Disember 19, 2024

Simenfero UTM tarik minat atlet paralimpik SSNS SMK Za’ba

KUALA PILAH, 12 Dis. – Seramai lima orang penyelidik dari Kolej Rahman Putera (KRP), Bahagian Keselamatan dan Institut Ibnu Sina UTM Johor Bahru, telah berjaya menjalankan program perpindahan ilmu Pelestarian Landskap Laman Simenfero Untuk Murid Berkeperluan Khas, bertempat di Sekolah Sukan Negeri Sembilan (SSNS) SMK Za’ba.

Program ini diketuai oleh Pengetua KRP, Prof. Madya Dr. Mohd Haizal bin Jamaludin, penceramah Ts. Mohd Hazri bin Ishak, barisan fasilitator; En. Mohd Haidi bin Samsuri, En. Mohd Shahrizal bin Jamaluddin, En. Mohd Najib bin Chinal@Zainal dan En. Mohd Firdaus bin Zainaluddin.

Seramai 12 orang peserta yang terdiri daripada 3 orang Guru Pendidikan Khas Integrasi, seorang pembantu pengurusan murid, serta 8 orang pelajar Pendidikan Khas Integrasi telah menyertai program perpindahan ilmu ini. Semua pelajar merupakan atlet sukan paralimpik di sekolah berkenaan.

Program berbentuk hands-on ini adalah bermatlamat untuk memberikan kemahiran tambahan kepada peserta berkenaan kemahiran membuat binaan menggunakan teknologi simenfero.

Teknologi ini juga terkenal dengan penggunaan bahan binaannya yang murah, mudah dikerjakan, tahan lasak, serta tidak memerlukan kemahiran yang tinggi untuk dilaksanakan.

Peserta diajar teknik mengikat jaring yang betul.

Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan dilatih untuk membina binaan kerusi batu, meja batu, cendawan hiasan, tapak pejalan kaki serta pasu bunga hiasan dengan menggunakan bahan binaan seperti jaring keluli, simen, pasir dan beberapa bahan lain.

Hasil binaan ini seterusnya dicat menggunakan cat berasaskan air dan cat jenis acrylic finishing gloss bagi memastikan ketahanan binaannya terhadap cuaca panas dan hujan.

Hasil binaan ini diletakkan di halaman sekolah sebagai tanda simbolik penghargaan kerjasama antara UTM dan pihak sekolah.

Peserta juga diajar teknik bancuhan cat yang betul.

Program dirasmikan oleh Pengetua sekolah iaitu Tuan Haji Murad bin Nordin pada hari kedua program. Turut hadir dalam majlis perasmian penutup ini adalah guru-guru dari kelas pendidikan khas pembelajaran (KPKP) iaitu Pn. Nur Hanis Nadia binti Hamzah, Pn. Norhamizah binti Mohd Kosnin, Pn. Murni Dzahira binti Mohd Shah, dan En. Mohd Lukman Hakim bin Ariffin yang mana berperanan sebagai tulang belakang program serta pemudahcara antara UTM dan pihak sekolah dalam menjayakan program kali ini.

Kesemua peserta juga turut menerima sijil penyertaan dan buku Modul Asas Teknologi Simenfero dari pihak UTM. Pihak UTM juga menerima sijil serta sebuah plak penghargaan dari pihak sekolah.

Sesi penutup program oleh Pengetua SSNS SMK Za’ba.

Kajian soal selidik yang dijalankan ke atas para peserta menunjukkan bahawa program ini telah berjaya memberikan impak ke atas mereka bukan sahaja dari segi peningkatan kemahiran, malah ianya juga mempertingkatkan daya kreativiti peserta dalam membina produk berasaskan teknologi simenfero.

Diharapkan agar ilmu yang disampaikan melalui program ini dapat dimanfaatkan oleh peserta dengan sebaik mungkin.

Explore More