November 26, 2024

Search
Close this search box.

Persediaan Modal Insan menurut perspektif pemain industri

JOHOR BAHRU, 26 Sept. – Perubahan semasa pasaran kerjaya memberi implikasi dalam penghasilan modal insan termasuk pelajar universiti. Sebagai jentera penggerak bagi pembangunan dan kemajuan negara, persediaan pelajar dari aspek akademik dan bukan akademik seharusnya relevan dan selari dengan keperluan industri.

Senario ini perlu diketengahkan secara menyeluruh untuk memberi kesedaran bukan sahaja kepada pelajar malah tenaga pengajar di institusi pengajian. Menyedari hakikat kepentingan tersebut, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Kerjaya UTM (UTMCC) telah dipilih oleh Khazanah Nasional Berhad untuk bekerjasama menganjurkan sesi pertemuan antara wakil industri dengan para pentadbir akademik UTM.

Sesi yang dinamakan Super Tuesday, dijalankan di Perpustakaan Zarith Sofiah, UTM Johor Bahru telah dihadiri kira-kira 70 orang wakil pengurusan daripada setiap fakulti. Program berbentuk bual santai ini mengupas isu-isu modal insan dalam pasaran kerjaya serta kompetensi pelajar yang diharapkan oleh industri apabila mereka memasuki alam pekerjaan kelak.

Panel yang dijemput dalam sesi tersebut, En. Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi, Managing Consultant, SE Consulting, Smart Entity Sdn Bhd dalam topik yang dibincangkan ‘How can you prepare graduates for the future of work and why it is important?’ berkata, pertemuan yang diadakan ini sedikit sebanyak dapat memberi input kepada universiti untuk meningkatkan reka bentuk kurikulum dan penyampaian pembelajaran yang relevan untuk ekonomi digital dan pasca-COVID 19.

Jurang antara kompetensi yang diperlukan dalam pasaran kerjaya dengan penghasilan bakat di institusi pengajian perlu dikecilkan bagi membolehkan mereka berfungsi secara maksimum seterusnya mampu meningkatkan produktiviti.

Sesi tersebut turut dihadiri oleh En. Mohammad Razip Mohammad Zin, Pengarah Bahagian Pengurusan Strategik Modal Insan, Khazanah Nasional Berhad, Prof. Madya Dr. Che Rozid  Mamat, Pengarah Pusat Kerjaya UTM serta barisan pegawai UTM.

 

Explore More