November 26, 2024

Search
Close this search box.

UTMFC timba pengalaman berguna di SUKANUN 2023

ARAU, 9 Sept. – Pendedahan awal yang positif. Begitulah ungkapan dalam merumuskan pencapaian UTMFC yang ditunjukkan jalan keluar lebih awal dalam acara Bola Sepak Kejohanan Sukan Badan Berkanun Malaysia (SUKANUN) pada 4- 9 September 2023.

Acara yang berlangsung di Padang Bola Sepak, Universiti Teknologi MARA, Arau, Perlis, UTMFC yang diundi bersama dua pasukan pilihan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam kumpulan D tewas kedua-dua perlawanan dengan jaringan 0-3 (MBPJ) dan 0-2 (MBSA). 

Pendedahan pertama UTMFC dalam SUKANUN ternyata menjadi pengalaman berguna kepada pemain memandangkan persaingan yang lebih kompetitif melibatkan 35 pasukan dalam acara bola sepak.

Format permainan yang bermain secara 9 sebelah juga menguji kemahiran bermain dan tahap kecergasan yang tinggi. Rata-rata pemain yang beraksi mengakui kekurangan pengalaman beraksi dalam format 9 sebelah menjadi faktor mereka pulang awal.

Jurulatih, Khairul Ali menyifatkan skuad UTMFC perlu belajar dan bangkit menyesuaikan diri dengan permainan 9 sebelah untuk memberi saingan dalam SUKANUN akan datang.

“Kita perlu menyertai banyak pertandingan 9 sebelah di peringkat dalaman atau sekitar Johor agar pemain dapat menyesuaikan diri dengan taktikal. Namun begitu, kita tidak mahu terlalu fokus kerana sasaran utama kita adalah menyediakan pemain untuk Kejohanan sukan Staf Universiti Awam pada tahun 2024”, ujar beliau.

Format permainan yang turut menyelitkan dua orang pemain veteran di atas padang juga dilihat satu pendedahan baru buat pemain veteran juga. Pasukan veteran UTMFC yang merangkul pingat emas pada SUKUM 2022 di UPM menyelitkan lima pemain dalam skuad ke SUKANUN kali ini.

Ternyata intensiti permainan yang tinggi ditambah jarak perlawanan yang singkat menuntut kadar kecergasan yang tinggi.

Salah seorang pemain veteran, Dzulhelmi Mohd Razali memuji skuad atas penyertaan kali ini dan percaya skuad akan lebih menyinar pada SUKANUN akan datang.

“Pada awalnya kita ragu-ragu dengan kemampuan kita kerana tidak pernah menyertai SUKANUN dan tidak biasa dengan format 9 sebelah. Namun, jika kita cuba sekarang bila lagi kita nak tahu kemampuan kita? Insya Allah dengan persediaan rapi kita akan kembali lebih mencabar pada 2025 nanti”, katanya.

Sementara itu pengurus pasukan Md Norazam Mohd Zain turut berpuas hati walaupun tewas awal.

“Kita dalam fasa mencari rentak dalam SUKANUN dan penyertaan ini adalah pengajaran yang baik untuk kita bangkit dalam penyertaan SUKANUN akan datang. Kita berharap, pihak UTM Sports Excellence terus memberi sokongan kepada skuad bola sepak dan juga acara lain untuk sama-sama beraksi dalam SUKANUN”, ujar beliau.

Kontinjen UTM menghantar tiga acara sukan sahaja pada SUKANUN 2023 melibatkan sukan bola sepak, bowling dan catur melibatkan 40 orang atlet dan pegawai.

Explore More