Disember 22, 2024

JOHOR BAHRU, 29 Nov.  — Kewujudan universiti tidak hanya terhad sebagai institusi pengajian tinggi dan mengeluarkan ijazah semata-mata malah perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas sebagai tempat yang menyediakan pendidikan yang lebih komprehensif.

Ini membuktikan bahawa pendidikan tinggi bukan sahaja dinilai melalui segmen-segmen tertentu seperti kecemerlangan akademik malah kebolehannya untuk melahirkan insan berkualiti serta holistik yang mampu bersaing di persada global turut diambil kira.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Negeri Johor, Yang Berhormat (YB) Jimmy Puah Wee Tse dalam ucapannya menegaskan bahawa universiti harus melahirkan graduan yang seimbang bagi tujuan pembangunan negara yang lebih berkualiti.

“Malaysia amat memerlukan sumber manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi untuk keperluan pembangunan dan transformasi negara di samping kaya dengan nilai- nilai murni dan keperibadian diri yang tinggi.

“Berpandukan kepada realiti semasa, mahasiswa di universiti haruslah diterapkan dengan elemen-elemen penajaman minda dan juga pembangunan kemahiran generik dengan tujuan menyediakan barisan pemuda yang mampu untuk menempuh realiti kehidupan yang semakin mencabar dan merentasi sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Malam Kebudayaan dan Pesta Tanglung Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-22 di Laman Menanti, Tasik Ilmu semalam.

Turut hadir adalah Pengarah Bahagian Pembangunan dan Aktiviti Mahasiswa, Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latif dan Pengarah Program Malam Kebudayaan dan Pesta Tanglung UTM ke-22, Soo Wen Bin.

YB Jimmy berkata kini adalah masa yang tepat untuk mempertajamkan pemikiran, mentransformasikan set minda dan mendidik anak-anak muda secara langsung dalam menempuh realiti kehidupan berteraskan nilai-nilai universal yang inklusif dan merentasi sempadan.

“Universiti juga haruslah memainkan peranan yang efektif dalam memastikan setiap program yang disertai oleh golongan mahasiswa ini berupaya menghasilkan impak tinggi dan menguji keberanian dan kekuatan diri mereka agar golongan ini dapat melihat dunia kini yang lebih mencabar dengan penuh kreativiti dan lebih berani,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, kerajaan sentiasa menggalakkan golongan mahasiswa terus memantapkan kemahiran generik mereka dari aspek personaliti yang unggul sehingga berupaya memacu keupayaan mereka untuk berinteraksi dengan masyarakat global.

Ini merupakan satu usaha yang baik dan perlu diteruskan bagi kestabilan dan keharmonian masyarakat kita sejajar dengan agenda Muafakat Johor sebagai pegangan kita di Johor ini.

Program anjuran Sekreteriat Pesta Tanglung UTM ini dianjurkan dengan matlamat untuk menyampaikan maklumat berkaitan dengan kebudayaan tradisional masyarakat Cina kepada generasi muda dan juga kepada masyarakat antarabangsa yang berada di UTM.

Antara yang menarik di program ini adalah gerai-gerai pameran yang memaparkan permainan tradisi cina yang berusia ribuan tahun serta tanglung yang dibina dengan pelbagai rupa bentuk yang menarik.

YB Jimmy Puah Wee Tse (dua kiri) ketika merasmikan Program Malam Kebudayaan dan Pesta Tanglung UTM ke-22. Turut hadir adalah Pengarah Program, Soo Wen Bin (paling kiri) dan Pengarah Bahagian Pembangunan dan Aktiviti Pelajar HEP, Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latif.
Antara binaan bercahaya yang dipamerkan pada Program Malam Kebudayaan dan Pesta Tanglung UTM ke-22.
Binaan Tanglung gergasi terapung di Tasik Ilmu, UTM Johor Bahru.

Persembahan pentas dan Tarian Naga yang dipersembahkan pada Malam Kebudayaan dan Pesta Tanglung UTM ke-22.

Explore More