November 22, 2024

Search
Close this search box.

Program Pandu Lalu Bubur Lambuk KTR jalin kolaborasi, santuni pelajar di bulan Ramadan

JOHOR BAHRU, 22 Mac – Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Tun Razak (KTR) dan Kelab Seni Masakan (SENIMAS) KTR dengan sinergi bersama rakan penaja, Saudagar Kurma Johor Bahru dan Syarikat Faiza telah mengimarahkan bulan Ramadan melalui program Ihya’ Ramadan Pandu Lalu Bubur Lambuk Kolej Tun Razak 2024.

Matlamat utama program adalah untuk menjamu 350 warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui aktiviti pengagihan juadah berbuka bubur lambuk sekaligus menerapkan amalan bersedekah kepada pelajar dengan cara berkongsi rezeki di bulan Ramadan ini. Dari perspektif rakan penaja program bersama, Saudagar Kurma Johor Bahru dan Syarikat Faiza, program ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka yang telah menjadi tradisi pada bulan Ramadan.

Dalam usaha untuk menjayakan Pandu Lalu Bubur Lambuk tahun ini, jawatankuasa pelaksana program telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM 773.35 melalui sumbangan persendirian secara crowdfunding dengan misi “Kawah Untuk Semua”.

Proses penyediaan bahan-bahan untuk bubur lambuk dilaksanakan secara gotong
Proses memasak bubur lambuk oleh sukarelawan program

Penyediaan bubur lambuk telah dilaksanakan secara bergotong royong bermula seawal 7.00 pagi dengan penglibatan daripada para sukarelawan yang terdiri daripada JKM KTR dan SENIMAS KTR dengan bimbingan En. Zukepeli Zainol, pegawai penolong kanan pentadbiran UTM International. Turut tidak ketinggalan adalah barisan Majlis Felow KTR yang turun padang untuk memasak bersama mahasiswa sekaligus melancarkan program ini.

Sinergi Majlis Felow KTR turut hadir memasak dan membungkus pek bubur lambuk

Sebanyak 350 pek bubur lambuk bersama kurma telah tersedia untuk diagihkan kepada warga UTM bermula pada pukul 4.30 petang. Dr. Norhanim Abdul Samat, pengetua KTR turut yang hadir bersama di persimpangan K01, KTR untuk mengagihkan pek bubur lambuk sambil menyantuni warga UTM yang hadir. Proses pengagihan pek bubur lambuk dilihat mendapat sambutan luar biasa hasil kerjasama padu jawatankuasa pelaksana Pandu Lalu Bubur Lambuk 2024.

Proses pengagihan bubur lambuk secara pandu lalu
Pemberian pek bubur lambuk kepada staf UTM, Prof. Madya. Dr. Norahim Ibrahim, Timbalan Pengarah (Global Education Experience) UTM International

Menurut pengarah program, saudara Mohamad Arif Hakimi Mohamad Ghani, penganjuran program bubur lambuk dilihat berjaya memenuhi objektif utama program iaitu, meringankan beban perbelanjaan mahasiswa UTM tanpa mengurangkan nutrisi dalam pemakanan sihat untuk kekal bertenaga dalam melakukan beribadah di bulan Ramadan. Tambahan pula, kejayaan pelaksanaan program adalah hasil usaha keras jawatankuasa pelaksana yang sudah mula dirancang sejak Disember 2023.

Dalam itu, Pengarah Syarikat Saudagar Kurma Johor Bahru, Encik Amir Pasha Mustapha Pasha menyatakan hasrat untuk terus berkolaborasi dengan KTR di masa hadapan dengan berkongsi rezeki dengan skala yang lebih besar.

Penyampaian sijil penghargaan program kepada wakil rakan penaja program, Encik Amir Pasha Mustapha Pasha (kiri), Pengurus Saudagar Kurma Johor Bahru bersama Pengarah Program, saudara Mohamad Arif Hakimi Mohamad Ghani

Explore More