November 22, 2024

Search
Close this search box.

UTM, MBIP, JPNJ, IRDA anjur Program Kitar Semula Pandu Lalu@UTM

JOHOR BAHRU, 30 Jul. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah menganjurkan Program Kitar Semula Pandu Lalu@ UTM.

Program yang berlangsung di Laman Menanti, kampus UTM Johor Bahru ini turut mendapat sokongan padu dan jitu dari syarikat pelupusan sisa pepejal, Southern Waste Management (SWM) Sdn. Bhd dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Pengarah Program, Nurul Amrie Abdullah berkata program yang berkonsepkan ‘Pandu Lalu’ ini menerima barangan terpakai yang terdiri dari pakaian terpakai, barangan kitar semula (tin, botol kaca, plastik dan kertas), minyak masak terpakai, alat tulis serta buku terpakai.

“Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk membudayakan budaya lestari dalam kalangan warga UTM dan juga komuniti setempat, di samping meningkatkan aktiviti rendah karbon dalam kawasan kampus ini.

“Kami juga mensasarkan peningkatan kesedaran dalam kalangan warga kampus berkenaan dengan kepentingan pemuliharaan alam sekitar melalui proses kitar semula,” katanya ketika diwawancara Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat (OSCA) pagi tadi.

Menurutnya lagi, setiap barangan yang diterima dibahagikan kepada empat komponen menerusi khemah yang berlainan, dan setiap kenderaan yang masuk akan terus menuju ke khemah yang bakal menerima barangan terpakai yang ingin diserahkan.

“Untuk minyak masak terpakai, setiap botol yang diserahkan akan ditimbang dan pelanggan yang menyerahkannya akan dibayar dengan kiraan RM3 setiap kilogram.

“Bagi barangan kitar semula, pelanggan akan diberikan mata ganjaran melalui sistem kitarecycle.com, manakala fabrik dan alat tulis terpakai tidak diberikan sebarang ganjaran,” katanya lagi.

Seramai 45 orang staf dari lima bahagian yang bernaung di bawah Jabatan Canseleri telah terlibat dalam program ini.  Antara bahagian yang terlibat adalah Pejabat Naib Canselor, UTM International, Pejabat Penasihat Undang-Undang (PPUU), Unit Audit dan Pusat Islam UTM.

Petugas Program Kitar Semula Pandu Lalu@UTM menerima minyak masak terpakai.
Pakaian terpakai yang diterima.
Orang ramai memasuki laluan Pandu Lalu bagi penyerahan barangan terpakai.
Pelanggan menerima bayaran untuk minyak masak terpakai yang diserahkan.
Pasukan Sukarelawan dan Urus setia Program Pandu Lalu@UTM Iskandar Puteri Rendah Karbon yang berkerja keras memastikan program berjalan lancar.

Explore More