KUALA LUMPUR, 8 Mac – Pusat Inovasi Pelajar dan Keusahawanan Teknologi (UTM XCITE) telah menghadiri Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi (AKKPT) 2023 bertempat di Grand Ball Room, M Resort & Hotel, Kuala Lumpur. Anugerah yang sebelum ini dikenali sebagai Ministry of Higher Education Entrepreneurial Awards (MEA) dan mula diperkenalkan pada tahun 2012, merupakan anugerah berprestij keusahawanan bagi pendidikan tinggi negara yang bermatlamat untuk mengiktiraf Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta warganya yang cemerlang dalam pembangunan dan pendidikan keusahawanan.
Majlis berprestij ini dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan Tinggi yang turut dihadiri oleh dif-dif terhormat, iaitu YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT); YBhg. Dato’ Dr. Hj Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT; finalis Naib Canselor semua IPT, Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan Kolej Komuniti, serta wakil industri.
Setinggi-tinggi tahniah kerana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah terpilih sebagai lima finalist terbaik bagi Kategori Utama, iaitu Kategori A: Anugerah Institusi (Universiti Terbaik) dalam menyediakan dan menyokong keusahawanan pelajar. UTM telah diwakili oleh Pengarah UTM XCITE, Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain bersama YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor UTM dan YBhg. Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohammad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dan memangku Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) telah naik ke atas pentas dan menerima hadiah wang kemenangan berjumlah RM 30,000. Kejayaan ini bukan sahaja melakar kenangan manis kepada warga UTM, tetapi ia juga menjadi dorongan untuk UTM terus meningkatkan prestasi dan pencapaian dalam bidang keusahawanan pelajar terutama dalam menyediakan ekosistem keusahawanan yang lebih baik dan kondusi.
Kejayaan ini juga adalah hasil sinergi yang menyeluruh antara pihak Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UTM (ICC), Pusat Teknologi Marin, syarikat hiliran UTM HA Southern Global Sdn. Bhd. yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Liza Md Salleh dan Innates PLT yang dikendalikan oleh Dr. Mohd. Adib Sarijari serta syarikat startup pelajar Larabit Technologies (Nurain Najwa Bukari) dan Uninet Technology (Low Lie Xin dan Fikri Akmal Aizuddin Bahrim) terutama dalam sesi lawatan tapak oleh panel penilai.
Selari dengan Pelan Tindakan Keusahawanan (PTK) KPT yang menetapkan tujuh petunjuk prestasi utama pencapaian keusahawanan pelajar, kejayaan ini akan menjadi pemangkin untuk menghasilkan usahawan pelajar terutamanya yang berkaitan dengan teknologi, yang juga selari dengan Teras 3: Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia 2021-2030 (SUPER).