November 18, 2024

Search
Close this search box.

UTM latih 64 pelajar SK Jeram Batu dalam Program Kesiapsiagaan Bencana Sekolah

PEKAN NENAS, 2 Nov. – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) telah melaksanakan Program Kesiapsiagaan Bencana Sekolah melalui kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana (DPPC).

Program ini telah dilaksanakan bagi meningkatkan persediaan komuniti warga sekolah dalam menghadapi bencana yang secara langsung telah mempromosikan kempen kesedaran bencana di sekolah.

Program yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Batu ini telah dirasmikan oleh Ketua Pembangunan Sosial IRDA, YM Raja Taufik Azad Ahmad Suhaimi. Turut hadir adalah Pengarah Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS), Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md Din dan juga Pengarah DPPC UTM, Dr. Khamarrul Azahari Razak.

YM Raja Taufik dalam ucapannya berkata IRDA telah memperkenalkan inisiatif baharu di bawah Comprehensive Development Plan (CDP) III 2022-2030 iaitu Community Crisis Preparedness Programme.

“Program ini dirangka dan dibangunkan dengan kerjasama DPPC bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman komuniti tentang risiko bencana dan persediaan untuk kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan akibat bencana,” katanya.

Sementara itu, Pengarah UTMCS, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil berkata Program ini berhasrat untuk memupuk generasi individu muda yang proaktif, berdaya tahan dan berpengetahuan untuk bertindak terhadap kecemasan dan memahami kepentingan kesiapsiagaan bencana dalam kehidupan seharian mereka.

”Penilaian pelajar dan maklum balas daripada fasilitator serta guru akan diwujudkan untuk memperhalusi dan mengembangkan modul program, memastikan ia kekal relevan dan berkesan untuk melengkapkan murid-murid sekolah rendah dengan pengetahuan dan kemahiran menyelamatkan nyawa.”

”Dengan menggunakan kaedah “Play to Learn” ke dalam modul Program ini, murid-murid sekolah dapat belajar mengenai bencana dengan lebih berkesan dan menarik dalam pendidikan mereka,” katanya lagi.

Kaedah modul Program ini menjadikan murid-murid lebih interaktif yang akan mengubah proses pembelajaran mereka menjadi pengalaman yang menyeronokkan melalui aktiviti-aktiviti permainan, simulasi audio dan praktikal tentang jenis bencana, strategi kesiapsiagaan, komunikasi risiko dan protokol kecemasan.

Seramai 10 orang sukarelawan UTM, 15 guru sekolah, lima ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru, sembilan orang dari IRDA serta 64 orang murid daripada tahun 4 sehingga 6 SK Jeram Batu telah dilibatkan bagi menjayakan Program ini.

Program ini dijalankan di SK Jeram Batu memandangkan sebahagian daripada murid dan guru sekolah ini yang tinggal di kawasan berisiko bencana di Jeram Batu dan juga telah menjadi mangsa banjir.

Perasmian program oleh Ketua Pembangunan Sosial IRDA, YM Raja Taufik Azad Ahmad Suhaimi.
Murid-murik SK Jeram Batu berkumpul di dewan serbaguna sekolah sebelum program bermula.
Ketua Fasilotator, Ts. Dr. Kogila Vani Annammala memberikan teklimat ringkas berkenaan program Kesiapsiagaan Bencana Sekolah anjuran UTM-IRDA kepada murid-murid SK Jeram Batu.
Petugas dari DPPC sedang mengagihkan alat tulis kepada murid-murid SK Jeram Batu sebelum program bermula.
Ts. Dr. Kogila Vani memberikan tunjur ajar mengenai aktiviti berkumpulan.
Murid-murid SK Jeram Batu serius menjalani aktiviti berkumpulan di dalam bilik darjah.
Salah satu kumpulan murid SK Jeram Batu yang menyertai program ini menerima hadiah penghargaan dari Penolong Naib Presiden Pembangunan Sosial IRDA, Sharifah Elyun Najlaa Syed Khalid. Turut serta adalah Pengarah UTMCS, Prof. Ir. Ts. Dr. Fadhil Md. Din (tiga kiri).
Urusetia UTM, IRDA dan SK Jeram Batu bergambar kenangan bersama peserta pada sesi penutupan program yang berlangsung di Dewan Serbaguna SK Jeram Batu.

 

Explore More