Disember 27, 2024

Menjelajahi dunia kejuruteraan AI: FKE jalin kerjasama kukuh bersama industri

ISKANDAR PUTERI, 9 Jan. – Seramai 64 orang pelajar tahun pertama jurusan Elektronik dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) telah menerima peluang berharga untuk melihat dunia kejuruteraan sebenar melalui lawatan industri ke Imagine AI Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang beroperasi dalam bidang kecerdasan buatan (AI). Lawatan industri ini adalah pelengkap kepada kursus SKEE1012 (Pengenalan kepada Kejuruteraan Elektrik) yang dihadiri oleh semua pelajar tahun pertama FKE dan diiringi oleh Prof. Madya Ts. Ir. Dr. Nasrul Humaimi Mahmood.

Sesi Imagine AI bersama pelajar.

Lawatan ini bukan sekadar kunjungan biasa, tetapi merupakan peluang untuk mendapatkan pendedahan secara langsung kepada teknologi terkini dalam industri kejuruteraan AI. Imagine AI membuka pintu pengalaman berharga dan memberikan inspirasi kepada para pelajar. Selain itu, para pelajar diberikan pendedahan awal kepada dunia kerja sebenar, di mana pelajar tidak hanya mempelajari teori di dalam kelas, tetapi juga dapat menyaksikan secara langsung bagaimana kejuruteraan AI diterapkan dalam konteks industri sebenar. Ini memberikan perspektif yang mendalam dan berguna dalam menyelaraskan teori dengan praktikal.

Pelajar diberi penerangan tentang kecerdikan buatan.

Lawatan ini juga memberikan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan jurutera dalam bidang kecerdasan buatan. Sesi dialog ini membantu membuka minda dan memberikan penerangan tentang cabaran dan peluang dalam industri yang dinamik ini. Oleh kerana pelajar masih berada pada tahun pertama pengajian, secara tidak langsung lawatan ini memberi pengalaman dan motivasi berguna bagi mereka memilih kerjaya dalam bidang kecerdasan buatan. Ia bukan sahaja memberikan peluang kepada pelajar tetapi juga memperkukuhkan jalinan kerjasama antara FKE UTM dan industri serta membuka pintu untuk pelbagai inisiatif bersama di masa hadapan.

Jurutera Imagine AI menunjukkan simulasi AI kepada pelajar yang terlibat.

Pihak Imagine AI berharap lawatan ini membantu pelajar mendapat gambaran yang jelas tentang potensi kerjaya mereka dalam bidang kecerdasan buatan. Mereka juga berharap agar dapat membentuk generasi baru jurutera AI yang berpengetahuan, berinovasi, dan bersedia menyumbang kepada kemajuan teknologi di Malaysia. Segala hasil yang diperoleh dari lawatan ini menjadi satu langkah penting dalam membimbing dan memotivasi pelajar untuk membina masa depan mereka dalam dunia kejuruteraan yang terus berkembang.

Explore More