November 22, 2024

Search
Close this search box.

UTM lancar Makmal Komuniti Hulu Langat

HULU LANGAT, 23 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Sekolah Pengajian Siswazah (UGS) telah melancarkan Makmal Komuniti Hulu Langat baru-baru ini bagi tujuan pembelajaran dan pembangunan komuniti.

Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, YB Datuk Wira Hj. Johan Abd Aziz di Dewan Dato’ Nazir, Pekan Batu 14, Hulu Langat Selangor.

Makmal Komuniti kendalian UTM ini bakal menjadi hub atau pusat aktiviti pengalaman pembelajaran mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam menjalankan projek/kajian bagi pembangunan komuniti setempat di daerah berkenaan.

Kehadiran YB Datuk Wira Hj. Johan (tengah) menjadi simbolik sokongan kepada usaha UTM merakyatkan ilmu.

Turut hadir bersama pada majlis berkenaan adalah Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus, menjalankan fungsi Pengerusi Sekolah Pengajian Siswazah (UGS); Prof. Madya Ts. Dr. Asnul Dahar Minghat, menjalankan tugas Pengurus UGS Kuala Lumpur; Dr. Rasheed Mohamed Kutty, Ketua Makmal Komuniti Hulu Langat, dan Encik Norezudin Kamaruddin, Penghulu Mukim Hulu Langat serta Encik Razali Abdul Aziz, Pengurus Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hulu Langat (Dusun Tua).

Ucapan alu-aluan YB Datuk Wira Hj Johan Abd Aziz

Menurut YB Datuk Wira Hj. Johan Abd Aziz, usaha semua pihak untuk mengembangkan inisiatif UTM bagi pembangunan komuniti khususnya di Dusun Tua, Hulu Langat dalam menambah baik infrastruktur, sosial, alam sekitar dan lain-lain perlu dihargai dan dimanfaatkan oleh semua pihak.

Tambah beliau, makmal komuniti ini juga merupakan platform yang terbaik dalam memberi peluang kepada mahasiswa UTM untuk mendekati komuniti dan mendalami ilmu kemasyarakatan secara praktikal dalam menggilap kemahiran insaniah (intrapersonal dan interpersonal).

Acara perasmian Makmal Komuniti Hulu Langat disempurnakan oleh YB Datuk Wira Hj Johan Abd Aziz.

Usaha UGS ini telah bermula seawal tahun 2018 dan sehingga kini, seramai 250 orang pelajar dengan 10 kursus ko-kurikulum telah melaksanakan program service learning (SL) di Dusun Tua, Hulu Langat dengan anggaran peserta sejumlah 200 orang penerima manfaat daripada pelbagai kursus yang ditawarkan.

Sesi penyampaian hadiah aktiviti service learning.

 

Penyampaian cenderamata perasmian oleh YBrs. Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus.

 

Explore More