KUALA LUMPUR, 29 Nov. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur mencatatkan sejarah sebagai institusi pendidikan pertama di sekitar Lembah Klang yang dilantik oleh PPZ-MAIWP sebagai ejen kutipan zakat dan juga ejen pertama yang menyediakan perkhidmatan kaunter zakat bagi memberikan khidmat kutipan zakat bukan sahaja kepada warga UTM, bahkan untuk untuk komuniti dan badan korporat.
Kedua-dua pihak menandatangani satu Memorandum Perjanjian (MoA) yang melibatkan persetujuan PPZ-MAIWP untuk melantik UTM sebagai ejen kutipan zakat bagi mengutip zakat daripada individu dan badan korporat.
Pihak UTM diwakili Profesor Datuk Ir Dr Wahid bin Omar, selaku Naib Canselor, manakala PPZ-MAIWP pula diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Haji Che Mat bin Che Ali yang disaksikan oleh Sahibus Samahah Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamed, Mufti Wilayah Persekutuan.
Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Ahmad Shukri Yusoff dan Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), Profesor Dr Shamsul Sahibuddin.
Majlis ini juga turut melibatkan perasmian Kaunter Kutipan Zakat UTM yang menyediakan perkhidmatan kutipan zakat untuk warga UTM dan masyarakat awam. Perkhidmatan zakat ini meliputi pelbagai jenis zakat termasuklah zakat perniagaan, zakat pendapatan, zakat emas, zakat simpanan dan lain-lain.
Kaunter yang terletak di Masjid UTM Kuala Lumpur, ini beroperasi dari pukul 10 pagi sehingga 4 petang menyediakan ruang yang selesa untuk pembayar zakat. Ia juga terletak di lokasi strategik bersebelahan pusat komersil Gurney Mall, UTM Residensi di Jalan Maktab, Kuala Lumpur. Kaunter Kutipan Zakat UTM dilengkapi dengan sistem atas talian dengan PPZ-MAIWP bagi membolehkan pembayar zakat menerima resit sebaik sahaja selepas membayar zakat.
Kerjasama antara UTM dan PPZ-MAIWP ini adalah salah satu usaha UTM untuk meningkatkan hubungan erat dengan komuniti sekitar khususnya dalam memberikan kemudahan dan perkhidmatan yang diperlukan demi kebaikan bersama. Perkhidmatan yang dikendalikan oleh Pusat Islam UTMKL ini dijangka dapat menambahbaik kesedaran berzakat kepada masyarakat di samping dapat meningkatkan jumlah kutipan dan agihan zakat.
Sejak 2012, UTM telah mempunyai kerjasama dengan pihak PPZ-MAIWP melalui program potongan gaji berkala bagi pembayaran zakat pendapatan.
Melalui kerjasama tersebut, pihak MAIWP mengembalikan sebanyak 37.5% daripada kutipan berkenaan kepada UTM, untuk diagihkan kepada asnaf yang terdiri daripada pelajar UTM.
Kerjasama yang baru dijayakan ini dijangka dapat melonjakkan peningkatan kutipan zakat serta meningkatkan jumlah agihan untuk manfaat pelajar dan staf UTM yang layak menerima zakat.
Penambahan nilai perkembalian juga membolehkan UTM melipatgandakan program bantuan kepada komuniti sekitar kampus, khususnya dari kalangan miskin bandar.
Adalah diharapkan kerjasama yang dirangka ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menunaikan kewajipan berzakat serta dapat menjadikan institusi pendidikan sebagai peneraju kepada khidmat sosial melalui kerjasama pintar dengan institusi agama dalam negara.