November 24, 2024

Search
Close this search box.

UTM pergiat strategi tingkatkan kebolehpasaran graduan

Faktor-faktor peningkatan kepada kebolehpasaran graduan universiti. Apa tindakan UTM terhadap peningkatan kebolehpasaran graduan universiti ini.

Akhbar Harian Metro bertarikh 18 Februari 2023 melaporkan lebih 90,000 graduan berdepan dengan masalah pengangguran akibat kekurangan peluang pekerjaan di samping pengeluaran lepasan universiti secara ‘berlebihan’ oleh institusi pendidikan tinggi tempatan.

Untuk rekod, secara purata, 224,000 graduan dilahirkan pada setiap tahun berbanding penawaran kerja berkemahiran tinggi hanya 127,000.

Oleh itu, bakinya iaitu lebih 90,000 graduan berdepan dengan masalah untuk memasuki alam pekerjaan akibat kekurangan penawaran pekerjaan berkemahiran tinggi.

Kajian Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) mendedahkan bahawa secara purata, ada 224,000 graduan lepasan universiti setiap tahun sekali gus mewujudkan persaingan sengit untuk memasuki alam pekerjaan.

Kajian itu juga menyatakan bahawa penciptaan pekerjaan oleh ekonomi negara ini adalah sekitar 258,000 sehingga 326,000 merangkumi pekerjaan mahir, separa mahir dan berkemahiran rendah.

Daripada jumlah itu, pekerjaan berkemahiran tinggi yang khusus untuk graduan lepasan universiti adalah 127,000 saja. Manakala 198,000 adalah pekerjaan kategori separa mahir dan berkemahiran rendah.

a) Faktor-faktor yang boleh meningkatkan kebolehpasaran graduan secara efektif dalam satu-satu masa itu

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendefinisikan Kebolehpasaran Graduan (GE) sebagai peratusan graduan Bekerja, Melanjutkan Pengajian, Menunggu Penempatan Pekerjaan dan Meningkatkan Kemahiran.

Kebolehpasaran graduan sangat bergantung kepada penawaran pekerjaan dalam pasaran kerjaya namun ianya menjadi lebih efektif sekiranya universiti memainkan peranan penting dalam membantu mendapatkan peluang pekerjaan menerusi jaringan kerjasama dengan pelbagai industri. Pelbagai program intervensi kerjaya dilakukan di Universiti, antaranya geran padanan pekerjaan, program peningkatan kemahiran yang disusuli dengan peluang pekerjaan, dan banyak lagi. Pihak Kementerian sangat menitikberatkan inisiatif sebegini melalui pengenalan geran intervensi kebolehpasaran graduan.

Majikan juga amat gemar kepada graduan yang mempunyai kepelbagaian kemahiran baharu bagi memenuhi keperluan semasa industri selain daripada pengetahuan mengenai bidang pengajian yang diikuti di samping mempunyai kemahiran komunikasi, berfikiran luar kotak, berkaliber (kepimpinan) dan juga mampu untuk mengadaptasi keadaan di tempat kerja di samping lebih bersedia untuk ditempatkan bekerja di mana-mana lokasi cawangan majikan di serata negara.

b) Kebanyakan graduan memperolehi pekerjaan yang jauh berbeza daripada jurusan yang mereka pelajari ketika menuntut di universiti. Bagaimana anda melihat perkara ini dan apakah yang dapat dilakukan dalam memberikan imbangan dalam perkara ini?

 Secara dasarnya UTMCC telahpun membuat kajian berkenaan dengan dapatan pekerjaan mengikut bidang atau jurusan yang dipelajari semasa menuntut di universiti dan hasil dapatan menunjukkan statistik Bekerja Dalam Bidang (BDB) yang dicapai menghampiri 70 peratus.

Sekiranya berlaku ketidakpadanan, ia dapat dilihat dari tiga perspektif iaitu:

  1. pekerjaan yang dilakukan tidak selari dengan bidang pengajian mereka di universiti serta gaji yang diterima tidak sepadan dengan kelulusan ijazah,
  2. pekerjaan yang dilakukan selari dengan bidang pengajian mereka di universiti tetapi gaji yang diterima tidak sepadan dengan kelulusan ijazah,
  • pekerjaan yang dilakukan tidak selari dengan bidang pengajian mereka di universiti, tetapi gaji yang diterima sepadan dengan kelulusan ijazah.

Walaupun secara asasnya faktor ketidakpadanan BDB (i) dan (ii) banyak disebabkan oleh penawaran pekerjaan dan gaji daripada majikan, namun peratusan senario ini dapat dikurangkan sekiranya graduan lebih bersifat terbuka untuk bekerja tanpa mengira lokasi pekerjaan. Ini kerana terdapat segelintir graduan menjadikan lokasi yang berdekatan dengan hometown sebagai faktor utama walaupun pekerjaan dan gaji yang ditawarkan tidak sepadan.

Bagi ketidakpadanan (iii), senario ini berlaku disebabkan oleh faktor seperti graduan memilih untuk menjalankan perniagaan sendiri atau freelancer sebagai pekerjaan. Terdapat juga graduan yang ditawarkan pekerjaan kerana mempunyai kemahiran tertentu dalam sesuatu bidang. Walaupun senario ini dikategorikan sebagai ketidakpadanan, namun boleh dikategorikan sebagai isu kurang kritikal berikutan penawaran pendapatan adalah sepadan dengan kelayakan pendidikan mereka, dan seiring dengan konsep kerjaya yang lebih terbuka pada masa kini.

c) Daripada perspektif penawaran, kemahiran yang diperoleh oleh graduan dari institusi pendidikan sebahagian besarnya tidak memenuhi kehendak pasaran. Sebahagian graduan perlu melalui proses latihan semula oleh industri dan pusat latihan bagi memastikan kemahiran mereka dapat memenuhi tuntutan kerja di industri. Apakah pandangan anda berkaitan perkara ini dan apakah yang dapat dilakukan institusi pendidikan bagi mengatasi masalah ini?

Graduan yang bergraduasi dari universiti telah dipersiapkan dengan pelbagai pengetahuan dan pengalaman kerja mengikut bidang pengajian yang diikuti.  Melalui latihan industri (LI) atau praktikal yang dilalui semasa di universiti, penguasaan kemahiran insaniah ini dapat diperkukuhkan selain didedahkan dengan teknologi terkini bagi memenuhi keperluan semasa dunia pekerjaan.

Walaubagaimanapun masih terdapat graduan yang dihasilkan masih tidak dapat memenuhi kehendak pasaran pekerjaan berikutan keperluan kemahiran adalah berbeza bagi setiap lapangan pekerjaan. Ada sebahagian sektor pekerjaan yang memerlukan kemahiran yang agak lambat untuk berubah di samping sebahagian besar darinya sentiasa berubah mengikut keadaan semasa.

Bagi membantu mengurangi jurang ini, hubungan yang erat dengan pelbagai sektor industri perlu dilaksanakan bagi mengenalpasti keperluan terkini yang diperlukan. Pelajar perlu diberikan pendedahan dan peluang berhubung dengan industri dengan lebih awal selain menjalin hubungan rapat dengan pelbagai industri melalui aktiviti seperti voluntary internship, apprenticeship dan lawatan industri. Melalui strategi ini, pelajar berpeluang mempelajari kepelbagaian kemahiran yang akan dapat mereka adaptasi dalam kerjaya mereka kelak.

Pihak industri juga boleh melibatkan diri dengan latihan pekerjaan untuk lepasan universiti melalui kerjasama dengan pihak yang dilantik kerajaan/kementerian atau universiti itu sendiri bagi memberikan latihan yang sewajarnya kepada lepasan universiti dan seterusnya diserap sebagai pekerja kepada industri yang berkaitan (dilaksanakan melalui perjanjian/memorandum persefahaman) diantara kementerian/jabatan/universiti dengan pihak industri yang berkenaan.

d) Mungkinkah institusi pengajian tinggi boleh memperkenalkan kursus kemahiran komunikasi interpersonal kepada mahasiswa yang menjadi kemestian kepada semua pencari kerja masa kini?

Kursus kemahiran komunikasi sememangnya merupakan kursus umum di Universiti, yang sentiasa disemak keberkesanannya dari masa ke masa.

Pengenalan kursus kemahiran komunikasi menjadi salah satu platform terbaik bagi memberi pendedahan dan kesedaran (awareness) kepada pelajar berkenaan kepentingan kemahiran komunikasi secara profesional untuk membantu mereka dalam pasaran kerjaya. Selain kemahiran ini, keyakinan diri turut melengkapkan lagi pelajar untuk menjadi graduan yang holistik.

Semua kemahiran asas ini menjadi salah satu isu yang diperkatakan oleh industri dalam pencarian bakat baharu dari kalangan graduan. Kemahiran ini seterusnya dapat dipertingkatkan menerusi penglibatan pelajar dalam pelbagai aktiviti experiential learning yang memerlukan mereka berkomunikasi dengan lebih ramai individu.

e) Penguasaan Bahasa Inggeris yang baik juga mungkin menjadi penentu untuk seseorang graduan itu dipilih oleh majikan. Bagaimana anda melihat kepada faktor penguasaan bahasa kedua ini menjadi penentu bagi seseorang itu dipilih oleh majikan?

Tidak dinafikan penguasaan bahasa Inggeris menjadi satu kelebihan kepada graduan untuk diterima bekerja dalam industri selain mempunyai pilihan kerjaya yang lebih meluas. Industri antarabangsa dan multinasional sangat memerlukan kemahiran ini bagi memudahkan komunikasi dalam organisasi.

Walaubagaimanapun penguasaan bahasa kedua ini juga perlu dilengkapkan dengan kelayakan dan kemahiran yang diperlukan oleh industri berkenaan seperti pengetahuan bahasa asing tambahan seperti Jepun, Jerman, Korea dan Perancis (kebiasaannya negara-negara kuasa industri).  Penguasaan bahasa ini dilihat dapat memberikan kelebihan dan boleh menjadikan seseorang itu dipilih sebagai keutamaan terutamanya jika ingin bekerja dengan syarikat yang berasal dari negara berkenaan.

f) Apakah inisiatif yang telah UTM ambil bagi menyumbang kepada GE 99% serta menjadi Universiti no. 1 dengan kadar gaji premium?

Pencapaian GE 99% oleh UTM adalah hasil sinergi yang dilakukan oleh pihak Universiti menerusi pasukan ‘Rising Above Covid-19 Challenges – Graduate Employability’ (RACE GE). Ia ditubuhkan sejak tahun 2020 yang terdiri daripada penglibatan Fakulti dan pusat tanggungjawab di peringkat pusat yang merencana program, aktiviti, serta inisiatif berfokus berdasarkan data pencapaian Kebolehpasaran Graduan yang lepas.

Selain menyediakan pelbagai program peningkatan kemahiran kepada pelajar dan graduan bagi meningkatkan peluang pekerjaan, Universiti turut bersama membantu memadankan peluang pekerjaan dan latihan industri kepada graduan menerusi sesi engagement bersama industri serta program train & place di bawah Dana Intervensi Kebolehpasaran Graduan dan Program Jana Semula Ekonomi Negara – Career Advancement Program (PENJANA KPT-CAP).

Pencapaian Universiti menghasilkan graduan di ’ranking’ no. 1 dengan kadar gaji premium direalisasikan menerusi inisiatif berikut iaitu mengenalpasti industri yang berpotensi menawarkan pendapatan melebihi RM4,000 bagi graduan berkelulusan ijazah pertama. UTM menjalin hubungan rapat dengan industri premium menerusi pelbagai aktiviti kerjaya seperti Karnival Kerjaya berfokus di samping menyediakan platform kepada industri premium untuk bertemu dengan pelajar seterusnya memberi keyakinan kepada mereka akan kualiti pelajar dan graduan yang dihasilkan oleh UTM.

Pusat Kerjaya Universiti Teknologi Malaysia (UTMCC) menerima Anugerah Kebolehpasaran Graduan UTM 2021 dan 2022 diatas pengukuran statistik graduan UTM yang mendapat pekerjaan serta menyambung pengajian  oleh KPT.
Menteri KPT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberikan komen positf mengenai kebolehpasaran graduan (GE) UTM

UTM Career Carnival 2023 merupakan medan bagi pihak majikan/industri mencari bakal pekerja yang berkualiti dari UTM.

Explore More