November 24, 2024

Search
Close this search box.
n

UTM-MyBHA meterai MoU cetus kolaborasi dalam mempertingkat kecemerlangan bidang Hospitaliti

JOHOR BAHRU, 3 Mac – Dalam memperkukuh hubungan antara akademia dengan industri, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persatuan Hotel Bajet & Perniagaan Malaysia (MyBHA). Pemeteraian ini sebagai memulakan langkah kerjasama untuk meningkatkan lagi kecemerlangan bidang hospitaliti.

Penandatangan kerjasama ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md Illias, dan Presiden Kebangsaan MyBHA, Dr. Sri Ganesh Michiel dengan disaksikan oleh Dekan Fakulti Pengurusan UTM, Prof. Madya Dr. Ahmad Jusoh, dan Timbalan Presiden Kebangsaan MYBHA, Mr. Jarod Chia Lik Ming dan En. Zamari Muhyi, Setiausaha Kebangsaan MyBHA.

n
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md Illias, bersama Presiden Kebangsaan MyBHA, Dr. Sri Ganesh Michiel

“Usaha ini tidak hanya akan meningkatkan set kemahiran profesional hospitaliti masa depan tetapi juga akan menyediakan platform untuk penyelidikan yang komprehensif. Penyelidikan bersama ini adalah sangat penting, kerana ia akan membantu dalam pengumpulan dan analisis data” kata Prof. Dr. Rosli dalam ucaptamanya.

Langkah kerjasama ini adalah sejajar dengan inisiatif pelancongan negara, antaranya “Visit Malaysia 2026” dan “Visit Johor 2026”, di samping menyokong usaha meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai antara destinasi pilihan utama para pelancong. Melaluinya, UTM dan MyBHA berhasrat untuk membangunkan tenaga kerja mahir yang dapat menawarkan pengalaman hospitaliti yang luar biasa, sekali gus meningkatkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang meyakinkan.

n
Sesi soal jawab antara pihak UTM, MyBHA bersama wartawan yang hadir pada majlis tersebut

Inisiatif yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Thoo Ai Chin, merangkumi skop kerjasama yang luas termasuklah dalam bidang penyelidikan, pengajaran, latihan praktikal, perundingan, perkongsian maklumat, dan penglibatan komuniti. Dengan adanya kerjasama ini, isu-isu penting seperti pengekalan bakat dan kekurangan tenaga kerja dalam industri hospitaliti dijangka dapat diatasi. Para pelajar akan dipersiap dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan berkaitan industri, selain UTM dapat memainkan peranan penting bagi usaha membangunkan bakat watan dan mengurangkan kadar kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing.

Kerjasama ini juga bakal membuka ruang penyelidikan bersama antara kedua-dua belah pihak, khususnya bagi pengumpulan data dan analisis tren pengguna dalam industri hospitaliti. Hasil dapatan dan analisis berkenaan amat penting dalam memberi saranan kepada pihak kerajaan berkaitan skim insentif dan penggubalan dasar agar pelaksanaannya dapat memenuhi keperluan dalam industri dan pengguna.

n
Sekitar majlis menandatangani MoU

Merancakkan lagi inisiatif kerjasama ini, sebuah Makmal Satelit yang khusus untuk penyelidikan hospitaliti akan didirikan di MyBHA. Makmal Satelit ini akan berfungsi sebagai pusat untuk penyelidikan dan pembangunan yang canggih ke arah menginovasi penyelesaian bagi cabaran semasa dalam sektor hospitaliti. Ia akan menyediakan platform dinamik bagi para penyelidik dan pelajar UTM untuk bekerjasama secara langsung dengan profesional dan menjalankan penyelidikan yang relevan mengikut keperluan industri. Penubuhan makmal ini menekankan komitmen kedua-dua belah pihak untuk membina ekosistem inovasi dan pertukaran pengetahuan, akhirnya meningkatkan mutu pendidikan dan penyelidikan hospitaliti di Malaysia.

Sementara itu, manfaat daripada kerjasama ini bukan sahaja melibatkan UTM dan MyBHA bahkan dapat dinikmati oleh komuniti secara meluas. Apabila pemain industri ini dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan profesional, komuniti ini akan menerima impak positif dari sudut sosial dan ekonomi secara amnya.

MoU antara UTM dan MyBHA ini merupakan contoh utama bagaimana modal sosial dimanifestasikan melalui pengukuhan hubungan antara institusi pendidikan, pemain industri, dan komuniti yang lebih luas. Kerjasama ini memperkaya pengalaman pendidikan, menawarkan pelajar sudut pandang berkaitan industri yang lebih mendalam dan menyediakan tenaga kerja yang dapat menyesuaikan diri dengan lebih baik ke dalam rangkaian sosial dan profesional industri.

n
Pemeteraian MoU antara UTM dengan MyBHA

Acara yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama (BMU) Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI), UTM Johor Bahru, turut dihadiri oleh Pengarah Pelancongan Johor, Encik Sharil Nizam Abdul Rahim, Pengarah MOTAC Johor, Puan Magdlane Tuborng Melai, dan Timbalan Pengarah Pelancongan Malaysia Wilayah Selatan, Cik Chresentia F.B Sadatal.

Kehadiran tetamu-tetamu terhormat ini memberi gambaran bahawa kerjasama ini mendapat sokongan yang kuat daripada sektor kerajaan dan juga pelancongan sekali gus mengangkat kepentingan kolaborasi akademik dan industri dalam memajukan lanskap pelancongan dan hospitaliti negara.

Explore More