JOHOR BAHRU, 17 Jan – Kem Pemantapan Jawantankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Dr. Ismail (JKM KTDI) sesi 2023/2024 (KETA ’24) telah dijalankan di Dewan Sri Resak, Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI), UTM, Johor untuk aktiviti pada hari yang pertama dan diteruskan di Royal Belum Resort, Gerik, Perak selama 3 hari 2 malam untuk aktiviti yang seterusnya. Kem ini disertai seramai 35 orang termasuk Pengetua KTDI, Majlis Felow KTDI dan ahli-ahli JKM KTDI sesi 2023/2024. Program ini bertujuan bagi memupuk semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan ahli JKM KTDI sesi 2023/2024 serta meningkatkan kemahiran kepimpinan, motivasi dan pengukuhan jati diri ahli JKM KTDI sesi 2023/2024 agar dapat menambah baik kekuatan mental supaya ahli JKM KTDI sesi 2023/2024 dapat menjalankan tugas dengan berkesan dalam situasi yang mencabar.
Ahli JKM KTDI telah mengukuhkan jawatankuasa mahasiswa dengan strategi inovatif melalui Kem Pemantapan Kolej Mahasiswa sesi 2023/2024. Kem ini tidak hanya memberi pengalaman pembelajaran mendalam, tetapi juga membina hubungan erat dengan masyarakat Orang Asli serta memberi impak positif kepada universiti. Aktiviti yang dirancang di kem ini telah memberi peluang kepada ahli JKM KTDI untuk memperkukuhkan semangat kerja berpasukan dan meningkatkan kemahiran kepimpinan. Melalui aktiviti seperti tugasan kreatif yang menggalakkan pemikiran kritis dan kerjasama dalam menyelesaikan cabaran, para pelajar telah dapat meningkatkan keyakinan diri dan kemampuan beradaptasi dalam situasi yang mencabar.
Ahli JKM KTDI juga telah melawat Kampung Klewang, sebuah perkampungan Orang Asli berhampiran Tasik Temenggor, sebagai sebahagian daripada aktiviti kem. Lawatan ini menghasilkan jalinan yang erat dengan komuniti setempat, di mana pelajar tidak hanya menyumbangkan barangan asas, tetapi juga berinteraksi dengan penduduk dan memahami budaya serta sejarah mereka. Pengalaman ini tidak hanya memberi peluang untuk kerjasama masa depan antara universiti dan masyarakat Orang Asli, tetapi juga merangsang pemahaman dan penghormatan terhadap warisan budaya tempatan. Sepanjang lawatan, ahli JKM KTDI ditugaskan merakam video dokumentari, meningkatkan kesedaran dan keterampilan dalam penyampaian maklumat yang berkesan.
Lawatan ke Hutan Simpan Royal Belum dijalankan, di mana peserta dibawa untuk menghargai keindahan alam semulajadi dan kepelbagaian flora dan fauna tempatan. Dalam pengembaraan itu, peserta diperkenalkan kepada keunikan burung Helmeted Hornbill serta pelbagai spesies pokok yang unik seperti pokok Damar Hitam Siput, Simpuh, Kacip Fatimah, Kekatung, Merbau, dan Tualang. Aktiviti membuat sabun daripada daun senduduk bulu yang tumbuh liar menggalakkan pemahaman tentang penggunaan bahan semula jadi. Water Confidence dan pertandingan rakit buluh juga telah berjaya menguji keberanian dan kemahiran peserta dalam persekitaran alam semula jadi. Pengalaman ini bukan sahaja memberi kesedaran akan kepelbagaian alam, tetapi juga meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran adaptasi peserta dalam menghadapi cabaran alam semula jadi.
Peserta kembali ke rumah bot dan bersiap sedia untuk menjalankan program Malam Seribu Kenangan. Majlis dimulakan dengan kehadiran VIP termasuk ChM. Dr. Mohd Akmali bin Mokhter selaku Pengetua Kolej Tun Dr. Ismail, Majlis Felow KTDI, presiden JKM KTDI, dan pengarah program KETA ’24. Majlis diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan UTM Sanjungan Bangsa, diikuti dengan bacaan doa. Setiap kumpulan ahli JKM KTDI turut mempersembahkan persembahan kreatif, menjadikan malam itu memori yang berharga bagi peserta kem. Malam yang panjang dengan pelbagai juadah, sesi karaoke dan gelak tawa, semuanya menjadi kenangan indah buat para peserta kem. Keseluruhannya, acara tersebut mencerminkan semangat kebersamaan dan kreativiti dalam komuniti KTDI.
Kem Pemantapan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Dr. Ismail (JKM KTDI) sesi 2023/2024 (KETA ’24) mengakhiri program dengan lawatan ke Santuari Ikan Kelah Sungai Ruok dan Air Terjun Sungai Ruok. Peserta berpeluang untuk berenang dan memberi makan kepada ikan di santuari tersebut. Kem ini telah memberi impak positif melalui inisiatif untuk meningkatkan reputasi universiti dalam memupuk kepimpinan dan keterlibatan komuniti, tetapi juga mencipta platform bagi pertukaran pengetahuan antara pelajar dengan masyarakat Orang Asli. Pengalaman ini memberi impak yang signifikan terhadap peserta dan universiti dengan menyumbang kepada pembangunan insan dan pembentukan pemimpin masa depan yang berdaya saing. Keseluruhannya, kem ini menggambarkan komitmen ahli JKM KTDI dalam menggalakkan kolaborasi yang berkesan untuk pembangunan masyarakat dan pemerkasaan pelajar dalam kepimpinan.