Disember 19, 2024

38 Anggota Kelana Siswa UTM Bersih Kandang Sambil Timba Ilmu Pengurusan Zoo

Pengalaman sehari suntuk membersihkan kandang haiwan dan persekitaran Zoo Johor pada 9 November 2019 lalu pasti menjadi kenangan manis dan berbeza kepada 38 orang anggota Kelana Siswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Selain dapat mendekati haiwan dan mengenali habitatnya, mereka juga dapat mendalami ilmu pengurusan zoo haiwan melalui bimbingan kakitangan zoo yang bertugas.

Kerja amal pasukan ini juga umpama ‘rahmat’ besar kepada pengurusan zoo yang bakal menerima kunjungan pasukan audit dari Ibu Pejabat PERHILITAN Kuala Lumpur.

Zoo Johor dibuka pada tahun 1928 oleh Almarhum Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, yang juga seorang pencinta haiwan.

Ia merupakan salah satu zoo tertua di negara ini dan juga di Asia.

Pada asalnya ia dipanggil “taman haiwan”, pengurusan zoo bersaiz sederhana ini telah diserahkan kepada kerajaan negeri pada tahun 1960-an.

Antara tarikan utama di zoo ini ialah dua ekor anak gajah Asia yang jinak iaitu Raja dan Takau.

Selain cukup disayangi, semua pengunjung juga boleh bermain dengan dua anak gajah ini serta ‘menyuapkan’ tebu kepada keduanya. Zoo Johor dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 6 petang dan biasanya agak padat pada hujung minggu, musim cuti umum dan cuti sekolah.

Paling mencuri tumpuan dan sering menjadi bualan hangat berkaitan Zoo Johor ialah bayaran masuk sebanyak RM 2 untuk dewasa dan RM 1 untuk kanak-kanak yang terlalu murah dan sukar dipercayai.

Pada tahun 2018 Zoo Johor mencatatkan jumlah pengunjung tertinggi di Malaysia iaitu 750 ribu orang.

Penyelia Zoo Johor, Raja Zulkifli Raja Hassan (kiri) bersama Takau, anak gajah yang menjadi tarikan pengunjung

Program Sukarelawan Khidmat Komuniti Zoo Johor yang turut disertai Penasihat Kelab Kelanasiswa UTM, Abd Rahim Mohamad itu dimulakan dengan sesi taklimat berkaitan Zoo Johor oleh Penyelia Zoo, Raja Zulkifli Raja Hassan.

Raja Zulkifli yang juga seorang pencinta haiwan berkata langkah keselamatan merupakan perkara paling utama kerana semua peserta akan mendekati secara langsung haiwan.

“Semua peserta wajib mematuhi arahan penjaga zoo sebelum menjalankan sebarang aktiviti bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini kepada haiwan, pengunjung dan peserta sendiri,” tambahnya lagi.

Program Sukarelawan Khidmat Komuniti Zoo Johor  turut disertai Penasihat Kelab Kelanasiswa UTM, Abd Rahim Mohamad

Bagi Abd Rahim, program seperti ini sangat baik untuk disertai oleh ahli Kelana Siswa kerana dalam undang-undang pengakap itu sendiri telah mempunyai nilai kasihkan binatang yang harus diamalkan oleh semua ahli kelana.

Saya berharap program ini tidak hanya habis di sini dan segala pengalaman dan keindahan Zoo Johor ini juga  diharap dapat dikongsikan dengan rakan-rakan yang lain.

Pengarah program, Nur Fazlin Amat Rithuan berpendapat ahli Kelana Siswa sangat beruntung kerana kebanyakan aktiviti kelab ini dapat mendekatkan mereka kepada flora dan fauna

Pengarah program, Nur Fazlin Amat Rithuan berpendapat ahli Kelana Siswa sangat beruntung kerana kebanyakan aktiviti di dalam Pengakap dapat mendekatkan mereka kepada flora dan fauna.

Telahan awal kami sebelum program bahawa ia bakal kurang mendapat sambutan meleset sama sekali. Jangkaan kami ialah golongan muda kini kurang didedahkan terhadap flora dan fauna kerana mereka hidup dalam zaman teknologi yang mana suasana melawat zoo ini bukan perkara yang menarik minat mereka.

Walaubagaimanapun sebaik sahaja ‘google form’ disebarkan, tidak sampai satu hari, senarai peserta sudah penuh. Ini membuktikan bahawa pelajar pelajar UTM ini sangat suka memberi khidmat bakti jika diberikan peluang.

Saya berharap para peserta tidak berhenti di sini sahaja untuk memberi khidmat bakti kerana di luar sana masih ramai lagi yang memerlukan pertolongan anda. ”

Maruone Dhia yang berasal dari Algeria dan kerap menjadi sukarelawan di Arab Saudi ketika musim haji

Selain pelajar tempatan, program ini juga disertai oleh seorang pelajar antarabangsa iaitu Maruone Dhia yang berasal dari Algeria.

Pelajar jurusan Sarjana Sains Kimia ini sangat berjiwa sukarelawan dan kerap menjadi sukarelawan di Arab Saudi ketika musim haji.

“Sebagai Pengakap, kerja sukarela memang prinsip utama kami.

Melalui kerja amal di zoo seperti ini kami dapat menimba pelbagai ilmu dan kemahiran yang boleh menjadikan mahasiswa insan yang lebih baik dan bernilai.

“Paling penting semua ini bukan sahaja dapat diperolehi secara percuma tetapi memberi manfaat kepada pihak lain,” ujar Maruone lagi.

Presiden Kelab Kelana Siswa UTM, Aiman Ramli

Presiden Kelab Kelana Siswa UTM, Aiman Ramli pula berpandangan, pengalaman memberi makanan dan mendekati gajah membuktikan semua haiwan boleh didekati jika menggunakan kaedah yang betul.

“Program ini berjaya mengajar semua peserta untuk menyayangi dan memupuk perasaan kasih sayang dengan haiwan,” tambah pelajar tahun 2 Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal itu lagi.

Explore More