November 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 18 Nov. – Melihat perhatian dunia masa kini yang sedang tertumpu kepada ketegangan geopolitik dunia, rakyat diseru agar dapat menyalurkan keprihatinan dengan bijak. 

“Kita boleh menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat yang menghadapi keperitan kehidupan ini tetapi biarlah kita menanganinya dengan cara bijak.” Demikian titah Tuanku Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah sempena Istiadat Majlis Konvokesyen UTM kali ke-67 yang bermula hari ini, di sini.

Meskipun perhatian di media sosial banyak menyajikan tentang kesengsaraan dan pergolakan di beberapa buah negara di pelosok dunia termasuklah di beberapa negara Islam, namun perhatian kepada kesusahan masyarakat di negara ini masih perlu diambil peduli.

“Sungguh pun media sosial dengan begitu banyak video dan gambar-gambar menunjuk masyarakat nun jauh sedang menderita, saya tidak boleh mengabaikan tanggungjawab saya kepada keluarga saya, rakyat Johor dan rakyat Malaysia,” titah Tuanku Canselor.

Dalam pada itu, UTM sememangnya menawarkan tempat bagi pelajar-pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pelajaran di sini. Justeru, ini juga merupakan satu cara selain menawarkan peluang pendidikan, Universiti ini juga secara tidak langsung dapat menyediakan tempat yang selamat bagi mereka yang terkesan akibat pergolakan berkenaan.

“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di UTM seperti program Serambi Al-Quds bagi membantu rakyat Palestin menyambung pengajian di UTM.

“Kita perlu membekalkan diri kita dengan semangat keilmuan, supaya kita semua dapat meneruskan perjuangan dalam dunia yang mencabar ini,” titah Tuanku selanjutnya.

Mengambil kira golongan pelarian suaka di negara ini, Baginda turut menyeru semua agar menyalurkan bantuan dengan sewajarnya dan pada masa yang sama mengikut lunas undang-undang negara.

“Saudara saudari semuanya berilmu tinggi sehingga mendapat ijazah di universiti ini. Jangan terlalu terikut dengan kecenderungan terkini semata-mata. Nilailah semuanya dengan bijaksana,” titah Baginda.

Tuanku Canselor juga turut berharap para graduan kekal meraikan detik manis pengijazahan sebagai suatu nikmat pengiktirafan atas pencapaian tertinggi dalam pendidikan tanpa dibatasi oleh situasi semasa.

Explore More