PONTIAN, 4 Mei – Kelab Lambaian Masyarakat (KLM) yang merupakan sebuah kelab di bawah naungan Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Tuanku Canselor (JKM KTC) telah menganjurkan sebuah program iaitu “Path to Empathy: Lambaian Kasih” bertempat di Rumah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam Daerah Pontian, Johor.
Matlamat utama program ini adalah untuk menanam semangat empati dan kesedaran dalam kalangan peserta serta memberi sokongan dan harapan kepada anak – anak yatim yang mengambil bahagian dalam program ini melalui pelbagai aktiviti yang menarik seperti Spark and Shine, Food Aid dan Kad Raya. Program ini telah dijayakan oleh pihak Kolej KTC UTM seramai 26 orang, manakala kakitangan daripada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam Daerah Pontian pula seramai 11 orang, serta 49 orang anak yatim.
Spark and Shine yang menjadi aktiviti pembukaan program dimana aktiviti ini dimulakan dengan senaman ringan bagi mewujudkan suasana yang positif dan merapatkan jurang antara fasilitator dan juga peserta. Aktiviti ini secara tidak langsung telah menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ke-3 iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan.
Program diserikan lagi dengan aktiviti Food Aid yang memberikan pendedahan dan penekanan terhadap nilai kemanusiaan dan berjiwa ihsan terhadap alam dan manusia. Peserta iaitu anak-anak yatim telah dilibatkan dalam penyediaan makan tengah hari, sebelum mengadakan sesi perkongsian makan bersama. Aktiviti ini bertujuan bagi mendidik jiwa agar bersifat empati serta menjadi insan yang bersyukur. Hal ini mendokong SDG ke-2 iaitu Sifar Kelaparan, dengan memberi bantuan makanan kepada golongan yang memerlukan.
Slot Raya yang bertujuan mempereratkan hubungan antara peserta anak-anak yatim bersama para fasilitator sambil muwujudkan perasaan mahabbah ke atas peserta bahawa mereka dihargai dan mempunyai sebuah keluarga yang besar. Aktiviti telah mewujudkan suasana seperti majlis hari raya dan telah menghadirkan suasana riang gembira dalam kalangan peserta.
Majlis diserikan lagi dengan upacara perasmian oleh tetamu kehormat iaitu Yang Berhormat Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya, merangkap Ahli Parlimen Pontian, diringi oleh Prof. Ir. Dr. Sharul Kamal Abdul Rahim (Pengetua KTC), Tuan Haji Mohd Barkawi Haji Hasbullah (Pengerusi Pusat Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam Daerah Pontian), Dr. Muhammad Talhah Ajmain @ Jima’ain (Felow Penasihat Program) dan Saudara Muhammad bin Mohd Razib (Pengarah Program).
Majlis perasmian diakhiri dengan sesi penyampaian simbolik perasmian dan cenderahati. Tetamu kehormat, Yang Berhormat Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan telah menyampaikan sumbangan yang ditaja penuh oleh Yayasan Bujang kepada Tuan Haji Mohd Barkawi Haji Hasbullah. Diikuti dengan penyampaian cenderahati dari UTM kepada Tuan Haji Mohd Barkawi Haji Hasbullah dan Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan. Akhir sekali, saudara Muhammad Mohd Razib telah menerima cek sumbangan daripada Yang Berhormat Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan sebagai tanda sokongan bagi program ini.
Kesimpulannya, program “Path to Empathy: Lambaian Kasih” tidak hanya memberikan pengalaman yang bermakna kepada peserta, tetapi juga membawa impak yang positif kepada anak-anak yatim dan masyarakat setempat. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya peranan mahasiswa dalam menyumbang sama dalam membina sebuah masyarakat yang lebih empati dan prihatin terhadap golongan yang memerlukan bantuan.
Diharapkan hubungan yang terjalin antara pihak UTM dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam Daerah Pontian berterusan dan berpeluang untuk berkolaborasi lagi pada masa hadapan. Seterusnya, semoga ilmu dan pengalaman yang dikutip oleh peserta sepanjang program ini memberi impak pada diri, hubungan rakan sebaya serta masyarakat setempat.