April 27, 2024

Search
Close this search box.

MOSCOW, 10 Nov.  — Pasukan ‘Innokai’ yang terdiri daripada pelajar dan pensyarah Malaysia Japan International Institute (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya memenangi anugerah utama dalam Pertandingan RoboCup Asia Pacific (RCAP) 2019 yang telah berlangsung di Bauman Moscow State Technical University (MSTU), Moscow, Russia.

RoboCup Asia Pacific 2019 adalah pertandingan rasmi RoboCup Super-Regional di Asia Pasifik dan ia telah memasuki edisi ke-3 penganjurannya.

Sebelum ini RoboCup Asia Pacific atau RCAP telah diadakan di Bangkok, Thailand dan juga di Kish Island, Iran. Ini merupakan pertama kali dianjurkan di negara Rusia.

Pertandingan yang berlangsung selama 5 hari bermula dari 6 hingga 10 November 2019 ini telah menyaksikan pasukan dari MJIIT ini memenangi tempat pertama dalam kategori “RoboCup @ Home Education Challenge” sekaligus menewaskan beberapa kumpulan lain dari Rusia.

Pasukan ‘Innokai’ ini telah diwakili oleh dua pelajar tahun tiga jurusan Kejuruteraan Sistem Elektronik iaitu Brian Lai Lap Hong dan Lim Sheng Wei serta diiringi oleh pensyarah kanan, Ir Dr Zool Hilmi Ismail yang merupakan penyelia dan penasihat pasukan.

Format pertandingan adalah memberikan tumpuan kepada pembangunan robotik bergerak dan perisian “Kecerdasan Buatan” untuk perkhidmatan domestik di rumah.

Sebagai menghormati kemenangan yang telah dikecapi, pasukan Innokai ini telah mendapat undangan secara rasmi untuk menyertai pertandingan Robocup Asia Pasifik 2020 di Tianjin, China dan Sidang Kemuncak Robot Dunia di Aichi, Jepun yang bakal diadakan pada tahun 2020.

Pasukan Innokai dari MJIIT, UTM bergambar dengan peserta tempatan dari Rusia.
Piala kemenangan yang diterima oleh pasukan Innokai dari MJIIT UTM dalam pertandingan yang berlangsung di Moscow, Rusia.

Explore More