SURABAYA, 20 Mei – “Ayo Sinau Bareng” atau dalam Bahasa Melayu yang dikenali sebagai “Mari Belajar Bersama”, merupakan salah satu aktiviti yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Razak (JKM KTR) sesi 2022/2023 pada 20 Mei 2023 di bawah Program U-International Surabaya 2023 .
Fokus utama adalah bagi memberi pendampingan pembelajaran kepada anak-anak Surabaya sekaligus memberikan kesempatan kepada mahasiswa untuk peduli terhadap Pendidikan Kota Surabaya.
Program ini dijalankan di 16 buah balai di Surabaya yang berlainan lokasi berdekatan dengan Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) dan dihadiri oleh 343 orang anak-anak Kota Surabaya.
Seramai 64 orang peserta telah melibatkan diri dalam program ini terdiri daripada 32 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan 32 pelajar daripada Institut Teknologi Sepuluh Nopember Surabaya (ITS).
Program kepimpinan anjuran Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Razak itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang asas kepimpinan unggul dalam diri dari aspek ASK iaitu Sikap, Kemahiran dan Pengetahuan.
Bagi membantu mengasah kemahiran kepimpinan sepanjang berada di sana, pemilihan untuk menjalinkan kerjasama bersama Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak di mana institut tersebut menduduki tempat pertama di Indonesia sebagai pakar dalam bidang kejuruteraan, sains, dan teknologi seiring dengan kepakaran Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Program ini mendedahkan kepada para pelajar terhadap proses bagaimana seseorang individu cuba mempengaruhi pemikiran, sikap dan tingkah laku ahli yang dipimpin.
Seperti yang kita sedia maklum bahawa pemimpin berperanan memberi hala tuju, kefahaman tentang apa yang ingin dicapai dan sentiasa memberi dorongan motivasi kepada ahli yang di bawah pimpinannya.
Antara pengisian program Ayo Sinau Bareng ialah mahasiswa daripada UTM dan ITS membantu mendampingi anak-anak Surabaya dalam pelajaran, membangkitkan semangat mereka untuk menuntut ilmu dan pengisian tersebut diharapkan dapat menjadi wadah bagi mereka untuk boleh beraktiviti secara positif, rekreatif dan produktif.
Intihannya, pelajar dapat memupuk semangat muhibah, keamanan dan perpaduan global melalui aktiviti yang difokuskan pada sosial dan kebajikan.
Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Razak berharap agar program ini dapat memberi inspirasi, pencerahan dan perubahan positif bukan sahaja kepada individu terlibat bahkan kepada masyarakat majmuk.
Oleh: Nur Quamarina Jeffery