April 29, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 28 Okt. — Festival Konvokesyen (FESKO) ke-63 bakal berlangsung menjelang 1 November ini.

Festival ini diadakan bersempena Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ke-63 yang akan bermula 2-5 November 2019 di kampus Johor Bahru.

Pengarah program, Nur Liyana Nabihah binti Yusof berkata penganjuran kali ini adalah amat istimewa kerana 89 orang sekretariat yang terlibat dalam pelaksanaan FESKO kali ini adalah daripada latar belakang yang berbeza iaitu pelbagai kaum, fakulti, kelab, persatuan dan peringkat pengajian.

“Persediaan telah dilakukan oleh urus setia dari 22 Jun 2019 sehingga kini untuk memastikan program ini berjalan dengan lancar,”kata beliau.

Menurut beliau, penganjuran aktiviti mega universiti dengan pengendalian sepenuhnya oleh pelajar akan dapat membentuk keperibadian pelajar selain membentuk sifat keusahawanan dan keyakinan diri dalam diri pelajar.

“Salah satunya adalah apabila kami terlibat secara langsung dalam pengendalian gerai-gerai jualan dan pengetahuan ini membantu kami kenal tentang selok-belok perniagaan serta membuatkan kami tertarik untuk menceburi bidang keusahawanan.

Fesko ini juga bukan sahaja memberi peluang kepada orang luar berniaga malah pelajar sendiri turut mencari pengalaman dalam bidang perniagaan dengan membuka gerai-gerai jualan.

Selain itu, apabila pelajar sendiri yang terlibat dengan pengurusan aktiviti, akan menjadikan program ini lebih berimpak dan bermakna kerana pelajar yang lebih peka terhadap minat serta keperluan komuniti pelajar itu sendiri,” tambah beliau.

Selain itu penganjuran ini turut menyuburkan budaya memberi dalam kalangan komuniti UTM sebagai menyahut inisiatif UTMPrihatin.

Liyana menambah, seperti sebelum ini, hasil pendapatan daripada penganjuran FESKO turut disumbangkan kepada universiti.

“Amalan ini menunjukkan bukan staf dan orang awam sahaja boleh membantu tetapi pelajar juga mampu menghulurkan bantuan mengikut kemampuan dan kudrat yang ada,”kata beliau.

Di UTM, FESKO merupakan program terbesar universiti yang memberikan sepenuh kepercayaan kepada pelajar untuk menjadi penganjur utama dan segala urusan persediaan adalah di bawah pengurusan mereka.

FESKO ke-62 sebelum ini telah menyumbangkan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada UTM untuk disalurkan ke beberapa tabung kebajikan pelajar seperti Tabung Endowmen UTM, Pusat Islam UTM, Tabung Endowmen Perpustakaan UTM, Tabung Pusat Kesihatan UTM, Sustainability UTM dan Keselamatan UTM.

Pelbagai acara menarik dijadualkan bakal diadakan seperti Beyblade Burst Competition, Kids Zapin Challenge, Cake Boss, Eco-Pageant, Futsal Tounament, Johor Runbike dan Tropical Run. 

Explore More