November 17, 2024

Search
Close this search box.

188 Pelajar,  55 Beg, 800 Meter Pantai dalam tempoh 45 Minit

Pencemaran daripada sisa plastik boleh diibaratkan sebagai malapetaka kepada hidupan laut dan kesannya terhadap alam amat membimbangkan.

Saban hari jutaan plastik digunakan manusia di seluruh dunia yang akhirnya dibuang ke tapak pelupusan sampah atau dihanyutkan ke laut dan plastik ini tidak boleh dimusnahkan dan akan menyebabkan pelbagai kesan buruk kepada alam terutamanya hidupan laut.

Seluruh dunia menyumbang kepada pencemaran daripada plastik yang akhirnya mencemar laut dan memberi masalah kepada kehidupan marin serta mengancam kesihatan manusia.

Pada 2015, satu pasukan penyelidik yang diketuai oleh pakar kejuruteraan alam sekitar University of Georgia, Prof. Jenna Jambeck mendedahkan sebahagian besar plastik di lautan bukan yang dibuang dari kapal tetapi sebaliknya berpunca daripada perbuatan manusia yang membuang sampah sewenang-wenangnya di merata tempat di darat dan sungai, sebahagian besarnya berlaku di Asia. Sisa plastik ini kemudian ditiup angin atau dibawa arus ke laut.

Lebih mengejutkan lagi, pasukan ahli sains yang sama juga mendedahkan Malaysia sebagai pelaku terburuk kelapan di seluruh dunia untuk pembuangan sisa plastik. Statistik yang dibentangkan dalam jurnal Sains pada 2015, menganggarkan Malaysia menghasilkan hampir satu juta tan sisa plastik salah urus (sisa tidak dikitar semula atau dilupuskan dengan betul) pada 2010.

Mereka juga menamakan China sebagai negara yang paling bertanggungjawab untuk sisa plastik di lautan, diikuti Indonesia, Filipina, Vietnam, Sri Lanka, Thailand, Mesir, Malaysia, Nigeria dan Bangladesh.

Isu pencemaran laut terus mendapat perhatian banyak pihak dan atas kesedaran terhadap kesan kepada hidupannya, pelbagai program dijalankan antaranya aktiviti pembersihan pantai atau ‘beach cleaning’ yang semakin popular.

Oleh itu, pada Jun 2019,  Universiti Teknologi Malaysia (UTM) komited dalam meneruskan agenda kelestarian dan mendukung inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) apabila mengorak langkah penting membina masyarakat kampus mesra alam sekitar menerusi pengisytiharaan “Kampus Tanpa Plastik Sekali-Guna” (No Single-Use Plastic).

Baru-baru ini juga, sebagai simbolik menyokong usaha UTM yang menghindarkan penggunaan plastik sekali-guna, 188 pemimpin persatuan/kelab yang sedang menjalani Kursus Pengurusan Persatuan berganding bahu mengumpulkan 55 beg berisi sisa plastik di sepanjang 800 meter Pantai Rompin.

Lebih membanggakan lagi kesemua peserta terlibat bertekad memperjuangkan kelestarian alam untuk mengelakkan lebih banyak hidupan laut diancam kepupusan.

Selain peserta KPP, lebih 10 kakitangan Jabatan HEP turut bersama-sama membersihkan pantai tersebut.

Menurut Timbalan Naib Canselor (HEP) Prof. Dr. Durrishah Idrus, UTM dan pelajarnya sentiasa komited untuk membantu menangani masalah sisa buangan plastik di negara ini.

“Banyak cara boleh kita lakukan untuk mengurangkan sampah dan penggunaan plastik tetapi ia sebenarnya melibatkan perubahan dalam banyak pelakuan dan gaya hidup harian kita.

Oleh kerana pembungkusan adalah sumber utama plastik pakai buang, bawa bekas dan beg sendiri semasa keluar membeli-belah. Anda juga boleh membawa pinggan dan sudu garfu sendiri ke restoran yang menyajikan makanan menggunakan pinggan mangkuk pakai buang.

Mungkin pada awalnya kita akan berasa agak canggung, tetapi tindakan ini mampu menjadi inspirasi dan membantu meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya menghentikan amalan penggunaan plastik,” ujar beliau lagi.

Muhammad Daniel Faizal (2 dari kanan) berpendapat usaha memerangi plastik sekali guna adalah tanggung jawab semua

Salah seorang peserta yang juga Presiden Kelab e-Sport UTM, Muhammad Daniel Faizal berpendapat, membawa makanan yang dimasak di rumah dalam bekas yang boleh diguna semula ke kuliah, tempat kerja dan semasa perjalanan juga merupakan satu lagi cara terbaik yang boleh dipraktikkan untuk mengurangkan penggunaan plastik.

Menghapuskan sisa plastik adalah satu tugas besar yang memerlukan usaha kolektif individu, organisasi dan masyarakat dan paling penting ia perlu bermula dari sekarang,” tegas pelajar tahun 2 berasal dari Kuala Lumpur ini.

Nursyafiqah Roslin (paling hadapan) bersemangat mengetuai rakan-rakan lain memulakan sesi penghapusan sisa plastik

Pelajar Tahun 2 Sarjana Muda Sains (Geoinformatik), Nursyafiqah Roslin pula terkilan dengan sikap segelintir masyarakat yang masih tidak prihatin dengan soal kebersihan.

“Mereka seolah-olah tidak ada kesedaran sivik  tergamak membuang sampah di sekitar Pantai Hiburan yang sangat indah ini.

Harapan saya moga generasi sekarang lebih menitikberatkan penjagaan keindahan alam yang masih ada ini” ujarnya lagi yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Kelab Geoinformatik UTM.

Kesemua peserta bersama 55 Guni Sisa Plastik yang dikumpul

Explore More