November 22, 2024

Search
Close this search box.

UTM UA Pertama Malaysia Tubuh Pejabat Satelit, Pacu Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Transnasional Berimpak di Indonesia

JAKARTA, 17 & 18 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus komited dalam menyokong agenda pengantarabangsaan berimpak tinggi dengan menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama Badan Riset dan Inovasi Nasional Indonesia (BRIN) hari ini.

Majlis pertukaran dokumen antara Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Deputi Bidang Kebijakan Riset dan Inovasi, Dr R. Hendrian  disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, TYT Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman.

MoU ini merupakan inisiatif UTM dalam memperkasa kerjasama akademik dan penyelidikan transnasional antara dua negara melalui penubuhan Konsortium UTM-BRIN. Konsortium ini bertujuan untuk memudahcara aktiviti akademik dan penyelidikan melalui operasi penyelidikan, kontrak penyelidikan, perundingan dan kerjasama latihan antara kedua-dua pihak.

 

Sesi Pertukaran MoU UTM-BRIN oleh Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Deputi Bidang Kebijakan Riset dan Inovasi, Dr R. Hendrian (hadapan) disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, TYT Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman.

Antara inisiatif utama Konsortium UTM-BRIN adalah melalui penubuhan Pejabat Satelit BRIN-UTM dengan tumpuan kepada menghasilkan impak penyelidikan dan pembangunan bakat khususnya dalam bidang kebitaraan kejuruteraan dan teknologi yang memberikan manfaat kepada pembangunan kedua-dua negara dan serantau.

UTM diiktiraf dan diberikan penghormatan sebagai UA pertama di Malaysia yang menubuhkan Pejabat Satelit BRIN-UTM. Pejabat tersebut akan ditempatkan di dua lokasi strategik, iaitu BRIN Kampus di Jalan Gatot Subroto, Jakarta, dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik di UTM Johor Bahru.

 

Pasukan UTM (Pejabat Naib Canselor, Jabatan TNC Penyelidikan dan Inovasi dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik)  bersama  rakan kerjasama strategik  dari BRIN

Kerjasama ini adalah tepat pada masanya dan dilihat sejajar dengan aspirasi KPT iaitu untuk mengangkat keupayaan universiti awam serta sumber intelektual akademik negara dan memposisikan Malaysia sebagai hab inovasi dan pembangunan bakat yang diperlukan untuk pembangunan ekonomi negara dan serantau.

Prof Dr Azlinda, mewakili  Kementerian Pendidikan Tinggi dalam ucapannya menyeru kedua-dua belah pihak untuk membangunkan strategi pengantarabangsaan yang baharu khususnya dalam bidang akademik dan pembangunan pelajar untuk menjadikan Malaysia dan Indonesia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat.

Turut menyokong penuh hasrat KPT, naratif  yang sama dikongsikan oleh Direktur Jenderal Pendidikan Tinggi, Riset, dan Teknologi, Prof. Ir. Nizam di dalam ucapan penutup majlis. Beliau berkata,  “People to people connection antara kedua-dua negara wajar diperkasakan turutamanya dalam mencari solusi menerusi penelitian (penyelidikan) bersama as we share the same common problems and live under the same atmosphere”.

Kerjasama antara UTM dan BRIN menerusi pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) pertama pada tahun 2021 telah bermula sejak tahun 2016. Untuk rekod, UTM merupakan penerima dana pertama dari Malaysia. Menerusi kepakaran UTM, kedua-dua pihak telah membangunkan program perintis pengajian pascasiswazah melalui penyeliaan jarak jauh.

 

Di Ibu Pejabat BRIN pada 17 Julai 2023 dalam majlis menandatangani  MoU UTM-BRIN  disaksikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman dan Pengerusi BRIN, Laksana Tri Handoko
Delegasi KPT bersama wakil-wakil UA dalam kunjungan hormat ke Ibu Pejabat BRIN

Sehingga kini, 17 penyelidik kohort pertama BRIN sedang mengikuti program penyelidikan pascasiswazah di UTM dan dibiayai melalui projek kerjasama kontrak penyelidikan program pascasiswazah UTM-BRIN  dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1 juta.

Manakala kohort kedua seramai 16 penyelidik akan memulakan pengajian pada Oktober 2023 ini dengan dana berjumlah RM900 ribu. Kerjasama ini  juga telah berjaya menghasilkan 11 geran kerjasama UTM-BRIN  bernilai RM300 ribu dengan penglibatan 15 pensyarah UTM sebagai ahli penyelidik.

 

Kredit Foto : Badan Riset Inovasi  Nasional (BRIN), Indonesia

Kredit Maklumat  Perjanjian Persefahaman dan Kerjasama UTM-BRIN : Prof. Ir. Dr. Sevia Mahdaliza Bt. Idrus Sutan Nameh (Fakulti Kejuruteraan Elektrik)

 

 

 

 

Explore More