November 26, 2024

Search
Close this search box.

PMPP 2023/2024 catat peningkatan peratus keluar mengundi mahasiswa UTM

JOHOR BAHRU, 26 Dis. – Pada 19 Disember 2023, telah berlangsungnya Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) Universiti Teknologi Malaysia bagi sesi 2023/2024. Ini adalah bertitik tolak daripada pengumuman pembubaran yang telah dibuat oleh barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM Sesi 2022/2023 pada 28 November 2023.

Pemilihan MPP ini, seperti sejak tahun 2019 yang lalu, dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemilihan MPP (JPMPP) UTM yang telah pun memulakan gerak kerja mereka sejak 1 September 2023 yang lalu.

Pemilihan MPP pada kali ini menjadi perhatian kerana peratusan keluar mengundi yang kurang memberangsangkan dalam siri-siri pemilihan yang lalu. JPMPP UTM pada kali ini telah lebih agresif dalam menarik para pelajar untuk turun mengundi bagi memastikan peratusan keluar mengundi keseluruhan meningkat dengan ketara berbanding tahun-tahun yang lepas.

JPMPP pada sesi kali ini bermula lebih awal dengan mengadakan sesi kunjung hormat dan libat urus dengan kesemua Pengurus Kawasan dan Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang terlibat menjaga para pelajar termasuk pelajar antarabangsa dan pascasiswazah. Pengerusi JPMPP, Saudara Zuhayr Arif bin Zakaria berkata, tujuan sesi kunjung hormat ini diadakan adalah kerana menyedari hakikat bahawa masih ada lagi ramai pelajar yang belum mengenali JPMPP UTM, walaupun telah wujud sejak 4 tahun yang lalu.

“Sesi kunjung hormat dan libat urus ini amat penting, bagi meningkat visibiliti JPMPP kepada semua para pelajar UTM, selain dapat membezakan antara JPMPP dan MPP yang merupakan dua entiti berbeza dari segi fungsi, visi dan misinya,” kata Zuhayr.

Menurut beliau juga JPMPP perlu meneliti, menelusuri dan memperbaiki apa-apa kekurangan yang ada pada siri-siri Pemilihan MPP yang lalu, seperti mana visi dan misi JPMPP bagi memastikan bahawa kesedaran para pelajar UTM akan politik kampus terus meningkat.

Hasilnya, pada Townhall JPMPP yang diadakan pada 14 Oktober 2023 yang lalu, jumlah pelajar yang menyertai menghampiri 400 orang pelajar, luar dan dalam talian daripada pelbagai kelab dan persatuan termasuk Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) dari hampir semua kolej kediaman.

Pelbagai perkara telah dikongsikan berkaitan kesatuan pelajar, peranan universiti dalam membantu pemerkasaan mahasiswa serta memastikan kesediaan para pelajar yang layak untuk menyahut cabaran untuk menjadi ahli MPP pada sesi yang akan datang.

Pada sesi kali ini juga, JPMPP masih meneruskan pengundian atas talian, melalui Sistem ‘e-Lection’ yang telah dibangunkan bersama-sama dengan UTMDigital sejak 2020 akibat COVID-19. Sistem ini sentiasa diperbaiki dan dimurnikan pada setiap tahun bagi memastikan para pelajar dapat mengundi dan memilih calon pemimpin yang akan menjadi wakil suara mereka kepada pihak atasan UTM.

Antara pembaharuan pada sesi kali ini adalah tiada had kepada para pelajar untuk log masuk ke dalam sistem, memandangkan PMPP kehilangan sekitar 500-1000 undian akibat daripada kawalan itu.

JPMPP berharap bahawa dengan adanya penambahbaikan ini, para pelajar dapat merasai pengalaman yang lebih baik ketika mengundi menggunakan sistem tersebut. JPMPP turut mengambil inisiatif untuk meningkat kualiti calon yang bertanding dengan mengadakan Bengkel Calon PMPP sebelum mereka memulakan sesi berkempen dengan harapan agar ahli MPP pada sesi akan datang terus hadir dengan idea-idea baru yang lebih segar dan memberi impak khususnya kepada para pelajar di UTM.

PMPP bagi sesi kali ini telah menyaksikan seramai 12 orang calon (9 calon UTM Johor Bahru dan 3 calon UTM Kuala Lumpur) bertanding bagi merebut 9 kerusi yang ditawarkan (7 UTM Johor Bahru dan 2 UTM Kuala Lumpur).

Bagi kerusi Fakulti pula, hanya 2 fakulti yang mempunyai pertandingan iaitu kerusi Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE) di UTM Johor Bahru dan kerusi Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) di UTM Kuala Lumpur, manakala calon fakulti-fakulti telah menang tanpa bertanding. Keseluruhan 34 orang calon telah menawarkan diri bagi menjadi membarisi Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2023/2024 dalam pemilihan pada kali ini.

Selain itu, walaupun dijalankan secara atas talian, JPMPP tetap mengambil inisiatif untuk membuka pusat pengundian di setiap fakulti dan kolej serta kawasan-kawasan yang menjadi tarikan dan tumpuan pelajar bagi memastikan setiap pelajar di kampus dapat menjalankan tanggungjawab dalam memilih calon-calon yang akan membawa suara mereka ke pihak pengurusan demi menjaga kebajikan pelajar.

Peratusan keluar mengundi bagi PMPP Sesi 2023/2024 kalini telah berjaya dalam menunjukkan peningkatan yang jelas dengan kadar peratusan 42.19% berbanding sesi lalu pada 30.62%.

Selain peningkatan peratusan, jumlah pelajar yang telah turun mengundi juga meningkat kepada 9040 orang pelajar dengan keseluruhan pengundi layak sebanyak 21,427 pengundi, berbanding hanya 7,143 orang pelajar daripada 23,330 pelajar yang layak mengundi pada sesi sebelumnya.

Dengan berlakunya peningkatan kadar peratusan pelajar keluar mengundi, ini bermakna kesedaran pelajar mengenai kepentingan memilih legasi kepimpinan dalam menjalankan tanggungjawab untuk menjaga kebajikan pelajar telah menunjukkan sikap cakna dan menjadi satu perkara penting untuk kelestarian kehidupan pelajar sepanjang berada di kampus.

PMPP UTM Sesi 2023/2024 kini telah pun melabuhkan tirainya. JPMPP selalu pelaksana wajar diberikan penghargaan atas usaha mereka terutama dalam memberikan kefahaman dan pendedahan kepada para pelajar dalam suatu proses demokrasi untuk memilih barisan MPP yang baharu.

Dengan ini, pelajar bukan sahaja dapat dikategorikan sebagai pelajar holistik yang berjaya dari segi akademik dan kokurikulum, malah telah menunjukkan sikap atau kemenjadian dalam mengambil tahu tentang kepentingan sosial dan kemasyarakatan di kampus sebagai salah seorang ‘Citizen of UTM’.

Explore More