November 26, 2024

Search
Close this search box.

Dr. Yahaya gapai impian genggam PhD dalam tempoh sembilan tahun

JOHOR BAHRU, 19 Nov. – Pada kebanyakan orang, usia 66 tahun adalah waktu yang selayaknya seseorang itu berehat dan menghabiskan masa dengan keluarga tercinta. Namun, berbeza pula halnya dengan Dr. Ir. Ts. Yahaya bin Hassan, apabila berjaya menggapai impian menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam usia tersebut.

“Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian setelah sembilan tahun. Sembilan tahun yang penuh warna warni, disulami onak duri, kadang kala cabaran yang tidak disangka dan tidak terduga”, jelas Dr. Yahaya yang juga merupakan Pengarah Urusan HTS Engineering and Consultancy Services Sdn. Bhd.

Perjalanan PhD Dr. Yahaya selama sembilan tahun akhirnya sampai ke kemuncak

“Kembara perjalanan PhD dalam bidang sains ini bermula sejak tahun 2011. Menggenggam PhD menjadi impian dan cita-cita saya sejak dulu lagi.

“Namun, pengajian saya sedikit terencat tatkala dunia dikejutkan oleh pandemik COVID-19 pada tahun 2020. Namun, saya melihat situasi ini sebagai satu peluang untuk lebih fokus kepada penelitian data dan perbincangan kajian. 

“Saya ingin merakamkan rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga atas dorongan keluarga tercinta yang tidak berbelah bahagi terutama dalam bentuk sokongan moral dan emosi.

“Anak-anak saya turut terlibat secara langsung dalam menawarkan bantuan terutama daripada segi teknikal, teknologi dan carian informasi dalam meluncurkan lagi pengajian PhD ini.

“Secara tidak langsung, merekalah yang menjadi penyuntik semangat kepada saya dalam usaha saya untuk melengkapkan kajian dalam bidang sains kesihatan mengenai reka bentuk kapasiti hospital walaupun menghadapi cabaran kekurangan rujukan daripada artikel jurnal dan pakar-pakar dalam negara.

“Saya berharap kajian saya mampu menyumbang kepada pengurusan kapasiti hospital yang lebih efisien dan sistematik di dalam negara,” ulas beliau di akhir temubual. 

Kejayaan Dr. Ir. Ts. Yahaya ini membuka mata kita bahawa sumbangan seseorang dalam memperkayakan khazanah ilmu tidak mengira usia selagi nyawa dikandung badan, satu bentuk manifestasi cendekiawan beriman mengangkat martabat keilmuan.

Explore More