Disember 28, 2024

Program Sesi Perkongsian Program Libat Sama Komuniti dan Pembelajaran Servis Siri Kedua

Disediakan oleh : Fadilah Zaini, Halimah Mohd. Yusof, Azra Ayue Abdul Rahman

JOHOR BAHRU, 15 Okt. — Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan telah menganjurkan Program Sesi Perkongsian Program Libat Sama Komuniti dan Pembelajaran Servis Siri Kedua.

Program ini merupakan siri kedua setelah kejayaan siri pertama yang diadakan pada 26 Februari 2019 yang lalu.

Program ini diadakan pada bertempat di Bilik Mesyuarat Zamrud, T08, UTM ini mengetengahkan dua orang penceramah berpengalaman dari Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi.

Penceramah yang sudi berkongsi pengalaman mereka ialah Dr. Halimah Mohd. Yusof yang berkongsi pengalaman berkenaan kaedah pendaftaran program Pembelajaran Servis di RADIS dan Dr. Azra Ayue Abdul Rahman yang berkongsi berkenaan kaedah penulisan berita di UTMNewshub berkenaan program libat sama komuniti dan pembelajaran servis.

Perkongsian ini diharap dapat menambah ilmu para pensyarah yang bertanggungjawab menyumbang ilmu dan kepakaran dalam pembangunan komuniti setempat.

Program ini diharapkan dapat menyemarakkan semangat para pensyarah untuk menganjurkan pelbagai program untuk merapatkan jurang antara masyarakat dan komuniti universiti sebagai satu proses memasyarakatkan universiti. Ini selaras dengan hasrat universiti untuk memasyarakatkan universiti agar kewujudannya sebagai sebuah universiti awam dirasai serta kehadirannya dapat dilihat dan suaranya didengari oleh masyarakat.

Konsep libat sama komuniti atau community engagement  adalah merujuk kepada proses di mana organisasi dan individu membina secara berterusan hubungan melalui kerjasama yang memberi manfaat kepada masyarakat menerusi program komuniti berimpak tinggi.

Ianya merangkumi penyertaan dari awal dengan mengenal pasti isu-isu dan menggerakkan sumber-sumber dan strategi yang relevan dalam meningkatkan masyarakat ke arah perubahan.

Pelaksanaan program komuniti berimpak tinggi merujuk kepada program atau projek yang dilaksanakan oleh Universiti dengan penglibatan komuniti dalaman (pelajar, penyelidik dan warga kampus) dan komuniti luar (setempat dan global) termasuk pihak industri.

Sehubungan itu, adalah penting bagi ahli akademik turut serta dalam memperluaskan peranan universiti dalam penyebaran ilmu dan maklumat bagi membantu pembangunan industri dan meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Explore More