KUALA LUMPUR, 12 Dis. – Pelajar dan Pensyarah Sains Sukan UTM menerima jemputan khas daripada Planet Sukan RTM TV1 yang merupakan sebuah program sukan ilmiah untuk berkongsi pengetahuan dan mengupas isu-isu semasa tentang arena sukan tanah air. Program ini bertepatan dengan kehendak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mahukan pensyarah memainkan peranan penting dalam pembentukan masyarakat yang berpengetahuan dan berkebolehan.
Ahli akademik pada dasarnya memiliki tanggungjawab sosial untuk turun ke masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara. Pertukaran ilmu dan pengetahuan antara pakar universiti dengan masyarakat dapat meningkatkan literasi serta memberikan pandangan yang lebih mendalam terhadap isu-isu semasa. Pensyarah juga dapat membantu menyelesaikan masalah khusus yang dihdapai oleh masyarakat dengan menyumbangkan kepakaran mereka dan merangka inisiatif yang berkesan.
Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan, Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip berkongsi pendapat beliau tentang pentadbiran sukan di mana pada peringkat negeri, pentadbiran sukan perlu memainkan peranan utama dalam menyediakan latihan psikologi sukan kepada atlet dan jurulatih. Menurut beliau, program latihan atau bengkel yang dikendalikan oleh pakar psikologi sukan boleh diperkenalkan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan aspek mental dalam prestasi atlet. Selain itu, penyediaan sumber maklumat dan akses kepada perkhidmatan rujukan psikologi sukan juga penting.
Pada peringkat nasional, penekanan perlu diberikan kepada pembentukan pakar psikologi sukan yang berkelayakan. Ini boleh dicapai melalui peningkatan program pengajian dalam bidang psikologi sukan di peringkat universiti. Selain itu, menyusun program pembangunan profesional secara berterusan untuk jurulatih, pakar psikologi sukan, dan pengurus pasukan sukan negara adalah langkah penting untuk memastikan penyediaan latihan kemahiran mental yang berterusan dalam kalangan atlet elit.
Sistem rujukan psikologi sukan juga boleh diperkuatkan di peringkat kebangsaan. Mewujudkan rangkaian pakar psikologi sukan yang dapat diakses oleh pelbagai peringkat sukan dan menggalakkan kerjasama di antara sekolah, negeri dan pasukan kebangsaan adalah penting. Ini merangkumi penganjuran klinik atau perkhidmatan rundingan percuma bagi atlet dari semua peringkat.
Secara keseluruhannya, pendekatan yang menyeluruh terhadap psikologi sukan dari peringkat sekolah hingga ke peringkat kebangsaan membantu memastikan bahawa semua atlet memperoleh manfaat daripada latihan kemahiran mental. Ini juga menyokong pembangunan sukan negara dengan memastikan kebolehan atlet tidak hanya diukur dari segi fizikal tetapi juga dari segi mental yang kukuh.
Program ilmiah seperti Planet Sukan RTM TV1 membolehkan pensyarah universiti berkongsi idea dan pandangan dalam memacu kejayaan sukan tanah air. Dengan turun ke masyarakat, pensyarah juga dapat mencetuskan perubahan positif dengan cara menjadi agen perubahan seperti menyedarkan masyarakat tentang isu-isu penting, menginovasi penyelesaian masalah dan memotivasikan masyarakat untuk mencapai kecemerlangan. Langkah ini membina reputasi baik universiti dan meningkatkan hubungan positif bersama komuniti.
Kesimpulannya, peranan pensyarah universiti dan pusat sukan seperti Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan UTM sangat berperanan penting dalam menyumbang maklumat dan memberikan pendapat lebih-lebih lagi dalam memajukan arena sukan tanah air.