November 25, 2024

Search
Close this search box.

Program Sarjana Muda Ukur Bahan Bergerak Seiring Kehendak Industri, Hasilkan Graduan Masa Depan Sektor Pembinaan

JOHOR BAHRU, 16 Mei – Jabatan Ukur Bahan (JUB) di bawah Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) telah menjemput Pemeriksa Luar bagi menyemak kurikulum Program Sarjana Muda Ukur Bahan UTM.

Pemeriksa Luar yang telah dijemput adalah Profesor Madya Sr Dr. Lim Yoke Mui, pensyarah dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan & Perancangan di Universiti Sains Malaysia (USM) dan juga Sr. Mohd Asri Hassan, pengarah di firma konsultan ukur bahan Baharuddin Ali & Low Sdn. Bhd.

Lawatan ini turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Alam Bina iaitu Prof. Sr Dr. Kherun Nita Bte Ali serta ahli-ahli jabatan Ukur Bahan.

Lawatan ini bertujuan untuk membincangkan kesesuaian kurikulum yang sedang digunapakai bagi Program Sarjana Muda Ukur Bahan dan mendapatkan cadangan penambahbaikan program untuk pelaksanaan pengajaran di masa akan datang.

Penglibatan ahli akademik dari USM dan pemain industri dari syarikat konsultan ukur bahan bertujuan untuk menuai idea-idea bernas bagi meningkatkan daya saing program dalam penghasilan graduan-graduan kompetitif di sektor pembinaan.

Agenda program lawatan dimulakan dengan ucapan pembukaan daripada Pengarah program, Sr. Dr Muzani Mustapa bagi memperkenalkan Jabatan Ukur Bahan dan program Sarjana Muda Ukur Bahan kepada para pemeriksa.

Seterusnya, ucapan alu-aluan oleh tetamu jemputan Sr Dr. Lim Yoke Mui dan Sr. Mohd Asri Hassan dan harapan mereka sebelum memulakan sesi pemeriksaan.

Program diteruskan dengan sesi penyemakan fail kursus pengajaran dan temubual bersama pelajar-pelajar bagi mendapatkan maklumbalas tentang keberkesanan program ini.

Selain itu, hasil-hasil pembelajaran seperti tesis dan buku panduan kurikulum juga disediakan untuk rujukan para pemeriksa luar.

Para pemeriksa juga telah menemubual pelajar-pelajar ukur bahan bagi mendapatkan pandangan dan perkongsian tentang program dari perspektif pelajar.

Pelajar-pelajar yang terlibat telah bersetuju untuk membantu  mempertingkatkan keberkesanan program dimasa akan datang.

Program lawatan diakhiri dengan pembentangan para pemeriksa mengenai hasil dapatan pemeriksaan mereka. Para pemeriksa telah memberikan maklumbalas positif kepada perjalanan program dan digalakkan untuk terus dilaksanakan bagi memperkasa para graduan ukur bahan di masa akan datang.

Beberapa idea pemurnian juga telah diutarakan kepada penyelaras program dan pengarah jabatan untuk penambahbaikan. Majoriti ahli-ahli jabatan bersetuju dengan idea-idea yang telah diutarakan dan akan mempertimbangkannya di mesyuarat semakan kurikulum di masa terdekat.

Para pemeriksa akhirnya menzahirkan penghargaan diatas jemputan dari jabatan ukur bahan untuk memeriksa kurikulum program. Pihak jabatan juga mempersembahkan cenderahati kepada pelawat sebagai tanda penghargaan diatas sumbangan yang telah diberikan.

Diharapkan lawatan ini membuahkan hasil yang positif untuk memangkin kemajuan industri pembinaan melalui penerapan ilmu bermanfaat kepada generasi seterusnya.

Explore More