November 22, 2024

Search
Close this search box.
Banjir

JOHOR BAHRU, 17 Jan – Sebanyak empat misi banjir telah disertai oleh pasukan sukarelawan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam program Misi Bantuan Banjir 2024 di Negeri Johor.

Misi Pertama yang disertai adalah misi ke Kg. Tawakal Sinaran Baru,Kempas, Johor Bahru pada 8 dan 9 Januari diikuti dengan misi kedua pada 10 Januari bertempat di daerah Kota Tinggi. Misi ketiga pula dilaksanakan pada 14 Januari di Kg. Cahaya Baru, Masai, Johor Bahru dan misi terakhir pada 16 Januari bertempat di Kg. Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor.

WhatsApp Image at
Kumpulan pertama misi bantuan banjir Johor 2024 di Kempas, Johor Bahru diketuai oleh Ustaz Amir Ishad Saim.

Misi pertama yang diketuai oleh Ustaz Amir Irshad Saim telah memberikan sumbangan berupa alatan penjagaan diri dan pakaian terpakai kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang didirikan di sana selain membekalkan tenaga kerja bagi membantu penduduk setempat membersihkan kediaman mereka.

“Selain memberikan sumbangan dalam bentuk alatan, pasukan kami juga memberikan bantuan pasca-banjir kepada penduduk setempat melalui bantuan mencuci rumah penduduk selepas banjir.  Bantuan pasca-banjir ini penting bagi memastikan rumah kediaman mangsa banjir dapat dibersihkan dan dapat dihuni semula seperti sediakala” katanya.

WhatsApp Image at
Ketua misi kedua Bantuan Banjir Johor 2024 UTM, Mohd Fauzi Abdul Rahman (empat kiri) di Pusat Penempatan Sementara (PPS) daerah Kota Tinggi.

Pada 10 Januari pula misi kedua telah dilaksanakan di daerah Kota Tinggi di mana lebih 50 bakul makanan telah diagihkan ke PPS Kota Tinggi, Masai dan juga Sekolah Kebangsaan Nam Heng. Misi kedua ini telah diketuai oleh Mohd Fauzi Abdul Rahman dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

WhatsApp Image at
Misi Ketiga pada 14 Januari 2024 yang diketuai oleh Hairolnizam Mohamad (paling kanan) dari Jabatan Pendaftar. Misi ketiga ini telah melibatkan kekuatan sukarelawan seramai 55 orang dengan sebanyak 97 bakul makanan telah diagihkan di sekitar Kg. Cahaya Baru, Masai di samping bantuan pasca-banjir (cuci rumah penduduk) juga telah diberikan.

Selanjutnya pasukan sukarelawan UTM meneruskan misi murni ini melalui misi ketiga pada 14 Januari yang diketuai oleh Hairolnizam Mohamad dari Jabatan Pendaftar. Misi ketiga ini telah melibatkan kekuatan sukarelawan seramai 55 orang dengan sebanyak 97 bakul makanan telah diagihkan di sekitar Kg. Cahaya Baru, Masai di samping memberikan bantuan pasca-banjir (cuci rumah penduduk).

WhatsApp Image at ()
Sukarelawan UTM membantu penduduk kampung mencuci rumah yang dipenuhi lumpur akibat banjir.

Ketua Penyelaras Program, Dr. Naemah Hamzah dari Pusat Islam UTM (PIUTM) berkata bantuan yang diberikan dalam Misi Bantuan Banjir 2024 adalah terdiri daripada makanan, pakaian dan alat pembersihan diri serta bantuan pasca-banjir kepada penduduk setempat. Selain memikul tugas sebagai Ketua Penyelaras Program, Dr Naemah juga tidak lepas daripada menyertai misi bantuan kemanusiaan ini dengan mengetuai misi keempat yang dijalankan pada 16 Januari 2024 di Kg. Sungai Tiram, Johor.

”Kami melaksanakan misi ini secara berperingkat dan kami bahagikan kepada empat misi bagi membolehkan ia dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh” katanya yang diwawancara di pejabatnya di PIUTM Johor Bahru.

WhatsApp Image at
Selain berfungsi sebagai Ketua Penyelaras Program, Dr Naemah Hamzah juga tidak lepas dari menyertai misi bantuan kemanusiaan ini dengan mengetuai misi keempat yang dijalankan pada 16 Januari 2024 di Kg. Sungai Tiram, Johor.

Dalam misi keempat, sukarelawan yang terlibat telah mengagihkan sebanyak 20 bakul makanan kepada penduduk setempat tetapi pada misi bantuan kali ini tiada khidmat bantuan pasca-banjir dijalankan kerana tiada permintaan daripada penduduk setempat.

Sumbangan makanan yang diperoleh merupakan hasil pemberian warga UTM dan juga komuniti yang tinggal di sekitar universiti. Menurut beliau, pada tahun 2024 mereka tidak menerima sumbangan dari segi pakaian kerana sumbangan berbentuk pakaian yang diterima pada tahun sebelumnya masih banyak dan pihak urusetia juga meletakkan syarat kepada mereka yang ingin menyumbangkan pakaian untuk membasuh dan mengasingkannya di dalam plastik bagi memudahkan urusan pihak PPS.

WhatsApp Image at
Hairolnizam Muhammad (empat kiri) menyampaikan bantuan banjir kepada penduduk setempat.

“Kami agak selektif dalam menerima sumbangan pakaian dan kami hanya menerima pakaian yang masih baik serta telah siap dibasuh sahaja. Penderma juga diwajibkan membungkus pakaian yang diberikan dengan bungkusan plastik kedap udara bagi memastikan pakaian yang disumbangkan sentiasa dalam keadaan bersih dan segar serta boleh disimpan dalam jangka masa panjang untuk digunakan di masa hadapan” tambah Dr Naemah.

UTM sangat komited dalam menyumbang tenaga kerja bagi membantu komuniti sekitar dalam apa jua keadaan. Misi kemanusiaan ini adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu  SDG No. 3 (kesihatan dan kesejahteraan yang baik).

Explore More