JOHOR BAHRU, 25 Nov. – Program “Festival Modal Insan Madani” ini merupakan sebuah program Service-Learning anjuran pelajar pendidikan Elektrik dan Pengajian Islam bagi kursus SHPP4062-07 Sosiologi Pendidikan di atas bimbingan Dr. Roslizam Hassan beserta kelulusan pihak Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru. Program ini juga berjaya mendapat peruntukan sebanyak RM1,000 daripada Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), UTM. Program ini dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim, Kulai, Johor pada 23 November 2023 yang melibatkan seramai 46 orang fasilitator (31 orang Pendidikan Islam & 15 orang Elektrik) serta pelajar Tingkatan 1 dan 2 seramai 60 orang.
Objektif utama program ini ialah untuk menarik minat pelajar dalam memfokuskan pada program sekolah yang meliputi aktiviti solat (pemerkasaan kualiti solat), Khat (pengetahuan kaligrafi) dan program kereta solar serta meningkatkan kemahiran insaniah terutama dalam kemahiran komunikasi dan kerjasama kumpulan, menyediakan platform untuk membudayakan kerja cemerlang, kreatif, dan berinovatif. Kedua-dua objektif tersebut berjaya dicapai sepenuhnya semasa pelaksanaan program ini. Berdasarkan konsep Sosiologi, program ini bertujuan untuk menyebarkan ilmu pengetahuan dengan sepenuhnya, melibatkan sesi perhubungan sosial antara pelajar UTM dan pelajar sekolah.
Bagi Program Smart Solat dipimpin oleh Muhammad Wasiq yang telah memberi pendedahan awal kepada para pelajar berkaitan Rukun-rukun Solat yang utama. Bukan itu sahaja, para pelajar juga dibekalkan dengan buku modul yang lengkap untuk dijadikan rujukan semasa aktiviti perkongsian tersebut berlangsung. Selain itu, Program Khat pula diketuai oleh Ahmad Fathi yang telah berkongsi tentang ilmu-ilmu Khat yang jarang didengar oleh para pelajar. Bukan itu sahaja, para pelajar juga telah dipaparkan bentuk-bentuk Khat tersebut. Untuk program yang terakhir, dikendalikan oleh saudara Bariq iaitu para pelajar didedahkan dengan pembinaan kereta solar di mana setelah selesai menyiapkan kereta tersebut para pelajar cuba menggerakkannya di bawah cahaya matahari untuk melihat hasilnya. Melalui pengalaman dalam bidang tertentu, telah memperoleh kemahiran penting seperti kepimpinan, komunikasi, dan pengurusan projek. Pengalaman ini tidak hanya meningkatkan pengetahuan setiap ahli, tetapi juga mempersiapkan ahli untuk menghadapi cabaran dan memberi sumbangan kepada komuniti dengan lebih berkesan.
Pelajar SHPP4062-07 – Sosiologi Pendidikan