November 3, 2024

Search
Close this search box.

UTM dan Jabatan Perhutanan Negeri Johor jalin kerjasama sokong aktiviti makmal hidup UTM-JPNJ

JOHOR BAHRU, 9 Mei – Surat Kerjasama diantara Universiti  Teknologi Malaysia (UTM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) telah dimeterai semasa majlis yang diadakan pada 9 Mei 2023 yang lalu bertempat di KSL Hotel Johor Bahru  ketika perasmian Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan, Hutan Simpan Panti, Kota Tinggi, Johor yang diadakan selama tiga hari bermula 8-11 Mei 2023.

Surat Kerjasama di antara UTM dan Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) di bawah Makmal Hidup UTM-JPNJ ini  telah ditandatangani oleh YBhg. Dato’ Haji Salim Bin Aman (Pengarah JPNJ), sebagai wakil daripada JPNJ dan YBhg. Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTM) mewakili Naib Canselor UTM, disaksikan oleh YB Tuan Raven Kumar a/l Krishnasamy (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor).

Majlis turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur, Prof. Sr Dr Kherun Nita bt Ali dan ahli Makmal Hidup UTM-JPNJ.

Susulan termeterainya surat kerjasama ini, YBhg. Dato’ Pengarah dan Ybhg TNC HEP UTM mengharap kedua-dua pihak memberikan komitmen penuh terhadap semua perancangan aktiviti yang telah dipersetujui untuk 5 tahun akan datang. Menerusi kerjasama ini, kedua belah pihak bersetuju untuk menjadikan Hutan Simpan Panti Kota Tinggi Johor sebagai hub penyelidikan.

Ahli makmal hidup UTM-JPNJ yang terdiri daripada 30 staf akademik dan penyelidik daripada Fakulti Alam Bina dan Ukur, Unit Pelestarian Kampus, MJIT, ISI-SIR dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik yang dibahagikan kepada empat kluster penyelidikan telah merancang aktiviti selama 5 tahun yang tidak terhad kepada penilaian stok karbon bagi tujuan pemberian kredit karbon menggunakan teknologi geospatial, kajian teknologi ramalan kepala air, konflik laluan gajah, rawatan tanah dan baja kompos 3R, rekabentuk nurseri berteknologi dan terlibat dalam  program Communication, Education and Public Awareness (CEPA) yang menfokuskan kepada pengekalan, konservasi dan perlindungan hutan.

Aktiviti yang dirangka di bawah jalinan kerjasama ini merangkumi pemindahan ilmu dan teknologi, latihan, konsultansi dan penyelidikan dan penerbitan bersama.

JPNJ, selain bertindak sebagai pemegang taruh kepada Makmal Hidup UTM-JPNJ, JPNJ berharap melalui kerjasama yang ditandatangani, ianya dapat meningkatkan ‘visibility’ dan peranan mereka bukan sahaja kepada pihak universiti malahan kepada orang awam, mahupun agensi-agensi lain yang berkaitan dengan bersama-sama menganjurkan aktiviti dan program yang berkaitan dengan skop kerjasama ditandatangani.

Manakala, FABU berharap jalinan kerjasama yang wujud ini akan memperkukuhkan hubungan di antara dua belah pihak dalam membekalkan penyelesaian inovatif  untuk kekal kompetitif dalam menghadapi cabaran global dan isu setempat.

 

Explore More