November 26, 2024

Search
Close this search box.
Turkiye

 

ISTANBUL, 18 Jan. – Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) UTM telah mengadakan lawatan penanda aras dan kerjasama ekosistem inovasi, pengkomersialan dan inkubator ke Turkiye pada 14 hingga 20 Januari 2024 di bawah Program Global Outreach (GOP) Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (JTNCPI). Delegasi ICC yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad@Salleh, Pengarah ICC itu disertai oleh 18 orang yang terdiri daripada 15 orang staf ICC dan 3 orang staf dari Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU) serta Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti (RMC). Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta berkenaan ekosistem pengurusan Technology Transfer Office (TTO) yang meliputi pengurusan harta intelek (IP), pengkomersialan IP, dana, latihan, governan dan inkubator daripada beberapa tempat di Turkiye. Selain itu, delegasi ICC juga mengambil peluang berkongsi ilmu berkaitan ekosistem pengkomersilan dan keusahawanan penyelidik dan pelajar di Technovation Park di sana.

Foto Cerra
Pertemuan dan sesi perkongsian antara delegasi UTM bersama University Istanbul-Cerrahpasa

Delegasi ICC juga amat bertuah kerana telah diundang ke Pejabat Rektorit, University Istanbul-Cerrahpasa yang disambut oleh Prof. Dr. Mehmet BILGIN, Timbalan Rektor universiti tersebut. Turut bersama-sama ialah Prof. Dr. Hulya Askin Balci, General Sekreter dan Mr Oğuz Hamza, International Academic Relations Unit dan wakil akademik. Sepanjang pertemuan, kedua-dua pihak telah bertukar-tukar pandangan berkenaan isu dan pelaksanaan aktiviti inovasi, pengkomersialan, keusahawanan dan Technovation Park di universiti masing-masing. Universiti tersebut merupakan sebuah universiti awam di Turkiye yang berfokuskan bidang perubatan, sains kesihatan dan kejuruteraan yang membawa universiti tersebut memperoleh kecemerlangan sebagai pemilik patent terbesar di Turkiye. UTM berpotensi untuk menjalinkan pelbagai peluang kerjasama dari segi inovasi dan penyelidikan antara universiti ini khususnya dalam bidang bioteknologi, kejuruteraan kimia, cyber security dan kecerdasan buatan (AI).

Picture
Perbincangan bersama Istanbul University-Cerrahpasa dan Entertech Istanbul Technokent

Program lawatan tersebut merupakan langkah awal untuk manifestasi kerjasama antara UTM dan pihak universiti serta TTO dan Technopark terbabit. Kemuncak lawatan tersebut ialah sesi menandatangani Surat Niat atau Letter of Intent (LoI) antara UTM dan Entertech Istanbul Technokent serta UTM dan YTU Yildiz Technopark. Dua lagi LoI dalam proses ditandatangani iaitu antara UTM dan Istanbul University-Cerrahpasa serta Istinye University. LoI ini merupakan simbolik awal sebelum pihak-pihak terlibat memeterai dokumen yang lebih spesifik bentuk kerjasamanya.

Picture
Delegasi UTM sepanjang lawatan penanda aras di YTU Yildiz Technopark dan Technology Transfer Office (TTO)

Turkiye terkenal dengan peninggalan sejarah tamadun dunia terutama ketika pemerintahan empayar Ottoman. Bumi Fatih yang subur dengan tanaman dan kaya dengan kesenian binaan ini menjadi pusat tarikan pelancongan sarwajagat. Bangunan masjid di Turkiye yang mempunyai bilangan lebih 3000 masjid juga terlihat indah dan unik dengan binaan penuh ukiran, tulisan kaligrafi serta seni rekaannya. Peluang keemasan ini tidak dilepaskan oleh delegasi ICC untuk melawat, menghayati dan mengambil ibrah beberapa bangunan bersejarah seperti Hagia Sophia, Blue Mosque, Topkapi Palace, Green Mosque, Uluu Camii dan lain-lain.

Program GOP ICC Turkiye ini telah menjadi wadah bermanfaat kepada peserta yang majoritinya terdiri daripada staf pengurusan universiti untuk meningkatkan prestasi kerja, kemahiran dan pengetahuan hasil pengalaman yang ditimba daripada penanda aras di sana untuk kecemerlangan UTM secara keseluruhannya.

Explore More