Pembudayaan organisasi dengan nilai teras berpaksikan kepada kelestarian adalah asas utama dalam usaha menggerakkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke tahap lebih tinggi, menerusi konsep Planetary Health bagi mengadaptasi asimilasi agenda global di peringkat kampus pengajian tinggi, khususnya untuk mengangkat tema modal insan dan impak bertaraf dunia.
Kriteria utama menyediakan kerangka Planetary Health ini merupakan naratif baharu dalam menyediakan sumber nilai kepada pengenalan identiti Karbon Sifar-Bersih UTM, ekosistem yang berdaya tahan dan tanggungjawab penggunaan sumber di peringkat Universiti. Indikator dan elemen ini dihuraikan secara bersasar dalam UTM Sustainability Blueprint 2030. Nilai teras di bawah kerangka enVision UTM 2025, sepertimana yang telah ditekankan di peringkat Universiti sejak 2017, memerlukan kesinambungan dan penglibatan secara holistik oleh warga kampus.
Mula diperkenalkan pada 2018 oleh pasukan pengurusan yang diterajui oleh mantan Naib Canselor UTM yang keenam, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar, nilai teras yang telah diterima sebagai dasar utama universiti adalah Integrity (Integriti), Synergy (Sinergi), Excellence (Kecemerlangan) dan Sustainability (Kelestarian) atau dikenali sebagai ISES. Pemerkasaan nilai ini terus dilipatgandakan menerusi inisiatif tambahan daripada Naib Canselor pada masa ini, iaitu Prof. Datuk Ir Ts Dr. Ahmad Fauzi Ismail menerusi konsep menginovasikan penyelesaian dan 5 Agenda Perdana (5 Big Things) yang merupakan kunci utama kelestarian dalam penerapan elemen perkhidmatan utama di Universiti.
Menyentuh mengenai nilai teras yang akhir, iaitu Kelestarian (Sustainability), Pengarah Pejabat Kelestarian Kampus (UTMCS), Prof. Ir. Dr. Fadhil Md. Din berkata secara umumnya menyediakan kerangka mampan di dalam pentadbiran, pengurusan akademik dan penyelidikan serta mensinergikan keperluan perkhidmatan bersama semua pemegang taruh. Secara langsung, tunjang utama nilai kelestarian ini adalah usaha secara konsisten dan sistematik dalam mengekalkan serta melindungi keperluan sumber.
Bercakap menerusi satu wawancara di pejabatnya, Prof. Fadhil berkata kelestarian dalam konteks yang lebih luas terutamanya dalam memastikan perlaksanaan elemen kelestarian di pelbagai peringkat pembuat dasar serta pelaksana, serta membantu menambah baik keperluan lain dapat dipraktikkan secara bersasar.
Selain alam sekitar, konsep kelestarian juga merangkumi bidang lain, iaitu pendidikan, ekonomi, perniagaan, penglibatan sosial, sains warga dan sebagainya. Malah, secara umumnya, dikatakan bahawa kelestarian boleh disesuaikan dengan keperluan dan tujuan pelbagai disiplin sedia ada tanpa mengabaikan matlamat akhir pembudayaan ke arah Planetary Health di pusat pengajian tinggi.
Ini bermakna tugas utama warga pengajian tinggi adalah menjadi peneraju melaksanakan agenda kelestarian secara konsisten dan melibatkan perlaksanaan secara berstrategik mengikut fasa dan bentuk aktiviti. Masyarakat kampus perlu melalui transformasi penghayatan budaya lestari yang tidak hanya berpaksikan kepada alam sekitar dan perubahan cuaca semata-mata.
Justeru, nilai dan kriteria kelestarian seperti yang diperkenalkan dalam Laporan Kelestarian tahunan, sangat cakna terhadap pelaksanaan secara berperingkat sehingga membentuk kelakuan mesra alam sekitar dan menyebati dalam keperluan harian. Sasaran utama adalah memastikan warga kampus membuat amalan baik dalam elemen kelestarian yang bukan semata-mata bagi nilai universal (seperti UN SDGs), tetapi kembali kepada fitrah moto Universiti, iaitu ’Kerana Tuhan Untuk Manusia’.
Kelestarian UTM bagi tahun 2024
Bagi tahun 2024, selaras dengan perancangan jangka pendek UTM, pemerkasaan indikator serta perincian Action-Plan UTM SB 2030 yang akan digerakkan menerusi siri jerawara, townhall, merupakan tindakan awal menyediakan kelangsungan kampus lestari. Terdapat hampir 26 inisiatif strategik yang bakal dipacu bersama enam (6) SPA pada fasa pertama. Rancangan menyediakan kumpulan dan organisasi yang membuat program dan latihan berteraskan SDG dan ESG (environment, social and governance) akan membawa perubahan drastik melalui mekanisme ketelusan, keterlihatan dan laporan pencapaian Universiti sebagai penanda aras.
Selaras dengan pengenalan ISES juga, UTM telah pun melancarkan pelan induk bagi menyokong perlaksanaan aktiviti kelestarian ini pada tahun 2023 melalui Pelan Tindakan Kelestarian UTM 2023 (UTM Sustainability Blueprint) atau UTMSB 2030. Usaha ini membantu penyelarasan secara sinergi di pelbagai peringkat kumpulan pentadbir dan pelaksana.
Tahun 2024 bakal menyaksikan perlaksanaan fasa pertama elemen-elemen yang telah digariskan dalam Pelan Tindakan UTMSB 2030 ini iaitu penetapan pematuhan kendiri semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang akan melaksanakan inisiatif strategik secara konsisten serta memahami dengan jelas berkenaan dengan agenda kelestarian universiti dan dapat mempraktikkan aspek ini di dalam operasi harian mereka tanpa sebarang halangan.
Setiap PTJ juga dikehendaki untuk melaksanakan agenda kelestarian ini dalam skop yang lebih meluas dengan memasukkan tunjang sosial dan ekonomi serta tidak hanya terhad kepada kelestarian alam sekitar sahaja tetapi merentasi bidang yang lain. Antaranya, ia merangkumi pelbagai aspek operasi harian seperti pengurusan sumber manusia, penyelenggaraan aset, pengurusan kewangan dan pembelian alatan serta pengurusan mahasiswa dan staf.
Fokus kelestarian 2024 juga akan menekankan kepada pembentukan kerangka Environment, Social Governance (ESG)dan penilaian material (Materiality Assessment) yang mana kerangka ini akan digunakan sebagai panduan dan rujukan bagi perlaksanaan UTMSB 2030.
Pembentukan kerangka ini akan menjadikan UTM sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi yang mempunyai komitmen untuk melaksanakan ESG menggunakan pelarasan sumber, pengurusan tadbir urus dan strategi penyesuaian elemen Planetary Health pada masa depan.
Ini akan membantu Universiti menyediakan keperluan agenda penting global dan memberikan nilai tambah rantaian bekalan teras utama pendidikan tinggi.
Elemen kelestarian keutamaan tahun 2024
Elemen kelestarian mempunyai tiga tunjang utama iaitu alam sekitar, sosial dan ekonomi dan selaras dengan perkembangan semasa dan mengambil kira perlaksanaan kelestarian dalam kampus universiti, elemen urus tadbir (governance) merupakan cabaran dalam merealisasikan kelestarian secara konsensus disebabkan struktur yang jelas dan fungsi perlaksanaan.
ESG merupakan pendekatan baharu yang akan diperkenalkan menerusi usaha strategik Universiti menggunakan penilaian yang bakal diiktiraf di peringkat global. Kaedah ini dibuat melalui penglibatan PTJ tentang portfolio dan fungsi masing-masing serta mengenal pasti jenis elemen ESG yang sesuai untuk dilaksanakan mengikut peranan dan fungsi setiap portfolio mengikut bidang (contohnya aspek pengambilan, pemilihan dan perlantikan staf baharu oleh Jabatan Pendaftar Bahagian Sumber Manusia).
UTMCS juga akan komited memastikan perlaksanaan aspek kelestarian yang menyeluruh oleh setiap jabatan, bahagian dan unit secara praktikal sepenuhnya dan tidak bergantung semata-mata sekadar perancangan strategik.
Komitmen ini perlu dilaksanakan oleh semua warga UTM samada staf mahupun pelajar dan perlukan sinergi dari pelbagai pihak berkepentingan dalam kampus ini bagi menjayakan agenda pelestarian ini.
Kerjasama yang baik dari semua pihak akan melahirkan ekosistem kelestarian yang baik dan seimbang untuk kebaikan semua pihak berkepentingan.
Setiap elemen yang telah sedia ada juga akan dipantau secara berkala bagi memastikan perlaksanaan dilakukan mengikut jadual yang telah digariskan.
Perubahan Strategi Kelestarian mengikut keadaan
Strategi kelestarian yang baharu dirangka dan juga sedia ada bersifat tidak kekal dan akan berubah mengikut transmisi dan transisi semasa bagi memastikan ianya sentiasa relevan dengan kehendak dan keperluan yang sentiasa berubah.
UTMCS juga akan memastikan setiap strategi yang direncanakan adalah mengikut keperluan kompetensi, keperluan dan juga mematuhi (complience) kepada sub-bidang tertentu yang sesuai dengan kehendak masa kini.
Keperluan semasa yang dimaksudkan adalah strategi yang dirangka akan dipastikan selari dengan dasar yang diperkenalkan di peringkat nasional dan juga global (antarabangsa) dengan segala insturmen yang digunakan menepati piawaian yang ditetapkan.
UTM juga akan bergerak kearah taraf penarafan yang boleh membantu dari segi penjenamaan dan juga keterlihatan universiti ini dalam elemen kelestarian samada di peringkat nasional ataupun global.
Strategi Baharu 2024
UTM adalah universiti awam (UA) yang telah menjadi perintis dalam bidang kelestarian jika dibandingkan dengan UA yang lainnya (di Malaysia ada sebanyak 20 buah UA di seluruh negara yang terdiri daripada lima (5) Universiti Penyelidikan, empat (4) Universiti Komprehensif dan sebelas (11) Universiti Berfokus.
Mengambil kira perkara ini, UTMCS akan cuba membina jaringan kolaborasi bersama UA dan juga Universiti Swasta yang mempunyai visi dan misi yang sama dalam bidang kelestarian.
UTM sudah mempunyai pangkalan data yang lengkap berkenaan dengan kelestarian dan bercadang untuk menjalin kolaborasi strategik dengan univerisiti ini. UTMCS juga akan komited memastikan setiap proses kelestarian yang telah digariskan dijadikan sebagai pelan utama (Masterplan) di setiap fakulti/jabatan dan dilaksanakan dengan sewajarnya.
Bagi menjayakan pelan kelestarian universiti yang menyeluruh, UTMCS akan mengemukakan pelan tindakan yang sudah diluluskan pada tahun 2022/2023 kepada PTJ bagi dilaksanakan.
Disebabkan statusnya sebagai perintis kepada aktiviti kelestarian peringkat kampus universiti, UTM akan menyertai pertandingan berasaskan kelestarian di peringkat antarabangsa (Global) dan tidak menolak kemungkinan akan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation) kelak.
Faktor kewangan bakal merencatkan perencanaan aktiviti kelestarian kampus
Tidak dinafikan kekurangan sumber kewangan akan merencatkan kerancakan perencanaan aktiviti kelestarian kampus yang telah digariskan oleh UTMCS walaubagaimanapun kita tidak seharusnya melihat ianya sebagai satu beban yang akan merosakkan segalanya.
Selaras dengan nilai teras universiti iaitu ISES, UTMCS telah menyediakan crowdsourcing fund di bawah platform Tabung Kelestarian (Sustainability Fund) bagi membiayai aktiviti kelestarian yang dijalankan di peringkat universiti.
UTM juga aktif menjalankan aktiviti secara kolaborasi (sinergi) dengan pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), MBPG, Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) bagi mendapatkan dana untuk diisi dalam tabung endowmen kelestarian yang telah sedia ada di peringkat univeristi. Dengan adanya projek kolaborasi seperti ini juga akan dapat menjana sumber kewangan bagi menampung keperluan aktiviti kelestarian di peringkat universiti.
Harapan masa hadapan kelestarian di UTM
Kelestarian yang dibangunkan bukan semudah yang disangka dan mengambil masa dan sumber yang bukan sedikit untuk dibentuk, dilaksanakan dan seterusnya dibudayakan di dalam kampus universiti.
Setiap insan yang berada di UTM tanpa mengira statusnya seperti kakitangan, mahasiswa mahupun kontraktor yang dilantik untuk menjalankan tugas-tugas khas dalam kampus perlu membudayakan dan seterusnya menjiwai budaya kelestarian ini, merentasi keperluan penarafan, pengiktirafan ataupun KPI.
Universiti merupakan agen pembangunan negara melalui graduan-graduan yang dihasilkan pada setiap tahun. Lepasan universiti ini seterusnya akan bekerja dan menyumbang kepakaran profesional masing-masing untuk pembangunan negara.
Mengambil kira perkara ini, universiti seharusnya mendidik dan menanamkan elemen kelestarian dalam diri setiap graduan ini supaya apabila mereka keluar bekerja kelak, praktis ini akan dilaksanakan seterusnya akan menjadi budaya dalam masyarakat di masa hadapan.