JOHOR BAHRU, 19 Jun – NUPC 2023 merupakan persidangan tahunan yang dianjurkan oleh pelajar tahun 4 SBEW (Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah) dengan tujuan untuk berkongsi hasil akhir projek dan kajian yang telah mereka laksanakan. NUPC 2023 dianjurkan secara bersama Persatuan Mahasiswa Perancangan Bandar dan Wilayah (PEWIBAWA) UTM dan Program Perancangan Bandar dan Wilayah UTM, di bawah naungan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), pada 18 & 19 Jun 2023.
Persidangan ini telah disempurnakan di Dewan Konvensyen FABU (Fakulti Alam Bina dan Ukur) dengan kolaborasi beberapa pihak iaitu, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Malaysian Institute of Planners (MIP), UTMAlumni, Centre for Innovative Planning and Development (CIPD).
Bertemakan Reshaping Urban Planning Towards Malaysia MADANI, persidangan ini membuka peluang untuk para mahasiswa, ahli akademik, pembuat dasar, pengamal ikhtisas dan industri dalam bidang perancangan bandar dan wilayah untuk membincangkan dengan lebih lanjut mengenai cabaran yang dihadapi serta iltizam yang diperlukan untuk merealisasikan Malaysia MADANI. Persidangan ini mendapat kerjasama dan sokongan padu agensi kerajaan, firma swasta dan universiti awam (UA) yang lain.
Sejumlah 301 orang peserta terlibat dalam persidangan ini yang meliputi 157 orang pelajar Perancangan Bandar dan Wilayah UTM, 15 orang pelajar Perancangan Bandar dan Wilayah UTMSPACE, 11 orang Pensyarah Perancangan Bandar dan Wilayah UTM, 52 orang pelajar universiti awam yang lain, dan 66 orang jemputan luar.
Program dimulakan dengan ucapan aluan daripada Saudara Muhammad Syamim Qayyum Bin Roslan selaku Pengarah NUPC 2023 dan diikuti dengan perasmian oleh YBrs. Prof. Sr Dr. Hishamuddin Bin Mohd Ali, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM.
Turut hadir termasuk YBrs. Prof. Sr Dr. Kherun Nita Bte Ali, Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur dan jemputan khas Prof. Emeritus Dr. Noor Sharipah Sultan Sidi, Profesor Emeritus Universiti Teknologi Malaysia.
Kemuncak persidangan adalah Sesi Ucaptama yang disampaikan oleh YBrs. Prof. Adjung TPr Dr. Alias bin Rameli, Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (PLANMalaysia) yang memberi liputan menyeluruh dan mendalam tentang konsep Malaysia MADANI serta mengaitkan dengan kritis konsep ini dengan pelbagai inisiatif dan prinsip perancangan yang telah dilaksanakan sebelum ini.
Sesi Expert Talk yang seterusnya dimoderasikan oleh YBhg. Prof. Dato’ TPr Gs. Dr. Ahmad Nazri Muhd Ludin, Profesor Perancangan Bandar dan Wilayah UTM dan menampilkan barisan panel pengucap yang terdiri daripada YBhg. Datin TPr Hjh Noraida Saludin, Presiden Malaysian Institute of Planners (MIP), YBrs. TPr Dr. Chee Ping Ngang, Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Percangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (PLANMalaysia), dan YBrs. TPr Dr. Noraini Omar Chong, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah (FSU), Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Untuk memperkayakan lagi pengisian NUPC 2023, ruang pameran turut disediakan untuk PLANMalaysia, CIPD dan Alha Alfa selaku Penaja Utama NUPC 2023 mempamerkan hasil kerja dan produk masing-masing. Peserta program berpeluang melihat dan mengetahui lebih banyak lagi berkaitan dengan produk daipada ketiga-ketiga reruai pameran yang disediakan.
Sesi petang NUPC 2023 melibatkan lima sesi selari dengan tema khusus, iaitu Parallel Session 1 : Leveraging Big Data and Geospatial Analytics for Regenerative Environment, Parallel Session 2 : Shifting Sustainable Tourism Development for Better Forward, Parallel Session 3 : Mainstreaming Rural MADANI for future Resilience, Parallel Session 4 : Innovating Urban Planning Towards a Greater Resilient Nation dan Parellel Session 5 : Creating Sustainable Mobility System for Future Now.
Setiap peserta yang terlibat membentangkan hasil kajian Projek Sarjana Muda (PSM) masing-masing kepada moderator dan peserta yang lain.
Seorang peserta daripada setiap lima Sesi Selari akan dipilih sebagai pembentang terbaik oleh moderator dan diberi sijil penghargaan oleh YBrs. Prof. Ts Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi, Pembangunan), Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM yang kemudiannya menyempurnakan Majlis Penutup NUPC 2023.
Program yang dianjurkan mendapat sambutan yang amat baik dan merima maklum balas yang memberangsangkan khususnya daripada pihak PLANMalaysia.
Oleh : Dr. Mohd Alif Mohd Puzi