JOHOR BAHRU, 21 Jan – Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan)(JTNCP) sedang dalam rangka merancang pembangunan aset-aset tanah milik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang perlu dibangunkan. Justeru, bagi merealisasikan hasrat tersebut, JTNCP telah berkolaborasi dengan beberapa Pusat Tanggungjawab (PTJ), fakulti-fakulti dan Pusat Kecemerlangan (CoE) universiti, seterusnya membentuk satu Jawatankuasa Teknikal Pengurusan dan Pembangunan Aset Tanah UTM. Jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai bidang kepakaran telah dilantik bagi menyumbang idea mengenai hala tuju yang jelas bagi merangka perancangan pembangunan aset tanah UTM seiring dengan misi, visi dan strategi Universiti.
Sebagai titik mula gerak kerja Jawatankuasa yang dilantik, satu program jerayawara Cadangan Pembangunan Tanah Setapak 2023 telah dianjurkan di UTM Kuala Lumpur pada 02hb November 2023 untuk sesi pertama dan seterusnya diadakan di UTM Johor Bahru pada 29hb November 2023 untuk sesi kedua. Program Jerayawara ini adalah bertujuan memberi penerangan dan berkongsi pandangan mengenai cadangan pembangunan khusus untuk aset tanah UTM di Setapak atau lebih sinonim dengan gelaran UTMEdupolis@Setapak yang dijangka akan memberi kebaikan bukan sahaja kepada warga UTM di Kuala Lumpur malah lebih lagi kepada komuniti setempat.
Hasil maklum balas yang diterima daripada kedua-dua sesi Jerayawara tersebut adalah sangat menggalakkan dan pelbagai idea bernas turut dikongsikan oleh pakar-pakar bidang dari UTM berkaitan dengan status tanah, pembangunan serta perancangan masa hadapan yang mapan bagi aset tanah di tersebut. Segala input yang diterima akan diteliti dan diperhalusi di peringkat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan dan Pembangunan Tanah UTM untuk diterjemahkan kepada perancangan pembangunan tanah ini kelak.
Program jerayawara ini telah dirasmikan oleh Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (TNCP) yang memandang serius kepada hala tuju perancangan aset-aset tanah UTM ini. Dalam ucaptamanya, beliau telah menggariskan supaya perancangan pembangunan tanah UTMEdupolis@Setapak ini haruslah mengambil kira hasrat kesemua pemegang taruh dan juga perlu seiring dengan perkembangan semasa.
Seramai 68 orang warga kampus UTM Johor Bahru dari pelbagai Fakulti dan Pusat Tanggungjawab telah hadir ke sesi jerayawara yang diadakan di Bilik SCALE, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM Johor Bahru. Semasa sesi tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif UTM Holdings Sdn. Bhd. iaitu Encik Ahmad Kamil Kushairi dan Prinsipal, SD Reka Urban Planning and Design, Tuan Syed Danial Haris Syed Husin telah membentangkan cadangan pembangunan aset tanah UTMEdupolis@Setapak.
Turut hadir menjayakan program jerayawara ini adalah Prof. Madya Sr. Dr. Tajul Ariffin Musa, Pengerusi Bahagian Pengurusan Aset; Prof. Sr. Dr. Kherun Nita Ali, Dekan FABU; dan Prof. Dato’ TPr. Gs. Dr. Ahmad Nazri Muhamad Ludin, Pensyarah Kanan, Program Perancangan Bandar dan Wilayah serta warga kerja FABU.
Program jerayawara ini adalah satu inisiatif oleh Seksyen Pengurusan Harta Tanah, Bahagian Pengurusan Aset bersama Pejabat Pentadbiran JTNCP dan program seumpama ini akan diteruskan lagi untuk pembangunan aset-aset tanah UTM yang lain pada masa akan datang. Ini adalah selaras dengan hasrat TNCP bahawa kesemua aset-aset UTM terutamanya tanah-tanah milik UTM diurus tadbir dengan baik serta perancangan pembangunan tanah ini perlulah mempunyai corak pembangunan yang unik dan tersendiri di samping masih mengekalkan identiti universiti yang gah dengan slogannya “Kerana Tuhan untuk Manusia”.
Oleh : Ir. Norhashimah binti Hj. Hashim & Mohd Zulhazmin bin Md Yussuf, Seksyen Pengurusan Harta Tanah