November 22, 2024

Search
Close this search box.

Menginovasi penyelesaian isu kewangan persatuan dan penajaan dalam sukan

Dewasa ini, sering kita mendengar tentang masalah yang sedang menyelubungi negara kita lebih-lebih lagi berkenaan ekonomi negara yang semakin merudum. Ketidakstabilan ekonomi menyebabkan banyak masalah kewangan termasuklah isu kewangan persatuan dan penajaan dalam sukan yang mana memberi impak yang besar dalam dunia kesukanan di negara kita, Malaysia. Tambahan pula, perkembangan sukan dan kejayaan Malaysia di peringkat antarabangsa dalam sukan semakin mengorak langkah ke hadapan yang cuba mengejar kejayaan negara-negara besar seperti China, Indonesia, Filipina, Thailand dan banyak lagi.

 

Townhall Sukan UTM bagi membincangkan dan mencari solusi isu-isu sukan dalam UTM.

Dengan masalah yang melanda negara kita ini boleh menyebabkan punca kejatuhan daripada kejayaan yang kita kecapi. Hal ini dikatakan demikian kerana jika tiada habuan atau penajaan kepada para atlet, semangat kesukanan mereka akan mula pudar, fasiliti-fasiliti sukan juga akan kekurangan dana penambahbaikan, tidak mengikuti arus perkembangan inovasi terkini dan tidak secanggih fasiliti sukan yang terdapat di luar negara. Kesannya menjadikan negara kita ketinggalan dalam perkembangan dan kemajuan sukan dan latihan kepada para atlet tidak akan dapat setanding dengan negara besar yang lain. Oleh yang demikian, setiap pihak perlu berusaha dalam menginovasi penyelesaian masalah isu kewangan persatuan dan penajaan dalam sukan. Tidak dapat dinafikan kewangan adalah merupakan sumber penting kantung persatuan sukan untuk menghantar atlet keluar bertanding bagi mendapatkan pendedahan.

 

Kerjasama bersama Masjid UTM bagi menjalankan program sukan bagi kanak-kanak bawah 12 tahun secara percuma.

Antara usaha dalam menginovasi penyelesaian masalah isu kewangan persatuan dan penajaan dalam sukan ialah persatuan sukan kebangsaan perlu memainkan peranan penuh dengan lebih kreatif dan efektif dalam mencari penajaan dengan lebih banyak lagi. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan mencari penajaan dari syarikat-syarikat besar dan syarikat pengeluar barangan sukan bukan sahaja dapat membantu persatuan dalam menampung kos perbelanjaan buat atlet, malahan akan dapat memberikan banyak kelebihan kepada syarikat itu sendiri kerana kesannya produk yang dihasilkan akan lebih terkenal dalam kalangan masyarakat lebih-lebih lagi jika mereka melihat atlet kebangsaan dan kebanggaan negara menggunakan dan memperagakan produk tersebut. Pengecualian cukai juga dapat diberikan kepada mana-mana syarikat yang menjalankan program Corporate Social Responsibility (CSR) seperti menyumbang dana terhadap penganjuran program acara sukan.

Selain itu, penajaan syarikat kepada atlet sukan juga dapat memberi kepercayaan kepada masyarakat terhadap kualiti barangan dan peralatan yang dihasilkan oleh syarikat tersebut. Sebagai contoh yang dapat kita lihat seperti jenama terkenal di seluruh pelosok dunia, Adidas dan Nike. Mereka menggunakan atlet-atlet yang terkenal bagi memperagakan produk mereka dan dengan mudah syarikat pengeluar barangan sukan tersebut dapat menambat hati para pengguna dan meraih keuntungan besar melalui jualan produk sukan mereka. Oleh itu, persatuan sukan kebangsaan perlu lebih teliti dan efektif dalam mencari penajaan supaya dapat mengelakkan atlet menjadi mangsa apabila digugurkan daripada program dengan alasan tidak mempunyai kos yang mencukupi bagi menampung semua atlet.

 

Usaha membuka kedai sit & chill spa bagi mengumpul dana untuk memajukan program Sukan UTM.

Selain itu, usaha lain yang dapat dicadangkan bagi menginovasi penyelesaian masalah isu kewangan persatuan dan penajaan dalam sukan ialah persatuan perlu lebih bijak dalam menguruskan perbelanjaan dalam memastikan keseimbangan akaun keluar masuk duit persatuan itu sendiri. Sebagai contoh, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM 50,000 bagi persatuan di bawah badan kerajaan, persatuan tersebut pula dapat menerima penajaan sebanyak RM50,000 termasuk barangan dan pakaian sukan bagi para atlet.

Dengan pendapatan yang diperolehi oleh pasukan tersebut, mereka perlu bijak menguruskan keluar masuk duit dengan tidak membuat pembaziran dari perkara yang tidak diperlukan bahkan persatuan boleh melakukan penjanaan pendapatan seperti penganjuran klinik, kursus dan seminar untuk masyarakat umum bagi menambah bajet kewangan persatuan Bukan itu sahaja, jika pihak penaja telah menyediakan fasiliti sukan dan pakaian kepada para atlet, persatuan tidak perlu bersusah-payah dalam mengeluarkan kos tidak berkaitan demi mendapatkan nama dan untuk bermegah-megah. Perbelanjaan persatuan perlulah stabil dan seimbang.

 

Usaha menjalankan program seminar dan kursus bagi membantu dana kewangan persatuan.

Secara tuntasnya, belanjawan persatuan merupakan peruntukan sumber untuk aktiviti yang akan dijalankan. Tujuan membuat belanjawan adalah untuk membuat ramalan pergerakan sumber wang. Ia tidak hanya dikhususkan hanya dengan wang sahaja,ia  juga termasuk sumber manusia, mesin, masa, ruang dan sebagainya. Oleh itu, adalah sangat penting perancangan yang strategik dan persatuan dan kelab sukan menginovasi penyelesaian masalah sejak dari awal tahun bagi memastikan program sukan yang dianjurkan dapat berjalan lancar dan berkesan.

 

Oleh Nursyazreen Natasha Jafri, Muhammad Irfan Mahmood dan Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip

Explore More