April 27, 2024

Search
Close this search box.

Pelajar FABU Cemerlang Dengan Inovasi Terkini Di Pertandingan GIS Hackathon 2019

Artikel disediakan oleh Gs. Dr. Noradila Rusli

JOHOR BAHRU, 23 Nov. —  Bagi menyokong usaha murni Bahagian Rancangan Pembangunan dan Geographic Information System (GIS), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) untuk meningkatkan penggunaan data GIS  yang telah tersedia di ONE MBIP,  pertandingan GIS Hackhaton 2019 telah diadakan di Makmal Komputer Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM.

Ia telah berlangsung selama 20 jam bermula daripada 16 November 2019 dan berakhir pada 17 November 2019.

Pertandingan yang julung kalinya diadakan ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 14 kumpulan pelajar yang berjumlah keseluruhannya 42 orang.

 Para peserta bergambar kenangan bersama pegawai-pegawai daripada Bahagian Rancangan Pembangunan dan GIS serta pensyarah-pensyarah FABU, UTM sebelum pertandingan dimulakan.

Dalam tempoh 20 jam sesi pertandingan, para peserta dikehendaki mencipta aplikasi web dengan menggunakan data-data yang tersedia di pangkalan data GIS, ONE MBIP. Aplikasi web yang dihasilkan mestilah dapat memudahkan penyampaian maklumat oleh pihak MBIP kepada para pengguna.

Pertandingan ini juga turut mendapat sokongan daripada pihak ESRI Malaysia yang menyediakan platfom Web GIS yang memudahkan para peserta membina aplikasi web masing-masing.

Para peserta telah diadili oleh seramai empat (4) orang juri profesional daripada pihak MBIP, ESRI Malaysia, FABU UTM dan MIP (Malaysian Institute of Planners).

Sesi pembentangan dan demonstrasi penggunaan aplikasi web adalah selama 10 hingga 15 minit oleh setiap kumpulan.

 Sesi pembentangan oleh para peserta dan penjurian oleh juri-juri profesional.

Pemenang tempat pertama sehingga tempat ketiga menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2000, RM1500 dan RM1000 masing-masing.

Manakala hadiah saguhati sejumlah RM200 diberikan untuk setiap kumpulan yang bertanding. Kumpulan ANONYGIS mengungguli tempat pertama, diikuti oleh kumpulan SPATIALIGENCE tempat naib johan dan kumpulan ZENITH tempat ketiga.

Pengumuman awal para pemenang adalah selepas sesi penjurian, manakala majlis penyampaian hadiah dilakukan pada 23 November 2016 di Hutan Bandar MBIP, sempena Hari Bandaraya Iskandar Puteri.

 Sesi bergambar bersama Dekan FABU selepas pengumuman awal pemenang GIS Hackathon 2019.
 Para pemenang tempat pertama hingga ke tempat ke -3 selepas majlis penyampaian hadiah.

Explore More