini, OSHE UTM berharap dapat memupuk budaya keselamatan dan kesihatan yang kukuh di sekolah-sekolah seluruh negara, memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan sihat untuk generasi muda kita.