Disember 27, 2024

JOHOR BAHRU, 20 Nov. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyediakan ekosistem yang sempurna dan lengkap kepada warganya terutama penyelidik untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Dorongan ini disebabkan UTM tidak lagi menjadi sebuah universiti yang hanya menghasilkan graduan berkualiti untuk memacu pembangunan Malaysia sebaliknya juga berfungsi untuk menanamkan semangat keusahawanan kepada graduannya.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata untuk menjayakan hasrat ini universiti itu memberikan pelbagai ruang dan peluang kepada mana-mana kakitangan institusi itu untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Kami mempunyai Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) yang boleh membantu untuk menubuhkan syarikat hiliran yang bakal memasarkan produk penyelidikan berkenaan.

Syarikat-syarikat hiliran ini ditubuhkan khas bagi membangun dan memasarkan produk-produk penyelidikan yang telah dihasilkan untuk dikomersilkan.

“UTM juga memberikan cuti keusahawanan kepada mana-mana staf yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan selama dua tahun bergaji penuh bagi menguruskan syarikat ini dan juga produk yang ingin dikomersilkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas melancarkan produk kosmetik jenama Dermags ‘Scar Corrector Serum’ dengan Androex, iaitu produk hasil penyelidikan penyelidik UTM, Dr Mariani binti Abdul Hamid.

Prof. Wahid berkata konsep penubuhan syarikat hiliran oleh UTM ini juga adalah berkonsepkan ‘kitaran perkongsian kemakmuran’ dimana geran penyelidikan yang diperolehi untuk membangunkan produk berkenaan yang diberikan oleh kerajaan dipulangkan kembali kepada masyarakat dan negara.

“Setakat ini kami telah pun menubuhkan sebanyak 43 buah syarikat hiliran dan ada juga dikalangan syarikat ini yang telah pun menyumbang sejumlah dana ke tabungan endowmen UTM.

Dana dari tabungan endowmen ini seterusnya digunakan untuk membiayai yuran pengajian dan juga memberikan pelbagai bentuk bantuan kepada mahasiswa dari golongan keluarga berpendapatan rendah (B40),” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai produk Dermags Scar Corrector dengan AndroEX ini, , Dr Mariani binti Abdul Hamid berkata produk ini dihasilkan dari bahan semulajadi hasil kajian oleh UTM.

“Produk ini akan dikomersilkan oleh Biopro Cosmeceutical Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat hiliran UTM. Kosmetik ini adalah serum rawatan wajah berkepekatan tinggi, bebas minyak dan dirumus khas untuk mengurangkan kesan parut dan tona pada kulit.

Serum ini diformulasi dengan AndroEX iaitu bahan aktif penting yang dihasilkan daripada ekstrak daun pokok hempedu bumi atau nama saintifiknya Andrographis paniculata yang amat berkesan dalam merawat luka dan parut,” katanya.

Produk ini merupakan yang pertama dalam industri kosmetik penjagaan kulit yang menggunakan teknologi ‘nanoemulgel’ sebagai bahan perantara untuk meningkatkan kadar penyerapan bahan aktif ke dalam kulit.

Hasil ciptaan ini telah memenangi banyak pingat berprestij di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk dua ingat emas bagi kategori ‘Most Commercial Ready Product’ dan ‘Most Innovative Product’.

Produk ini juga telah memenangi pingat khas ‘Most Promising Innovation’ sempena Bioeconomy Innovation Award 2017, satu pingat emas untuk ‘Industrial Arts and Technology Exhibition’ (INATEX) 2016 dan merupakan finalis bagi ‘Produk Paling Komersil’ sempena Tahun Pengkomersilan Malaysia (MCY) 2018.

Turut hadir dalam majlis perasmian adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Prof. Dr. Zainuddin Abdul Manan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus dan juga Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj. Shahuddin dan juga Pengarah Urusan Biopro Cosmeceutical Sdn. Bhd, Dr. Mariani Abdul Hamid yang juga pensyarah kanan Sekolah Kejuruteraan Tenaga, Fakulti Kejuruteraan UTM.

Pengarah Urusan Biopro Cosmeceutical Sdn. Bhd, Dr. Mariani Abdul Hamid (enam kanan) bersama Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar ketika pelancaran produk kosmetik jenama Dermags Skin Corrector Serum di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru pagi tadi.

Explore More