November 26, 2024

Search
Close this search box.

KUALA LUMPUR, 8 Nov. – Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia disambut pada 28 April di seluruh dunia bermula sejak tahun 2003 oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Program ini dijalankan bagi memperingati mangsa kemalangan industri dan penyakit pekerjaan oleh Kesatuan-Kesatuan Sekerja di seluruh dunia. Budaya kerja selamat dan sihat perlu diterapkan kepada masyarakat dan amalannya mestilah dipupuk secara berterusan agar kemalangan pekerjaan dapat dihindarkan.

Bersempena dengan Sambutan Hari KKP Sedunia ini, Unit Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (OSHE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah menganjurkan Hari OSH UTM 2023 yang telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Mohd Fa’iz Ahmad, Pengarah OSHE UTM bertempat di Dewan Tan Sri Ainuddin Wahid, UTM Kuala Lumpur.

Turut hadir menyaksikan majlis perasmian tersebut adalah Tn. Hj. Mohd Najib Masroom, Ketua Pentadbiran UTM Kuala Lumpur, Prof. Madya Ts. Dr. Sa’ardin Abdul Aziz, Timbalan Pengarah Unit OSHE UTM Kuala Lumpur dan semua Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pusat Tanggungjawab (PTJ) UTM Kuala Lumpur.

Pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan bagi menjayakan sambutan Hari OSH UTM 2023 ini. Pengajuran ini bertujuan bagi menghebahkan maklumat terkini berkaitan isu-isu keselamatan dan kesihatan serta mempromosi budaya pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan kalangan majikan, pekerja dan orang awam.

Pada tahun ini, tema atau konsep sambutan Hari OSH UTM adalah “Innovative Solution to Safety and Health Risks” atau Penyelesaian Inovatif kepada Risiko Keselamatan dan Kesihatan. Konsep Hari OSH ini adalah satu konsep baharu yang digunakan oleh Pejabat OSHE UTM ke arah meningkatkan tahap kesedaran berkenaan pentingnya Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di dalam aktiviti seharian. Penyelesaian inovatif ini boleh mengurangkan risiko keselamatan dan kesihatan dengan berkesan dalam pelbagai sektor. Kuncinya adalah untuk menyesuaikan dan menggunakan teknologi dan strategi yang betul untuk konteks dan sektor tertentu, dengan mengambil kira sifat risiko yang semakin berkembang dan kepentingan untuk pencegahan dan penilaian risiko.

Dalam ucapannya, Dr. Fa’iz memaklumkan kesedaran KKP dalam kalangan warga UTM semakin meningkat melalui rekod peningkatan aduan-aduan kemalangan nyaris dan keadaan merbahaya pada setiap tahun. Jumlah ini menunjukkan komitmen yang tinggi telah mula diberikan oleh majikan dan staf UTM terhadap isu-isu berkaitan KKP di tempat kerja.

“Ini bermakna mesej mengenai isu KKP telah dapat disampaikan secara langsung kepada para majikan, staf dan pelajar di UTM. Namun tanggungjawab warga universiti bersama JKKP di universiti dalam usaha mencari penyelesaian inovatif untuk risiko keselamatan dan kesihatan ini perlu diteruskan,” katanya.

Beberapa langkah ke arah pemantapan penilaian risiko ini telah diambil, antaranya adalah komunikasi berkesan dalam penyampaian maklumat, Penilaian Risiko Bersama, Pembangunan Penyelesaian Inovatif melalui teknologi, Pendedahan kepada Penyelidikan dan Inovasi, dan Penilaian Berterusan. Kerjasama aktif dan berterusan antara warga universiti dan JKKP adalah kunci untuk mencari penyelesaian inovatif yang berkesan dan memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang optimum di kampus dan universiti.

Beliau turut juga menyatakan tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja adalah terletak kepada mereka yang mewujudkan risiko dan bekerja dengan risiko berkenaan. Dalam konteks ini mereka yang mewujudkan risiko adalah para majikan dan siapa yang bekerja dengan risiko adalah para pekerja.

“Konsep Peraturan Kendiri atau Self-Regulation amat penting difahami dan diterapkan di tempat kerja kerana melibatkan penglibatan dan perundingan majikan dan pekerja. Jika prinsip dan falsafah ini dapat difahami, usaha ke arah menjadikan tempat kerja yang selamat dan sihat akan bertambah mudah. Majikan dan pekerja perlu mengenalpasti bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan yang paling penting adalah mengadakan kawalan risiko yang berkesan,” tambah Dr. Fa’iz.

Program sambutan Hari OSHE UTM 2023 ini turut mendapat penyertaan daripada badan-badan kerajaan, badan-badan bukan kerajaan dan agensi-agensi luar yang menjadi sebahagian pempamer reruai mengikut kepakaran bidang masing-masing.

Antaranya adalah Medicare Assistance Sdn. Bhd., Physiomobile, Balai Bomba dan Penyelamat Keramat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Balai Polis Jalan Tun Razak, Agensi Nuklear Malaysia, JKKP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, Malaysia Society of Occupational Safety and Health (MSOSH), Pejabat Kesihatan Daerah Titiwangsa, National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Regimen 515 Askar Wataniah Tentera Darat, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Obor Safety Sdn. Bhd., Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling UTMKL, Chemical Management Unit UTMKL, Pusat Kesihatan Universiti UTMKL dan Seksyen Keselamatan UTMKL.

Program ini menerima hampir 400 pengunjung yang terdiri daripada kalangan staf dan pelajar UTM, pelajar sekolah, orang awam dan pemain industri KKP yang turut diberikan mata 5 mata Continuous Education Program (CEP) oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia.

 

Explore More