November 22, 2024

Search
Close this search box.

LAnDS bangunkan Sudut ‘Cakna Ilmu Tanah’ di Kampung Parit Puteri Menangis

AYER BALOI, 10 Jun – Kumpulan Penyelidikan Pentadbiran dan Pembangunan Tanah (LAnDS) terus menyerlahkan peranan dan cakna kepada komuniti setempat dengan menjayakan projek komuniti dalam Program Jelajah Penyelidikan LAD : ‘Cakna Ilmu Tanah’.

Program ini merupakan kerjasama antara Komuniti Kampung Parit Puteri Menangis, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Johor, Kumpulan Penyelidikan Inovasi Geomatik dan juga Kelab Pentadbiran dan Pembangunan Tanah yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Kampung Parit Puteri Menangis.

Berkonsepkan keluarga angkat, 36 mahasiswa UTM telah menginap bersama keluarga angkat di kampung tersebut. Program ini terdiri dari tiga slot utama iaitu perkongsian ilmu berkenaan syarat guna tanah, urus tadbir harta pusaka dan juga ilmu falak.

 

Dalam program ini satu Sudut ‘Cakna Ilmu Tanah’ berjaya dibangunkan sebagai suatu inisiatif dalam mewujudkan satu ruang pemindahan ilmu untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.

Sudut ini merupakan usaha praktikal mahasiswa dan akademia UTM untuk bekerjasama bersama konuniti demi kebaikan bersama.

Sudut ‘Cakna Ilmu Tanah’ telah dirasmikan oleh Penolong Pegawai Daerah Pontian, Ybrs En Mohd Zulhafiz Bin Md Salih, diiringi oleh Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur Prof. Sr Dr. Kherun Nita Bte Ali bersama Pengarah Jabatan Harta Tanah, Prof. Madya Dr. Muhammad Najib bin Mohamed Razali dan juga Penghulu Mukim dan ketua-ketua kampung.

 

Antara objektif program ini adalah melaksanakan tanggungjawab sosial kepada komuniti setempat khususnya di kawasan luar bandar.

Hal ini selari dengan Kluster Empat Dasar Komuniti Negara yang menekankan peri pentingnya pendidikan dan kemahiran pendidikan yang merupakan pelaburan masa hadapan terutamanya bagi generasi muda.

Antara strategi Dasar Komuniti Negara adalah memperkasa pengetahuan dan kemahiran ahli komuniti, meningkatkan tahap pendidikan dan kemahiran golongan belia komuniti dan mewujudkan kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan untuk memperkukuhkan pengetahuan dan kemahiran anggota komuniti.

Selain daripada itu, program ini memberi peluang kepada pelajar dan ahli akademik UTM untuk berkongsi ilmu tanah yang telah mereka pelajari di universiti.

 

 

 

 

 

 

Semoga usaha yang dijalankan dapat memberi manfaat dan impak kepada semua pihak serta dapat memupuk perasaan muhibah antara komuniti dan warga universiti serta menjadi pendorong kepada penganjuran program-program berbentuk kemasyarakatan yang lebih banyak pada masa-masa akan datang.

Explore More